Oleh Aninah Janang
11 Ogos 2023, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli 


Kuala Terengganu
–  Setelah semua ceramah perdana parti yang bertanding, khususnya Pakatan Harapan (PH) yang diwakili oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO); Perikatan Nasional (PN) yang diwakili oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti MUDA dan Parti Bebas, berakhir semalam, pada pagi ini, rata-rata calon daripada parti yang bertanding “pulang” ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing untuk membuat rayuan terakhir sebelum tempoh berkempen tamat pada 12.00 malam ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Terengganu, iaitu Dato’ Seri Ahamd Said yang juga calon DUN Kijal, pada pagi ini mengadakan kempen akhir dari rumah ke rumah di tiga buah kampung, iaitu Kampung Tengah Kijal, Titian Berayung dan Meraga Beris. Kehadiran beliau ternyata disambut mesra oleh penduduk kampung yang sememangnya cukup mengenalinya. Malah sepanjang menjadi Menteri Besar Terengganu pada tahun 2008 hingga tahun 2014, beliau yang terkenal dengan “pendebat lantang” amat disenangi oleh pengundi.
Dato’ Seri Ahmad Said bertemu dengan pengundi DUN Kijal dalam misi kempen terakhir pada pagi ini.
Dalam kempennya pada pagi ini, Dato’ Seri Ahmad Said merayu agar pengundi turun membuang undi esok dan tidak lupa untuk memangkah BN bagi memastikan beliau dapat terus berkhidmat kepada pengundi di sekitar Kijal. Beliau juga mendengar setiap keluhan yang disuarakan oleh penduduk dan berjanji akan menyuarakannya ke peringkat kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan, serta akan berusaha menyelesaikan masalah yang disuarakan oleh penduduk sekiranya diberikan mandat sekali lagi.
Sementara itu, bagi Naib Presiden PAS yang juga merupakan calon DUN Ru Rendang, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, beliau bersama-sama jentera PAS tidak mensia-siakan masa yang berbaki kurang daripada 24 jam, bertemu dengan pengundi di sekitar DUN Alur Limbat, Bukit Payung, Ru Rendang dan Pengkalan Berangan pada malam tadi. Beliau mengambil kesempatan menyantuni penduduk kampung dengan merayu kepada pengundi untuk terus memberikan kepercayaan kepadanya esok, 12 Ogos 2023, iaitu Hari Mengundi yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).  Kehadiran Menteri Besar Terengganu itu ternyata disambut meriah oleh penduduk kampung yang tidak melepaskan peluang merakamkan gambar bersama-sama beliau.
Dr. Sam melakukan ceramah secara berkelompok di sekitar Ru Rendang.
Dalam setiap pertemuan itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri atau lebih dikenali dengan panggilan Dr. Sam dalam kalangan penduduk tempatan menyakini pengundi akan memilihnya berdasarkan rekod pentadbirannya yang lalu. Maka itu, jika ramalan itu tepat dan beliau kekal mempertahankan DUN Ru Rendang yang dimenanginya pada penggal yang lalu, beliau berjanji akan menjadi pemimpin yang terbaik untuk bangsa, agama dan negeri Terengganu.

Esok, 12 Ogos 2023, Terengganu akan menjadi satu daripada enam buah negeri yang akan mencatatkan sejarah tersendiri apabila mengadakan PRU DUN Ke-15 secara serentak dan berasingan daripada PRU Ke-15 yang diadakan pada 19 November 2022.

Petugas SPR di enam buah negeri sedang menyiapkan persiapan terakhir PRU DUN Ke-15 yang akan berlangsung esok.
Untuk rekod, pada PRU DUN Ke-14 lalu, daripada 32 kerusi DUN yang dipertandingkan di Terengganu, 22 kerusi dimenangi oleh PAS, sementara itu baki 10 kerusi ditawan oleh BN.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.