Oleh Aninah Janang
12 Ogos 2023, 12:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu –  Pensyarah Program Pengajian Polisi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang juga Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Profesor Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim, menjangkakan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 Terengganu, hanya berkisar 70 peratus.

Hal ini demikian kerana, menurut Dr. Mohd Yusri, daripada kajian Ilham Centre, berkemungkinan persepsi dan keyakinan yang tinggi dalam kalangan pengundi khususnya yang berada di luar dari Terengganu bahawa Perikatan Nasional (PN) – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mampu mempertahankan pentadbiran kerajaan Terengganu, maka ada dalam kalangan pengundi berasa selesa dengan keyakinan dan hanya “menyerahkan” kuasa penentu itu kepada pengundi sedia ada di Terengganu.

Profesor Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim.

“Berdasarkan data lapangan, dianggarkan sebanyak 70 ribu pengundi di negeri ini berada di luar Terengganu. Meskipun jumlah ini kecil berbanding dengan Kelantan yang dianggarkan mencecah 100 ribu pengundi luar dari Kelantan, namun jumlah perantau yang tidak kembali mengundi ini pastinya akan menjejaskan jumlah undi secara keseluruhannya,” ucap Dr. Mohd Yusri kepada penulis, ketika diwawancara di Kuala Terengganu.

Selain itu, faktor perayaan perlu diambil kira, iaitu Sambutan Hari Raya Aidiladha pada 29 Jun 2023 terlalu hampir dengan PRU DUN pada kali ini.

“Pengundi baru sahaja pulang ke kampung halaman dan berkemungkinan besar mereka memilih untuk tidak pulang untuk mengundi pada kali ini. Begitu juga dengan faktor cuti sekolah dan cuti umum yang lalu,” jelas Dr. Mohd Yusri.

Sehingga pukul 11.00 pagi ini, SPR mengumumkan peratusan keluar mengundi di Terengganu merekodkan 33 peratus.

Sebagai rekod, hingga 21 Jun 2023, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mencatatkan statistik keseluruhan pengundi pada PRU DUN Ke-15 di enam buah negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, adalah sebanyak 9 773 571. Daripada jumlah itu, pengundi tertinggi adalah masing-masing daripada kelompok yang berumur antara 30 tahun hingga 39 tahun (2 163 982 orang) dan kelompok umur 21 tahun hingga 29 tahun (2 169 120 orang). Di Terengganu, hingga 21 Jun 2021, SPR merekodkan sebanyak 930 894 jumlah pengundi di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.