Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan Sekarang“Apakah langkah yang diambil oleh seorang yang rasional dalam menentukan pilihan antara untung perdagangan dengan bahaya keselamatan alam sekitar?”
Soalan seumpama ini sememangnya menarik untuk diketahui jawapannya. Soalan seperti ini juga biasanya diajukan kepada pelajar di menara gading sebagai latihan berfikir. Sebahagian besar daripada jawapan kepada soalan ini tertakluk kepada pengertian “rasional” itu sendiri dan pihak yang ditujukan soalan tersebut.
Sekiranya takrif “rasional” difahami sebagai logik untung dan rugi individu yang berdagang, tentulah untung perdagangan itu lebih utama daripada penjagaan alam sekitar. Walau bagaimanapun, sekiranya takrif logik itu berdasarkan keselamatan makhluk planet bumi ini, tentulah penjagaan keselamatan alam sekitar berkenaan perlu diutamakan. Seattle, ketua puak Suquamish dan Duwamish di Amerika Syarikat pernah menyatakan bahawa bumi bukan milik manusia, sebaliknya manusia milik bumi.
Pada kebiasaannya, apabila wujud konflik antara keuntungan daripada perdagangan bebas dengan keperluan menepati peraturan alam sekitar, badan-badan antarabangsa cenderung memihak kepada keuntungan perdagangan bebas. Sistem dunia yang dipertanggungjawabkan untuk memantau isu keselamatan alam sekitar itu bukanlah tidak ada. Tentunya ada, misalnya Organisasi Perdagangan Antarabangsa (WTO) dan Perjanjian Umum Perdagangan dan Tarif (GATT). Walau bagaimanapun, objektif di sebalik penubuhan badan berkenaan lebih berasaskan penyelarasan aktiviti dagangan, bukannya penjagaan alam sekitar.
Liberalisme dan Ortodoks Ekonomi
Kita mungkin pernah mendengar hujah yang menyatakan, “Apabila kekayaan dan kemakmuran meningkat, orang ramai akan mendapat insentif dan keupayaan untuk memperbaiki alam sekitar”. Logik seperti ini sememangnya lunak didengar, malah mereka yang berpegang kepada rasionaliti sedemikian percaya melalui kecekapan ekonomi, negara dapat menggunakan lebih banyak barangan berdasarkan sumber yang terhad. Negara maju akan dapat menghasilkan dan menyebarkan teknologi yang lebih mesra alam sekitar kepada negara membangun.
Logik sedemikian datangnya daripada pemikiran golongan liberalisme ekonomi. Mereka percaya bahawa amalan teori kelebihan perbandingan yang ada dalam perdagangan bebas akan menguntungkan semua pihak dan memberikan kesan positif kepada alam sekitar. Namun ini tidaklah bermakna perkara yang sudah terang lagi bersuluh membahayakan manusia juga mesti dikorbankan demi keuntungan berkenaan. Mereka juga percaya bahawa kawalan terhadap dagangan tertentu yang akan menjejaskan keuntungan jangka panjang mestilah dilakukan oleh kerajaan. Sebagai contoh, kerajaan mestilah mengatasi masalah dagangan yang melibatkan aktiviti bahan kimia berbahaya, bahan buangan atau sisa berbahaya dan kegiatan tidak terkawal berkaitan dengan keselamatan spesies terancam.
Kita juga mungkin pernah mendengar logik yang menyebut, “Bagi memastikan keuntungan daripada perdagangan yang bebas, negara sanggup menurunkan piawaian pematuhan alam sekitar demi memastikannya menjadi lebih kompetitif dari segi kos pengeluaran, sehingga sering kali terjadinya isu ‘perlumbaan ke bawah’ (race to the bottom)”. Hujah sedemikian datangnya daripada gerakan masyarakat yang rata-rata bersandarkan Teori Struktural dan Kritikal.
Rata-rata kumpulan ini mengambil pendekatan Marxist bagi melawan kes ekploitasi alam sekitar yang melampau dengan sentiasa curiga dan berhati-hati dengan pengaruh kapitalisme dalam sebarang isu alam sekitar. Menurut kumpulan ini, “perlumbaan ke bawah” tersebut bukan sahaja menjadikan upah buruh murah tetapi juga menjadi faktor banyak negara berkompromi dengan pematuhan piawaian alam sekitarnya dan perlu meningkatkan keuntungannya untuk bersaing dengan firma negara lain. Secara ringkasnya, berdasarkan logik gerakan ini, perdagangan mesti segera disekat sekiranya terdapat petunjuk jelas yang pencemaran alam sekitar telah dan akan berlaku.
Siapakah yang Bertanggungjawab?
Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah semakin besar perdagangan, maka akan semakin banyaklah pula peluang untuk mencuba pelbagai barangan atau penggunaan. Keadaan ini tentulah mendatangkan banyak kesan dan masalah terhadap kelestarian planet bumi ini. Perlu dicatatkan di sini bahawa perdagangan global meningkatkan kos pengangkutan dan sekali gus kepada kos alam sekitarnya yang tersendiri kerana peniaga dan pembeli bukan sahaja berada di tempat yang berbeza tetapi kilang pengeluaran juga berada jauh dari para pengguna. Memang tidak dinafikan bahawa pada masa ini, kebanyakan masalah pencemaran alam sekitar berlaku di negara membangun. Namun begitu, negara maju lebih banyak mendapat faedah daripada pengeluaran berkenaan melalui sistem dagangan antarabangsa yang ada.
Isu dagangan antarabangsa dan alam sekitar diletakkan di bawah kawalan GATT bagi tempoh yang panjang sementelah WTO hanya baru ditubuhkan pada tahun 1995. Oleh itu, jelaslah bahawa GATT dan WTO lebih mengutamakan logik keuntungan perdagangan berbanding dengan matlamat penjagaan alam sekitar. Walau bagaimanapun, perkara ini bukanlah bererti tiada langsung usaha untuk memperbaiki masalah alam sekitar yang diambil oleh badan tersebut.
GATT ditubuhkan pada tahun 1948. Pada era itu, sebagaimana yang dapat dijangka, perlindungan alam sekitar bukanlah isu utama dunia dan masalah pencemaran alam sekitar belum menjadi perkara yang serius. Sebagaimana yang disebut, terdapat beberapa usaha yang diambil oleh GATT bagi mengatasi isu ini. Sebagai contohnya, mekanisme dalam Perkara 20 GATT membenarkan pengecualian kepada peraturan GATT bagi kes alam sekitar yang berkaitan dengan untung dagangan. Pengecualian tersebut menyebut “… – untuk melindungi kehidupan atau kesihatan manusia, haiwan atau tumbuhan …” dan “… – untuk pemuliharaan sumber asli yang habis”.
Namun pengecualian itu diambil kira oleh GATT dengan beberapa kondisi dan terma. Pengecualian tersebut hanya akan dilaksanakan seandainya semua langkah lain yang ada telah pun diambil untuk mengelakkan sekatan perdagangan. Walau bagaimanapun, isu alam sekitar pada hari ini sudah mencapai tahap kronik dan Perkara 20 tidak lagi mampu menampung isu alam sekitar yang berlaku. Permasalahan seperti lambakan sisa di laut dan yang lebih kronik, pemanasan global; mulai kebal terhadap mekanisme yang digariskan oleh GATT. Hanya dengan adanya penubuhan WTO dan langkah susulan selepasnya, isu alam sekitar didapati semakin mendapat perhatian badan dunia dengan lebih baik.
Objektif penubuhan WTO bukanlah semata-mata untuk menyelaraskan perdagangan dunia. Aspek yang ada kaitannya dengan pembangunan mampan dan perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar juga merupakan sebahagian daripada objektif penubuhannya. Kegiatan WTO seperti pengelolaan forum awam dengan pelibatan masyarakat dan sektor swasta serta pemegang taruh yang lain dalam isu di atas menjadi bukti bahawa logik keuntungan tidak menjadi satu-satunya objektif penubuhan WTO.
Dengan lebih berstruktur, WTO memberikan tumpuan kepada perdagangan dan isu alam sekitar berdasarkan dua cara, iaitu penubuhan Jawatankuasa Perdagangan dan Alam Sekitar (CTE) dan meletakkan pertubuhan itu di bawah mekanisme kes penyelesaian pertikaian WTO. Namun begitu, sebagaimana yang dapat diduga, mekanisme itu didapati lebih memihak kepada logik untung perdagangan berbanding dengan faedah alam sekitar.
Seperti catatan Theodore H. Cohn dan Anil Hira dalam buku mereka yang bertajuk Global Political Economy: Theory and Practice (2021), terdapat beberapa pertikaian isu alam sekitar dan dagangan WTO yang penting. Antara yang terkenal termasuklah kes import petrol Amerika Syarikat, kes daging lembu yang menerima rawatan hormon (Kesatuan Eropah), kes asbestos di Perancis dan kes makanan yang diubahsuai secara genetik (Kesatuan Eropah). Antara semua isu tersebut, panel WTO dan Badan Rayuan hanya mengutamakan satu isu alam sekitar, iaitu dengan memutuskan bahawa Perancis boleh menghalang import asbestos Kanada atas alasan kesihatan dan keselamatan.
Contoh seperti inilah yang menyebabkan para pejuang isu penjagaan alam sekitar seperti Green Peace mendakwa wujudnya kelemahan ketara badan antarabangsa yang ada. Malahan gerakan ini sering mendakwa bahawa WTO dan GATT tidak mampu menangani isu alam sekitar ini dan organisasi dunia lain yang berkecuali seperti yang sepatutnya. Bagi mereka, golongan yang mempunyai fahaman seperti Seattle sahaja yang dapat menjiwai isu alam sekitar.
Penutup
Sememangnya ada golongan yang radikal dengan logik untung rugi tanpa mempedulikan soal alam sekitar. Bagi individu seperti ini, sekalipun benar planet bumi ini akan menjadi panas dan “terbakar” dalam 50 tahun akan datang seperti yang digembar-gemburkan, mereka tetap akan mengemukakan logik untung-rugi yang lain pula. Bagi mereka, pada ketika itu, mereka sudah tidak ada lagi. Oleh itu, apakah rasional baginya untuk mengorbankan untung yang dinikmatinya sekarang ini demi menjaga alam sekitar ini sedangkan beliau tidak ada pada masa itu nanti? Manakala bagi mereka yang mencintai alam sekitar, mereka melihat bahawa manusia bukan pemilik bumi tetapi sebaliknya dimiliki oleh bumi. Lagipun, jika diibaratkan bumi ini seperti kapal angkasa yang beredar, di manakah manusia ini akan hidup sekiranya planet yang beredar mengelilingi matahari ini musnah?