11 Ogos 2023, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRN-15) bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan diadakan pada 12 Ogos 2023 (esok). Seperti kebiasaannya, perkembangan ini juga bakal merancakkan dan memanaskan suhu politik di Malaysia. Walaupun tempoh berkempen secara rasmi belum lagi bermula, namun hakikatnya kempen politik secara tidak langsung sudahpun dimulakan sejak awal lagi oleh parti politik yang bakal bertanding. Keadaan ini akan mencapai kemuncaknya sehinggalah menjelang kempen terakhir pada malam ini.

Sudah menjadi adat dalam kempen politik, pihak-pihak yang berkepentingan akan membangkitkan isu tertentu bagi meraih sokongan dan simpati pengundi. Kebanyakan penganalisis menjangkakan bahawa isu umum seperti isu integriti, tadbir urus, ekonomi dan kenaikan kos hidup bakal menjadi tumpuan sebagai bahan kempen PRN-15. Tidak ketinggalan juga isu-isu ’3R,  iaitu Agama (Religion), Bangsa (Race), dan Raja (Royalty) dijangka menjadi satu daripada isu yang mendapat perhatian.

Lambakan Maklumat

Berbeza daripada keadaan yang terdahulu, akses terhadap maklumat pada hari ini menjadi lebih mudah seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Akses tersebut dilihat semakin penting dalam menyalurkan manifesto mahupun propaganda sesebuah parti yang bertanding bagi meraih sokongan mahupun dalam usaha melemahkan lawannya. Hal ini dibuktikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu apabila media sosial telah menjadi antara penentu utama dalam mewujudkan kemenangan mahupun kekalahan seseorang calon yang bertanding. Oleh itu, kempen pilihan raya pada hari ini boleh ditafsirkan sebagai medan peperangan maklumat.

Namun demikian, kemudahan akses terhadap penciptaan dan penerimaan maklumat menjelmakan permasalahan baharu, iaitu masalah lambakan maklumat ataupun disebut sebagai infodemik. Permasalahan ini menuntut kepada pengurusan maklumat yang baik. Sekiranya tidak diuruskan dengan berkesan, hal tersebut akan menyebabkan permasalahan yang lebih besar seperti penyebaran dan penciptaan berita palsu, hasutan, fitnah dan sebagainya.

Kepentingan Kebebasan Maklumat dalam Pilihan Raya yang Demokratik

Pilihan raya merupakan mercu tanda utama sesebuah demokrasi kerana rakyat bebas memilih wakil kepimpinan mereka dalam mengamalkan sistem yang mendokong pemerintahan rakyat. Oleh itu, adalah mustahak untuk memastikan bahawa pengundi mendapat maklumat yang mencukupi bagi memilih barisan kepimpinan yang tepat bagi mengemudi kerajaan yang bakal dipilih. Maklumat tepat dalam pilihan raya yang merangkumi latar belakang calon, manifesto dan hala tuju parti haruslah diperoleh dalam keadaan telus, tulus serta bebas. Hal ini pernah diutarakan oleh seorang ahli falsafah British, Alexander Meiklejohn, yang menyatakan bahawa kebebasan ini harus dilindungi kerana merupakan satu daripada syarat yang penting dalam menentukan hala tuju sebuah pentadbiran sendiri sesebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi penyertaan (participatory democracy). Hal ini penting kerana sesebuah proses politik termasuklah pilihan raya tidak boleh dianggap sebagai sebuah proses yang demokratik sekiranya rakyat dihalang daripada menyatakan pandangan, menerima dan memberikan maklumat secara terbuka, sekali gus menghalang perbezaan pendapat yang membina. Maka itu, keperluan untuk melindungi kebebasan maklumat dan kebebasan  bersuara dalam konteks pilihan raya adalah bertepatan dengan semangat Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Maklumat Berlebihan Mampu Merosakkan Proses Demokrasi

Walaupun kebebasan maklumat dituntut dalam sesebuah pilihan raya yang demokratik, namun lambakan maklumat yang berlebih-lebihan ataupun disebut sebagai infodemik mampu merumitkan permasalahan pengurusan maklumat sedia ada, dan juga mampu mencipta permasalahan yang baharu. Fenomena infodemik ini mampu menggugat keupayaan pengundi dalam membezakan sama ada sesebuah maklumat itu bersifat konstruktif, ataupun destruktif.

Dilema utama yang sering kali dihadapi ketika sesebuah pilihan raya termasuklah fenemona lambakan berita palsu. Permasalahan berita palsu ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah boleh dianggap sebagai satu senjata perang saraf yang sentiasa digunakan dalam menambah atau mengurangkan sokongan terhadap sesuatu entiti politik. Dalam usaha untuk mengekang penularan berita palsu dalam pilihan raya, Parlimen pernah meluluskan sebuah undang-undang yang dinamakan sebagai Akta Anti Berita Palsu 2018. Akta yang dikuatkuasakan pada April 2018, iaitu kira-kira sebulan sebelum PRU-14, namun hanya bertahan kira-kira setahun sahaja hayatnya kerana dimansuhkan selepas itu. Hal ini demikian kerana undang-undang tersebut didapati mampu mengganggu-gugat hak kebebasan bersuara. Walaupun begitu, pemansuhan Akta Anti Berita Palsu 2018 bukanlah bererti bahawa penularan berita palsu tidak langsung dikawal selia oleh undang-undang.  Penyebar atau pencipta sesebuah berita palsu masih lagi boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana seseorang itu boleh dihukum sekiranya terbabit dalam penciptaan dan penyebaran kandungan atas talian yang bersifat lucah, palsu, ataupun mengancam individu yang lain. Melalui peruntukan ini, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50 000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-keduanya sekali. Pada masa yang sama, tindakan undang-undang juga boleh diambil ke atas maklumat palsu yang disampaikan melalui media bercetak di bawah Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selain daripada bahana berita palsu, kesalahan yang berbentuk hasutan juga dilihat berpotensi untuk menjadi duri dalam daging dalam masyarakat khususnya ketika kempen pilihan raya diadakan. Dalam perkara ini, perhatian khusus haruslah diberikan kepada isu-isu ”3R”. Sekiranya tidak dibincangkan dan dibicarakan dengan cermat, hal tersebut mampu mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat. Tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya sesebuah bahan kempen tersebut didapati mempunyai ”kecenderungan menghasut”, seperti mana yang digariskan di bawah Akta Hasutan 1948. Di samping itu, Seksyen 4A Akta Kesalahan Piliharaya 1954 turut memainkan peranan supaya maklumat yang boleh menimbulkan kebencian ketika pilihan raya dapat dikawal. Menurut peruntukan ini, mengembangkan perasaan jahat dan pemusuhan dalam kalangan rakyat ketika pilihan raya bagi tujuan untuk meraih undi atau mendorong pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi ketika pilihan raya ialah satu kesalahan jenayah.  Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh dijatuhkan hukuman penjara, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Bagai isi dengan kuku, kesalahan fitnah dan pilihan raya juga amat sukar untuk dipisahkan walaupun telah menjadi satu masalah sejak zaman berzaman. Permasalahan ini dilihat menjadi semakin buruk akibat daripada ledakan kemajuan teknologi kecerdasan buatan dan juga media sosial yang membolehkan fitnah tersebut membawa kesan yang lebih buruk dan boleh disebarkan dengan lebih pantas. Di Malaysia, mekanisme pengawalan fitnah boleh diklasifikasikan berdasarkan jenis tindakan undang-undang yang diambil ke atas pemfitnah tersebut. Sekiranya tindakan yang diambil adalah bersifat sivil, hal tersebut diselia di bawah Akta Fitnah 1957 yang membolehkan tindakan saman malu diambil ke atas pemfitnah. Tindakan ini memberikan ruang kepada pihak yang difitnah untuk menuntut reputasinya dibersihkan melalui permohonan maaf dan juga kenyataan fitnah tersebut ditarik semula oleh pemfitnah. Di samping itu, elemen tersebut turut menyediakan hak untuk individu yang difitnah untuk melakukan tuntutan ganti rugi. Sementara itu, sekiranya tindakan yang diambil adalah di bawah undang-undang jenayah, maka tindakan boleh dilaksanakan di bawah Seksyen 499 di bawah Kanun Keseksaan. Sekiranya pemfitnah tersebut didapati bersalah, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Dalam kesempatan ini, suka penulis mengingatkan pihak yang bertanding agar bertanding secara budiman dan sentiasa mengawasi tingkah laku mereka agar tidak melanggar undang-undang sedia ada. Pada masa yang sama, pengguna maklumat, khususnya pengundi haruslah bijak dalam meverifikasikan maklumat sama ada maklumat itu benar ataupun sebaliknya. Dalam konteks pengurusan maklumat, penulis berpendapat bahawa kawalan kendiri merupakan cara yang paling berkesan untuk menangkis kesan buruk infodemik. Sementara itu, penulis juga mahu mengingatkan bahawa fenomena lambakan maklumat bukanlah lesen untuk menyekat maklumat secara total, namun sebagai isyarat yang menuntut supaya maklumat tersebut dipantau dan diurus dengan baik. Hal ini penting disebabkan penulis percaya bahawa kebebasan dan keberadaan maklumat yang tepat ialah nadi yang sangat penting dalam sesebuah proses demokrasi, khususnya dalam proses memilih pemimpin.

Dr. Hafidz Hakimi Haron, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Undang-Undang, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia.

Foto: Mohd Farid Janudin

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.