Oleh Aninah Janang
11 Ogos 2023, 19:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang


Hari ini merupakan hari terakhir calon daripada parti yang bertanding untuk 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meraih kepercayaan daripada rakyat sebelum hari penentuan, iaitu hari mengundi, esok, 12 Ogos 2023.

Sepanjang 14 hari berkempen, ada sesuatu yang menarik perhatian penulis, iaitu bahasa kempen yang digunakan oleh calon yang bertanding di negeri ini. Dianggarkan lebih daripada 100 kempen dan ceramah Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Ke-15 yang telah berlangsung di Terengganu sama ada secara bersemuka atau secara dalam talian.

Daripada pentas biasa tidak berbumbung hingga ke pentas berbumbung mewah, dilengkapi dengan pembesar suara yang luar biasa, lampu bergemerlapan, dan dilengkapi dengan kipas dan penyaman udara, setiap kempen dan ceramah ada lontaran bahasa yang berbeza-beza.

Definisi bahasa amat mudah, iaitu sistem lambang bunyi suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam sesuatu kelompok manusia untuk melahirkan perasaan dan fikiran. Maka itu, dalam mana-mana pentas politik di dunia, bahasa menjadi senjata utama dalam menzahirkan manifesto yang dibawa oleh parti dan calon yang bertanding. Hal yang demikian juga di negara ini.

Pada setiap pilihan raya, tidak kira sama ada PRU, Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Kecil (PRK), kempen pasti akan menghiasi perjalanan PRU dan PRN. Tanpa kempen, hilanglah kemeriahan pilihan raya. Mengimbas kembali pada 4 Julai 2020, apabila berlangsungnya PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang pada ketika itu menyaksikan negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19, sebagai langkah berjaga-jaga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalakkan calon yang bertanding untuk berkempen secara dalam talian sepanjang 14 hari tempoh berkempen diberikan.

Kempen tanpa himpunan bersemuka itu akhirnya dilihat hambar dan kurang meriah. Namun begitu, pada PRU Ke-15, pada November 2022, berlaku gelombang besar-besaran terhadap corak berkempen secara dalam talian yang semakin diterima oleh rakyat. Tidak kita melalui YouTube, TikTok dan Twitter, kempen parti yang bertanding mendapat respon yang luar biasa daripada pengundi.

Namun begitu, bukan hal itu yang menjadi persoalannya. Apabila berkempen, calon pastinya akan berusaha menggunakan bahasa kempen yang terbaik agar dapat memikat undi pengundi. Hal yang demikianlah yang berlaku dalam tempoh 14 hari berlangsungnya kempen DUN Terengganu pada kali ini.

Secara keseluruhannya, terdapat perbezaan yang ketara dalam penggunaan bahasa antara calon yang berusia muda dengan calon berpengaruh di negeri ini. Sebagai contohnya, calon MUDA  di DUN Bandar, Luqman Long, berusia 29 tahun, dan berlatar belakang pendidikan dalam jurusan undang-undang, ketika berkempen didapati telah menggunakan bahasa Melayu yang cukup baik. Tidak hanya dengan bahasa yang baik, pemilihan perkataan dalam ceramahnya juga amat menarik. Ketika melontarkan hujah mengapa pengundi DUN Bandar perlu memberikannya peluang untuknya berkhidmat di DUN itu, Luqman menjelaskan bahawa, Pilihan raya pada kali ini, setiap seorang daripada kita, anak negeri Terengganu ada peluang untuk membawa perubahan bersama-sama. Saya merupakan anak jati negeri Terengganu. Saya dilahirkan di sini dan membesar di sini. Oleh sebab itu, saya ingin membawa perubahan untuk negeri ini, negeri kelahiran saya, Terengganu.

Hal yang demikian juga dengan bahasa kempen Timbalan Presiden MUDA, YB Amira Aisya Abdul Aziz. Ketika berkempen dalam Ceramah Mega MUDA DUN Bandar, pada 10 Ogos 2023, beliau berjaya menggunakan bahasa Melayu yang baik dalam ceramahnya. Bahasa Melayu yang baik ini turut merangkumi kosa kata yang juga sempurna.

Begitu  juga dengan calon UMNO di DUN Bandar, iaitu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd, yang menggunakan bahasa Melayu yang baik dan berkesan pada setiap ceramah yang dihadirinya untuk tempoh 14 hari berkempen. Meskipun menyedari bahawa terdapat pengundi bukan Melayu di kawasan yang ditandanginya, Armi meyakini bahawa bahasa Melayu mampu menjadi jambatan terbaik dalam menyalurkan 10 Kata Tekad DUN Bandar.

Hal yang demikian juga dengan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Mohd Harun Esa, yang berkempen di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, pada 10 Ogos 2023. Beliau  turut menggunakan bahasa Melayu yang baik dan tanpa sebarang penggunaan bahasa asing atau bahasa rojak. Pemilihan kata yang digunakan juga tersusun, iaitu mengikut konteks dan sasaran yang dimaksudkan. Antara ucapannya termasuklah, “Situasi dan gema politik sekarang yang menuntut setiap daripada kita merasa perit, susah, berjaga malam dan berkorban apa sahaja. Anak-anak muda, saya yakin sebahagian besarnya tidak cukup tidur malam. Orang tua-tua yang mempunyai rezeki yang lebih, bila hadirnya musim pilihan raya ini, mereka dengan tulus hati, ibu-ibu sekalian dengan penuh keikhlasan telah mengeluarkan segala keringat, mengeluarkan sumbangan dan menyatakan kebersamaan.”

Senario ini berbeza daripada kempen calon yang berusia atau tokoh politik yang berpengalaman luas dalam dunia politik. Menurut Pensyarah Program Pengajian Polisi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang juga Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Profesor Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim, beliau tidak menafikan bahawa bahasa kempen orang muda jauh lebih baik daripada calon yang berusia. Namun begitu ujarnya, hal itu dipengaruhi oleh banyak faktor yang mendasari negeri Terengganu.

“Saya mengakui bahawa bahasa orang muda dalam berkempen berbeza daripada calon berpengalaman.” – Profesor Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim.

“Di Terengganu pada setiap kali musim PRU, PRN atau PRK, setiap kempen atau ceramah perdana itu akan dijadikan seolah-olah festival politik. Secara umumnya pengundi, penonton dan peminat politik ini mereka mahukan ‘senipolitik lama’ yang disulam dengan unsur kecindan dan unsur jenaka yang boleh menjadi tarikan penting kepada pengunjung yang pada akhirnya nanti diyakini dapat diterjemahkan di atas kertas undi,” ujar Dr. Mohd Yusri ketika diwawancara oleh penulis di Kuala Terengganu, pada pagi ini.

Tambahnya lagi, kempen atau ceramah di Terengganu dilengkapi dengan semua yang dinyatakan di atas. Faktor penceramah juga memainkan peranan yang sangat penting. Penceramah yang baik haruslah memiliki faktor yang mengagumkan, memiliki intonasi dan pengucapan yang bagus, pandai menyelitkan unsur jenaka dan jika menyentuh peribadi lawan sekalipun akan dilakukan secara jenaka yang tanpa disedari memberikan kesan yang menarik kepada pengundi.

Kempen sebegini sudah lama menjadi budaya kempen di Terengganu. Pengunjung datang bukan sahaja ingin mengetahui apa-apa yang ditawarkan oleh calon yang bertanding, tetapi pengunjung yang datang inginkan ‘hiburan’. Inilah yang saya maksudkan dengan ‘festival politik’ di Terengganu.

Ujar Dr. Mohd Yusri lagi, “Saya bersetuju bahawa anak muda menggunakan bahasa yang lebih cantik dan tersusun. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka lebih fokus kepada kandungan ucapan yang hendak disampaikan oleh mereka. Hal ini ditambah lagi dengan latar belakang anak muda yang bertanding ini. Rata-rata mereka tidak dan belum memiliki pengalaman ‘besar’ dalam dunia politik di Terengganu. Mereka tidak melalui pengalaman dan pertembungan hebat antara PAS dengan UMNO di Terengganu pada suatu ketika dahulu. Kebanyakan calon anak muda ini terlepas dari era 1980-an hingga 1990-an. Maka itu, mereka lebih menggunakan kaedah politik ‘damai’ dari segi pengucapan, penggunaan bahasa, istilah dan sebagainya”.

Menurut Dr. Mohd Yusri lagi, sudah tentu jika di Terengganu ini, calon memberikan penyampaian berbentuk kandungan ucapan semata-mata. Perkara ini pastinya akan sukar untuk menarik perhatian apatah lagi dalam kalangan pengundi di kawasan kampung atau pengundi yang berusia. Kaedah sebegini sudah tentu bukan sahaja tidak akan menarik perhatian mereka malah mungkin menyukarkan mereka untuk memahami agenda yang cuba dibawa oleh calon anak muda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.