Oleh Aninah Janang
12 Ogos 2023, 10:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marang – Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Tuan Guru Hadi Awang, selesai mengundi di DUN Ru Rendang. Tuan Guru Hadi Awang tiba seawal pukul 8.17 pagi ini, iaitu 17 minit selepas Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Rusila dibuka kepada pengundi.

Sebanyak 9 saluran di buka di pusat pengundian ini untuk pemilih berdaftar yang berjumlah 25 999 orang.  Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018, DUN Ru Rendang dimenangi oleh calon PAS, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan majoriti 6028 undi menewaskan dua pencabarnya, dari Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zarawi Sulong.

Sebaik-baik sahaja menerima kertas undi daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya, di bilik mengundi Saluran Satu, Tuan Guru Hadi Awang mengambil masa kira-kira 48 saat untuk memangkah kertas undi sebelum memasukkannya ke dalam peti undi.

Selepas selesai mengundi, Tuan Guru Hadi Awang dalam sidang medianya, menyeru kepada seluruh pengundi untuk keluar menunaikan tanggunjawab sebagai pengundi.

“Saya menyeru sekali lagi kepada seluruh pengundi tunaikan tanggungjawab kerana mengundi ini adalah kewajiban memilih pemimpin, memilih kerajaan yang memerintah. Ini satu amanah yang sangat besar. Tunaikan tanggungjawab ini dan jangan pandang ringan,” ujar Tuan Guru Hadi Awang, kepada wartawan di perkarangan Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Rusila.

Sementara itu, di Sekolah Kebangsaan Telok Kalong, Kijal, mantan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selesai menunaikan tanggungjawab membuang undi pada pukul 8.00 pagi. Beliau hadir ke pusat pengundian pada pukul 7.50 pagi dengan ditemani isteri, Toh Puan Seri Norliza yang turut mengundi di pusat pengundian yang sama. Datuk Seri Ahmad Said yang juga calon Barisan Nasional (BN) ewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan penyandang DUN itu menyeru pengundi di kawasan Kijal supaya keluar mengundi awal sebelum tempoh membuang undi tamat pada pukul 6.00 petang ini.

Di Jertih,  tepat pukul 8.10 pagi, calon Menteri Besar Terengganu Perikatan Nasional (PN) – PAS, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, tiba di Pusat Pengundian, di SMK Seri Nering, Jertih, Terengganu.

Sebaik-baik sahaja selesai membuang undi, Datuk Seri Ahmad Samsuri sempat mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang sedang menunggu giliran untuk membuang undi.

Beliau juga meminta para pengundi di seluruh Terengganu untuk menunaikan tanggungjawab untuk membuang undi dan keluar mengundi lebih awal bagi menggelakkan kesesakan atau cuaca yang tidak menentu. Beliau juga meminta seluruh pengundi di Terengganu dan di perantauan untuk pulang dan mengundi bagi menunaikan tanggunjawab kepada bangsa, agama, negeri dan negara.

SPR menetapkan pusat pengundian di enam negeri yang terlibat dengan Pilihan Raya Umum (PRU) DUN
Ke-15, iaitu Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan dibuka seawal pukul 8.00 pagi hingga pukul 6.00 petang.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.