Oleh Ezura As'ad Azam
11 Ogos 2023, 17:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Pasukan forum dari Sekolah Menengah (SM) Kian Kok, Kota Kinabalu muncul sebagai Johan Pertandingan Forum Pelajar 2023 Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Tshung Tsin Sabah, Kota Kinabalu pada 10 Ogos 2023, semalam.

Dengan membincangkan tajuk “Pertanian Pintar Pemacu Agromakanan Negara”, kemenangan ini amat bermakna buat SM Kian Kok apabila bergelar johan bagi pertandingan yang sama kali terakhir pada tahun 2016.

Sementara itu, naib johan disandang oleh pasukan dari SM Tshung Tsin Sabah yang membawakan tajuk “Celik Kewangan Belia di Malaysia”. Pasukan dari Sekolah Menengah Tshung Tsin Tenom pula mendapat tempat ketiga dengan membincangkan tajuk “Bahasa Rojak Pembunuh Jiwa Bangsa”. Pelajar dari SM Kian Kok, Chiara Glycee Rayner, dinobatkan sebagai Pengerusi Terbaik, manakala Kierra Kevin Lee, pelajar dari SM Tshung Tsin Sabah, dianugerahkan Ahli Forum Terbaik. Kedua-duanya menerima RM200 setiap seorang, sijil penghargaan, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan plak iringan.

Pasukan yang memenangi johan menerima hadiah berupa wang tunai keseluruhannya berjumlah RM1000, sijil penghargaan, buku terbitan DBP, piala iringan dan piala pusingan sumbangan daripada Ketua Menteri Sabah. Naib johan menerima hadiah berupa wang tunai keseluruhannya berjumlah RM750, sijil penghargaan, buku terbitan DBP dan piala iringan. Tempat ketiga pula memenangi hadiah berupa wang tunai keseluruhannya berjumlah RM500, sijil penghargaan, buku terbitan DBP dan piala iringan.

Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Dr. Chung Chin Hing, Pengetua Sekolah Menengah Tshung Tsin Sabah dan ucapan penghargaan daripada Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah. Acara perasmian dan penyampaian hadiah kemudiannya disempurnakan oleh YB Tuan Phoong Jin Zhe, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.21 Luyang.

Majlis ini turut dihadiri oleh Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP, Puan Suziahnie Ishak, mewakili Pengarah Pendidikan Negeri Sabah dan Puan Eliza Goh, mewakili Pengerusi Persatuan Jawatankuasa Sekolah Menengah Cina Persendirian Sabah.

Terdahulu, pertandingan anjuran DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Kumpulan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Menengah Cina Persendirian Sabah ini telah diadakan saban tahun sejak tahun 1993, kecuali pada tahun 2020, ketika negara masih dibelenggu penularan pandemik COVID-19.

Pada tahun 2021 dan 2022, pertandingan ini dilaksanakan secara dalam talian. Bermula tahun 2023, pertandingan ini kembali diadakan secara bersemuka dan sebanyak sembilah buah sekolah yang terlibat sebagai peserta bergilir-gilir menjadi tuan rumah. Pasukan SM Kian Kok akan mewakili Sabah ke Pertandingan Forum Pelajar 2023 Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan pada bulan September ini di DBP Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.