25 Ogos 2023, 19:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 19 Oktober 2022, sebuah laporan telah dihasilkan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk hak asasi manusia di Wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese. Dalam laporan tersebut, Albanese menyatakan bahawa adalah penting untuk “membubarkan keadaan pendudukan oleh penjajah-peneroka Israel dan amalan aparteid di Tebing Barat” dalam usaha merealisasikan hak mutlak rakyat Palestin dalam menentukan nasib mereka.

Bagi Albanese, kezaliman di wilayah yang diduduki di Tebing Barat adalah jelas. Menurutnya, objektif Israel juga jelas; yakni sedang cuba memadamkan identiti Palestin di sana. Bagi beliau, perkara yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin dilihat sama dengan “penganiayaan” dan “hukuman kolektif”.

Sekarang semakin banyak pengkaji di Palestin merumuskan bahawa Israel merupakan lambang sebuah projek penjajah-peneroka. Tindakan keras terus dilakukan oleh Israel terhadap pendudukan Palestin. Sebarang penentangan terhadap mereka oleh warga Palestin dikatakan akan menggagalkan objektif utama projek Zionis, walhal di bawah undang-undang antarabangsa, adalah menjadi hak warga Palestin di Tebing Barat untuk menggunakan apa-apa cara bagi menentang kependudukan orang asing di tanah air mereka.

Penggunaan istilah peneroka-penjajah atau settler-colonialism untuk menggambarkan keadaan di Palestin bukanlah perkara baharu. Dalam kertas kerja bertajuk “A Century of Settler Colonialism in Palestine: Zionism’s Entangled Project”, Tariq Dana dan Ali Jarbawi dari Universiti Birzeit menjelaskan bahawa, gerakan Zionis membina projek penjajahan paling canggih yang dipanggil negara Israel. Mereka seterusnya menyifatkan penjajahan oleh peneroka Zionis juga sama seperti projek penjajah-peneroka lain, seperti yang ditakrifkan oleh Patrick Wolfe, iaitu sarjana terkemuka dalam bidang peneroka-penjajahan. Menurut Wolfe, aktiviti penjajahan-peneroka berpaksikan keperluan untuk menghapuskan penduduk asal supaya dapat digantikan oleh satu kumpulan peneroka baharu. Dalam kes Palestin, orang asal negara tersebut ialah orang Palestin dan penjajah baharu terdiri daripada orang Yahudi dari Eropah.

Seorang daripada sarjana Yahudi terulung dalam sejarah moden Palestin, Ilan Pappe, juga menggambarkan bahawa Israel itu sebagai projek penjajah-peneroka Zionis yang sama seperti projek penjajah-peneroka di Amerika, Australia dan Afrika Selatan. Menurut Ilan Pappe, terdapat konflik yang tidak berkesudahan di Palestin semata-mata kerana hasrat peneroka Zionis dalam mewujudkan tanah air baharu untuk Yahudi bertembung dengan aspirasi penduduk tempatan asal di Palestin.

Pappe menjelaskan bahawa situasi yang sedang berlaku di Palestin berbeza daripada kes di Amerika dan Australia. Dalam kes Amerika dan Australia, penghapusan fizikal penduduk asal telah berlaku secara keseluruhan. Namun begitu, hal  ini tidak berlaku di Palestin kerana penentangan berterusan oleh warga Palestin terhadap penjajahan tanah air mereka. Sebaliknya, keadaan di Palestin ada persamaan dengan perkara yang telah berlaku di Afrika Selatan, apabila peneroka menempatkan penduduk asal di kawasan tertutup atau enklaf dan mengenakan sistem aparteid untuk mengawal mereka.

Dr. Peter Slezak, seorang daripada ahli panel penasihat kepada Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani di Universiti Malaya, pernah menjelaskan bahawa projek penjajahan-peneroka di Palestin banyak dibantu oleh pihak British. Sebagai contoh, kerajaan Britain secara rasmi mengesahkan sokongan mereka kepada projek ini pada 2 November 1917, apabila setiausaha luarnya, Arthur Balfour, mengumumkan bahawa sokongan kerajaan British kepada idea “tanah kebangsaan (national homeland) bagi orang Yahudi” tanpa “prasangka” terhadap “hak sivil dan agama masyarakat bukan Yahudi di Palestin”.

Menurut Ilan Pappe, akar umbi sokongan British terhadap projek penjajahan-peneroka Zionis di Palestin merupakan dogma Zionis Kristian evangelis yang menekankan kepentingan dari aspek agama kepada idea “kepulangan” orang Yahudi ke Palestin, sebagai pelopor untuk Kedatangan Kedua Mesiah.

Projek penjajahan-peneroka semakin maju apabila Herbert Samuel, seorang rakyat British berbangsa Yahudi dilantik sebagai pesuruhjaya tinggi British pertama Palestin pada tahun 1920. Beliau memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar yang memudahkan kemasukan lebih banyak peneroka Yahudi ke Palestin dengan membeli tanah daripada pemilik tanah Arab yang tidak hadir kerana mereka tinggal di kawasan lain seperti Lubnan dan Syria.

Menurut sarjana Palestin, Allahyarham Ismail Faruqi, pemilik tanah yang tidak hadir itu telah dianugerahkan tanah itu beberapa dekad lebih awal oleh kerajaan Uthmaniyyah, kebanyakannya tanpa pengetahuan rakyat Palestin yang telah mendiami tanah tersebut sejak ratusan tahun sebelum itu.

Mujurlah, rakyat Palestin sedar bahawa kedatangan peneroka Yahudi ke tanah mereka bukanlah satu bentuk imigran biasa tetapi merupakan sebahagian daripada usaha gerakan Zionis untuk memindahkan rakyat Palestin keluar dan digantikan dengan orang Yahudi. Oleh hal yang demikian, mereka dengan tegas menentang usaha untuk mencuri tanah air mereka secara bersenjata.

Malangnya, tentera British mempunyai kelengkapan yang lebih baik dan telah mengalahkan perjuangan rakyat Palestin. Kebanyakan pemimpin Palestin telah terbunuh, cedera atau diusir dari negara mereka. Seorang daripada mereka ialah Sheikh Izzudin Al Qasam, yang namanya telah diterima pakai oleh Briged Qassam, iaitu sayap tentera gerakan Hamas sekarang.

Menjelang tahun 1948, gerakan Zionis cukup kuat dari segi ketenteraan untuk menjalankan operasi untuk memindahkan penduduk asal Palestin tanpa bantuan British. Kumpulan separa tentera Zionis melakukan kekejaman untuk tujuan itu, termasuklah pembunuhan beramai-ramai; yang paling terkenal ialah di sebuah kampung bernama Deir Yassin. Mereka membunuh lebih daripada ratusan rakyat Palestin, termasuklah wanita, kanak-kanak dan orang tua. Dalam erti kata lain, projek peneroka-penjajah turut melibatkan proses penghapusan etnik.

Menurut Ilan Pappe, pihak Zionis telah mengusir separuh daripada penduduk Palestin ketika itu, merobohkan separuh daripada kampung mereka dan memusnahkan kebanyakan bandar Palestin. Atas runtuhan tersebut, Zionis membina banyak “kibbutz” atau komuniti Yahudi. Mereka juga menanam pokok pine dari Eropah untuk menghapuskan sifat dan identiti Arab di bumi Palestin.

Terdapat juga rakyat Malaysia yang tidak memahami logik penjajahan-peneroka Zionis dan tidak menyedari tindakan penghapusan etnik di Palestin kini melawat “kibbutz” tersebut dan mengagumi “kepintaran” orang Yahudi dalam mengubah “padang pasir menjadi kawasan hijau dan subur”. Yang paling sedih ialah beberapa orang pemimpin negara Arab, khususnya dari UAE dan Bahrain telah melakukan normalisasi hubungan dengan Israel walaupun ini merupakan pengkhianatan kepada perjuangan pembebasan Palestin.

Sudah tiba masanya untuk rakyat yang berhati murni di seluruh dunia meyakinkan pemimpin mereka bahawa semua percubaan rundingan damai dengan Israel akan menjadi sia-sia sekiranya tidak memberikan tumpuan terhadap hak asasi manusia Palestin dan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri. Kita juga seharusnya memberikan perhatian kepada seruan gerakan boikot Israel antarabangsa (yang dikenali sebagai Boycott, Divestment and Sanctions atau BDS) kepada masyarakat dunia untuk memboikot Israel selagi mereka tidak memenuhi tiga tuntutan:

  • Tamatkan pendudukan dan penjajahannya ke atas semua tanah Arab yang diduduki pada tahun 1967 dan merobohkan tembok pemisah di Tebing Barat.
  • Mengiktiraf hak asasi rakyat Arab-Palestin di Israel untuk kesaksamaan penuh.
  • Menghormati, melindungi dan mempromosikan hak orang pelarian Palestin untuk pulang ke rumah dan kampung halaman mereka seperti yang ditetapkan dalam Resolusi PBB 194.

Profesor Dr. Mohd Nazari Ismail, Pengarah Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani Universiti Malaya, merangkap Pengerusi BDS Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.