16 Ogos 2023, 18:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejarah rekod warganegara bermula pada tanggal 23 Julai 1948, apabila Persekutuan Tanah Melayu mula diperkenalkan dengan sistem pendaftaran kebangsaan dan penggunaan kad pengenalan di bawah peruntukan Undang-undang Darurat bagi mengekang keganasan Parti Komunis Malaya (PKM) yang semakin berleluasa di seluruh negara ketika itu.

Kad pengenalan tersebut atau lebih dikenali sebagai “kad beras” diagihkan kepada semua penduduk Tanah Melayu merangkumi lelaki dan wanita yang berusia 12 tahun dan ke atas. Kad pengenalan inilah yang membezakan antara warganegara dengan komunis dan digunakan untuk mengambil beras ketika berlakunya catuan makanan pada zaman darurat itu dilaksanakan kerana hanya penduduk yang memiliki “kad beras” sahaja layak menerima beras masing-masing. Penggunaan kad pengenalan ini berkekalan hingga tahun 1960.

Seiring dengan perkembangan zaman, kad pengenalan ini terus menjadi bukti sebagai identiti warganegara. Bahkan, kad ini berinovasi hingga tahun 2012 dari segi bentuk, kualiti dan penggunaannya. Kini, kad pengenalan bagi warganegara Malaysia dikenali sebagai MyKad dan mempunyai pelbagai fungsi pintar.

Permohonan Kewarganegaraan

Dalam situasi tertentu, kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan kepada individu yang bukan warganegara. Sehubungan dengan itu, status warganegara bukanlah perkara yang sewenang-wenangnya boleh dianugerahkan kepada sesiapa sahaja. Hatta, apabila berlaku kelahiran di Malaysia sekalipun, tidak menjadikan bayi tersebut sebagai warganegara secara automatik.

Oleh itu, setiap individu yang berhasrat untuk menjadi warganegara Malaysia perlulah memohon ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan mematuhi syarat-syarat yang diperuntukkan. Penganugerahan kewarganegaraan boleh diberi melalui tiga kaedah, iaitu menerusi kuat kuasa undang-undang, pendaftaran dan penaturalisasian. Ketiga-tiga kaedah ini diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan Bahagian Ketiga.

Setiap permohonan perlu melalui tapisan yang sangat teliti dan ketat. Walaupun pemohon memenuhi semua syarat yang ditetapkan, permohonan tersebut tidak semestinya diluluskan kerana keputusan permohonan adalah berdasarkan pertimbangan pihak kerajaan sepenuhnya. Namun begitu, sekiranya keputusan permohonan kewarganegaraan seseorang itu ditolak, mereka masih boleh mengemukakan rayuan untuk dipertimbangkan semula.

Kaedah Kewarganegaraan

Pengurusan kewarganegaraan dikelola oleh JPN yang merupakan agensi Kerajaan Persekutuan dan bernaung di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Jabatan ini turut bertanggungjawab merekodkan segala peristiwa penting bagi setiap individu di Malaysia seperti pendaftaran kewarganegaraan, kelahiran, anak angkat, kematian, kad pengenalan dan perkahwinan bagi pasangan bukan Islam.

Berbalik pada perbincangan kewarganegaraan, kita sedia maklum bahawa terdapat tiga kaedah untuk memperoleh kewarganegaraan di Malaysia, iaitu dengan penguatkuasaan undang-undang, pendaftaran dan penaturalisasian. Ketiga-tiga kaedah ini adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Bahagian Ketiga bermula dari Perkara 14 hingga Perkara 19.

Secara ringkasnya, pengesahan permohonan kewarganegaraan melalui penguatkuasaan undang-undang adalah terpakai kepada individu yang dilahirkan di Malaysia berdasarkan taraf kewarganegaraan ibu atau bapa. Selain itu, pengesahan kewarganegaraan ini juga terpakai kepada individu yang lahir di luar negara dengan mengikut status kewarganegaraan ibu atau bapanya. Perkara ini termaktub di bawah Perkara 14.

Bagi permohonan kewarganegaraan melalui kaedah pendaftaran pula, ada empat kategori pemohon yang boleh dipertimbangkan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Kategori pertama ialah Perkara 15A, iaitu kanak-kanak di bawah umur 21 tahun dalam keadaan khas.

Kategori kedua pula ialah Perkara 15(1),iaitu permohonan isteri kepada warganegara dengan syarat perkahwinan tersebut masih berterusan dan telah didaftarkan mengikut undang-undang di Malaysia, pemohon telah pun bermastautin di Malaysia lebih daripada dua tahun sebelum tarikh permohonan dan berniat untuk menjadi warganegara Malaysia selamanya serta berkelakuan baik.

Sementara itu, untuk kategori ketiga, Perkara 15(2) menjelaskan tentang permohonan kewarganegaraan bagi anak kepada salah seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia dan berumur di bawah 21 tahun.

Akhir sekali, bagi kategori keempat, iaitu Perkara 16 adalah permohonan kewarganegaraan oleh seseorang yang berusia 18 tahun ke atas dan dilahirkan dalam Persekutuan sebelum Hari Merdeka.

Seterusnya, kewarganegaraan melalui kaedah penaturalisasian, iaitu permohonan untuk mendapatkan perakuan sijil sebagai warganegara Malaysia dengan cara masukan. Kaedah ini terbahagi kepada dua perkara, iaitu Perkara 19(1) dan Perkara 19(2). Perkara 19(1) ialah permohonan bagi mereka yang berusia 21 tahun ke atas dan bermastautin dalam Persekutuan. Bagi Perkara 19(2) pula, permohonan ini adalah untuk mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas serta dalam keadaan khas.

Isu Kewarganegaraan Dipercepat?

Dalam perkembangan teknologi digital yang semakin berkembang maju pada hari ini, segala informasi boleh diakses di hujung jari sehingga lambakan maklumat ini boleh dipersoalkan kesahihannya terutamanya laporan berita yang disalurkan menerusi media sosial.

Perolehan kewarganegaraan di Malaysia juga sering menjadi isu hangat, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya. Oleh hal yang demikian, muncullah pelbagai berita sensasi daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, sehingga tersebarnya berita-berita palsu. Sebagai contoh, baru-baru ini, tular di platform TikTok berkenaan “pengundi hantu” kerana kononnya JPN bakal mempercepat proses permohonan kewarganegaraan, sedangkan berita tersebut telah diterbitkan sebelum tarikh pilihan raya diumumkan. Malah, konteks kandungan berita tersebut sebenarnya memfokuskan usaha JPN untuk menambahbaikkan perkhidmatannya kepada masyarakat. Justeru, situasi tersebut tidak ada kena mengena dengan pilihan raya.

Walau bagaimanapun, mereka yang tidak bermoral ini sanggup mencari dan mengeluarkan semula keratan-keratan akhbar yang berkaitan dengan hal tersebut dan menyebarkan kepada orang awam demi kepentingan diri sendiri. Kadangkala, mereka teruja apabila bertindak menjadi “wartawan” yang melaporkan berita sensasi kerana berasakan perkara yang dilakukan oleh mereka itu akan mendapat sambutan hangat daripada masyarakat.

Lebih menyedihkan, apabila rata-rata masyarakat kini hanya tertarik dengan tajuk utama tanpa menyemak butiran berita terutamanya tarikh dan konteks ketika berita itu dikeluarkan. Hal yang sedemikian memudahkan lagi berita palsu sedemikian tersebar. Oleh itu, bagi mengelakkan tersebarnya berita-berita palsu, masyarakat sentiasa diingatkan supaya merujuk secara langsung kenyataan rasmi badan kerajaan dan semak dahulu sumber berita sebelum menyebarkan kepada pihak lain.

Proses memperoleh kewarganegaraan bukanlah perkara yang mudah. Berdasarkan kaedah yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, keputusan permohonan untuk menjadi warganegara sememangnya memerlukan tempoh yang agak panjang untuk diteliti dengan sedalam-dalamnya sebelum diluluskan, lebih-lebih lagi bagi permohonan melalui penaturalisasian dan pendaftaran. Hal ini demikian kerana pemohon tersebut perlu memenuhi syarat yang ketat seperti yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Satu daripada syaratnya termasuklah,mereka perlu menduduki ujian tentang pengetahuan bahasa Melayu. Setelah itu, sekiranya permohonan mereka diluluskan, mereka juga perlu mengangkat sumpah taat setia kepada Persekutuan sebagai bukti kesetiaan kepada negara.

Sesungguhnya, menjadi warganegara merupakan hak yang paling istimewa kepada pihak yang memohon untuk mendapatkannya. Hal tersebut juga merupakan anugerah tertinggi kerajaan kepada pihak yang diluluskan permohonannya. Sehubungan dengan itu, kita perlulah bersyukur dan berbangga menjadi seorang daripada warganegara di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.