18 Ogos 2023, 16:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Suasana geopolitik dunia kian berubah. Selain Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom, Perancis dan Jerman; China dan India muncul sebagai kuasa gergasi dunia dalam bidang ekonomi dan ketenteraan. Tidak ketinggalan juga Australia, Jepun, Korea Utara dan Korea Selatan. China menjadi pesaing utama Amerika Syarikat dalam mengembangkan pengaruhnya di pelosok dunia. Justeru, negara di Kepulauan Pasifik turut merasai tempiasnya.

Kepulauan Pasifik.

Negara di Kepulauan Pasifik terletak di tiga buah benua kecil, iaitu Mikronesia, Polinesia dan Melanesia. Persekutuan Mikronesia, Kiribati, Kepulauan Marshal, Palau dan Nauru merupakan negara Mikronesia. Negara Polinesia pula terdiri daripada Samoa, Tonga, Kepulauan Cook, Tuvalu, New Zealand dan Niue. Negara Melanesia pula ialah Papua New Guinea, Fiji, Kepulauan Solomon dan Vanuatu. Australia merupakan negara benua yang berasingan yang terletak di lautan Pasifik. Kesemua negara ini pernah menjadi tanah jajahan British dan Perancis. Selepas merdeka, negara yang berdaulat ini memahami tentang keperluan kerjasama sesama mereka.

Gagasan Kepulauan Pasifik

Pada tahun 1971, Forum Pasifik Selatan (FPS) terbentuk sebagai suatu gagasan hasil cetusan idea daripada Perdana Menteri Kepulauan Cook, Albert Henry. Gagasan politik ini disokong oleh beberapa negara Kepulauan Pasifik yang baru merdeka pada ketika itu. Forum ini dapat mewujudkan kerjasama Suruhanjaya Pasifik Selatan yang sedia wujud. Pada tahun 1999, gagasan ini bertukar wajah sebagai Forum Kepulauan Pasifik (FKP) kerana turut merangkumi negara kepulauan di utara. Kini, 18 buah negara menganggotai forum ini, iaitu Australia, New Zealand, Kepulaun Cook, Persekutuan Mikronesia, Fiji, Polinesia, Perancis, Kiribati, Kepulauan Marshall, Nauru, New Caledonia, Niue, Palau, Papua New Guinea, Samoa, Kepulauan Solomon, Tonga, Tuvalu dan Vanuatu. Tokelau merupakan negara ahli bersekutu gagasan ini. Kini, Forum Kepulauan Pasifik menjadi pemerhati Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Visi forum ini menekankan tentang keamanan kawasan, keharmonian, keselamatan, penyertaan sosial, kemakmuran yang membolehkan penduduk di Lautan Pasifik dapat menikmati kebebasan, kesihatan dan kehidupan yang produktif. Forum ini menjadi platform yang merungkai perkara berkaitan dengan kepentingan negara anggota di samping mengukuhkan kerjasama antara kerajaan dengan kolaborasi agensi antarabangsa. Anjakan diplomasi berlaku sejak tahun 1989 apabila forum ini mula mengadakan mesyuarat tahunan dengan negara rakan dialog, iaitu Amerika Syarikat, China, India, Jerman, United Kingdom, Perancis, Kesatuan Eropah, Kanada, Sepanyol, Türkiye, Indonesia, Cuba, Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Filipina, Itali dan Jepun.

Sejak bertahun-tahun, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis mempunyai pengaruh hebat di Kepulauan Pasifik. Kebelakangan ini, wilayah ini mendapat perhatian daripada kuasa besar yang lain seperti China dan India. Negara tersebut cuba mendapatkan pengaruh dari segi keselamatan, perdagangan dan pembangunan.

Hubungan India-Kepulauan Pasifik

Hubungan India dengan negara Kepulauan Pasifik sentiasa baik. Sebagai negara bekas kolonial British, pengalaman India hampir sama dengan negara Australia, New Zealand, Fiji, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon. Penduduk negara tersebut turut terdiri daripada masyarakat yang berasal dari Tanah Besar India. Mereka didatangkan oleh British pada akhir abad ke-19 untuk membangunkan wilayah dari segi ekonomi dan sosial. Sungguhpun demikian, kedua-dua pihak menghadapi masalah yang sama dalam beberapa hal, khasnya dalam perubahan iklim dan kekangan air.

Forum Kerjasama India-Kepulauan Pasifik telah dilancarkan di Fiji pada tahun 2014. Forum ini dianggotai oleh 14 buah negara, iaitu Fiji, Kepulauan Cook, Kiribati, Kepulauan Marshall, Mikronesia, Nauru, Niue, Palau, Papua New Guinea, Samoa, Kepulauan Solomon, Tonga, Tuvalu dan Vanuatu.

Mutakhir, Perdana Menteri India, Narendra Modi telah menghadiri Forum Dialog Pemimpin Kepulauan Pasifik pada 22 Mei 2023 di Port Moresby, Papua New Guinea.

Foto ihsan daripada laman Twitter Perdana Menteri India, Narenda Modi.

Melalui forum tersebut, India menyatakan komitmennya yang tinggi dalam memainkan peranan penting di Lautan Hindi, khasnya untuk melindungi kepentingan strategik dan komersial. Maka itu, Forum India-Kepulauan Pasifik turut dilihat sebagai sebuah inisiatif yang penting. India menawarkan bantuan utama dalam beberapa projek di Kepulauan Pasifik. Antaranya termasuklah sumbangan sebanyak USD 1 juta bagi perkara yang berikut:

  • menampung perubahan iklim dan tenaga yang bersih, penambahbaikan rangkaian digital melalui e-talian Kepulauan Pasifik
  • mendirikan pejabat khas dan pejabat perdagangan di India
  • melanjutkan visa semasa ketibaan di lapangan terbang India untuk semua 14 negara Kepulauan Pasifik
  • meningkatkan kualiti hidup rakyat Kepulauan Pasifik melalui aplikasi teknologi angkasa lepas
  • memberikan latihan kepada diplomat dari negara Kepulauan Pasifik
  • meningkatkan Grant-in-Aid tahunan kepada 14 buah negara Pasifik untuk projek komuniti pilihan masing-masing
  • melancarkan Program Pelawat Baharu untuk negara Kepulauan Pasifik

India juga melancarkan Pelan Tindakan 12 Perkara semasa Forum Ketiga bagi Sidang Kemuncak Kerjasama Kepulauan India-Pasifik:

Kehadiran India dapat mengisi jurang dalam memenuhi keperluan pembinaan kapasiti rantau di selatan Pasifik India yang menyumbang kepada dua bidang yang penting, iaitu pembangunan sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan mitigasi perubahan iklim. Sebagai kuasa gergasi ekonomi, India berpotensi untuk memacu ekonomi yang berorientasikan mampan di Indo-Pasifik selari dengan Strategi Pasifik Biru dan usaha memerangi perubahan iklim. Akta Dasar Pandang ke Timur India, visi Indo-Pasifik dan Forum India-Kepulauan Pasifik menyumbang kepada rakan strategik. Melalui Indo-Pacific Oceans Initiatives (IPOI) 2019, India mula menentang perkembangan dan pengaruh China di kepulauan tersebut.

Pengaruh China terganggu akibat konflik China-Taiwan. Hal ini tercetus apabila wujudnya negara di Pasifik yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan Taiwan dan hal ini bercanggah dengan Dasar Satu Negara China. Mekanisme IPOI memberikan keutamaan kepada tujuh tonggak yang merangkumi keselamatan maritim, ekologi marin dan sumber-sumber marin. India bertegas bahawa Kepulauan Pasifik mempunyai potensi ekonomi yang agak besar, khususnya dalam penjagaan kesihatan, teknologi maklumat, tenaga yang boleh diperbaharui dan pembangunan infrastruktur.

Semasa berucap dalam Forum Kerjasama Indo-Pasifik di Papua New Guinea pada 22 Mei 2023, Narendra Modi telah melaungkan keperluan suara dunia selatan yang lantang dan jelas di arena Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Menurutnya lagi, India percaya terhadap multilateralisme dan Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan inklusif. Oleh hal yang demikian, India meyakinkan negara-negara Pasifik supaya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain. Lebih-lebih lagi, India merupakan rakan strategik Dialog Keselamatan Segi Empat (QSD) yang biasanya dikenali sebagai “Quad” dengan Australia, Jepun dan Amerika Syarikat. Jalinan ini mengembangkan sayap logistik ketenteraan India di Indo-Pasifik.

Menurut Pengarah Eksekutif Institute of National Affairs Papua New Guinea, Paul Barker, lawatan Narendra Modi mempunyai rencana untuk meningkatkan pengaruh diplomatik India di Kepulauan Pasifik. Sebagai kuasa alternatif sumber ekonomi dan politik, terutamanya sebagai peneraju Pergerakan Negara-negara Berkecuali sejak bertahun-tahun dan negara G20, India dapat menyuarakan kepentingan negara Kepulauan Pasifik secara lantang di forum antarabangsa.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berpendapat India yang merupakan kuasa demokrasi sedunia yang terbesar dapat menyemarakkan semangat demokrasi yang lebih kuat di Australia. Dalam ucapannya dengan masyarakat diaspora India di Sydney, Australia pada 23 Mei 2023, beliau mengangkat Perdana Menteri India itu sebagai ketua. Perdana Menteri Papua New Guinea, James Marape yang mempengerusikan sidang kemuncak ketua kerajaan negara Pasifik pada 21 Mei 2023 juga telah menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada India yang telah menyelamatkan nyawa ratusan ribu penduduk Kepulauan Pasifik dengan vaksin pencegah COVID-19 secara percuma.

Kesimpulan
Sejak kebelakangan ini, pendirian India yang bebas dalam beberapa isu antarabangsa seperti Perang Rusia-Ukraine dan isu berkaitan dengan sekatan ekonomi terhadap Rusia menunjukkan India mempunyai dasar luar negara yang kukuh. Oleh sebab itu, India turut memainkan peranan penting dalam menjajarkan geopolitik antarabangsa. Sebagai kuasa yang menjaga keamanan di Lautan Hindi dan Indo-Pasifik, India mempunyai hubungan yang baik dengan negara ASEAN, kepulauan Pasifik, Asia Selatan dan Asia Barat. Hal ini secara tidak langsung dapat mengimbangi pola geopolitik di Kepulauan Pasifik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.