7 September 2023, 19:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Memenuhi Harapan” mencerminkan semangat serta komitmen negara Malaysia dalam usaha merealisasikan wawasan perpaduan yang membentuk identiti unik Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki masyarakat pelbagai etnik, agama dan budaya.

Konsep Malaysia MADANI turut menggambarkan semangat untuk mengukuhkan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat pelbagai etnik dengan menjadikannya sebagai model perpaduan dalam dunia yang semakin kompleks ini. Tanggungjawab bagi mencapai perpaduan melalui pelbagai inisiatif yang menitikberatkan prinsip-prinsip MADANI, iaitu kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya dalam ruang dan peluang untuk menonjolkan semangat cinta akan tanah air dan meneruskan keharmonian sedia ada.

Dalam usaha merealisasikan visi Malaysia MADANI yang berjaya, peranan masyarakat, kerajaan dan semua warganegara cukup penting untuk digerakkan bersama-sama. Tema Hari Kebangsaan yang dipilih kali ini jelas mencerminkan semangat Kerajaan Perpaduan  ke arah mewujudkan perpaduan dan membentuk masa depan yang cemerlang. Oleh hal yang demikian, menjadi aspirasi setiap rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan ke-66 dengan semangat Malaysia MADANI yang memiliki kepelbagaian kaum dan etnik, namun tetap bersatu hati dalam mencapai kemajuan dan kejayaan negara.

Bersatu dalam konteks perpaduan sebenarnya melibatkan usaha serius secara berterusan untuk bersama-sama menghormati perbezaan, memahami budaya dan membina kepercayaan dalam kalangan masyarakat. Antara usaha yang dapat membantu rakyat Malaysia untuk bersatu dalam kepelbagaian ialah dengan meningkatkan pendidikan dan kesedaran tentang kepelbagaian budaya, adat resam dan agama di Malaysia. Usaha berterusan ini perlu melibatkan semua pihak, khususnya institusi keluarga dan tidak boleh hanya mengharapkan usaha ini dijalankan oleh pihak sekolah semata-mata kerana platform untuk perbincangan dan dialog antara pelbagai lapisan masyarakat perlu diwujudkan. Kaedah ini disifatkan sebagai sangat penting kerana dapat menyediakan ruang untuk saling bertukar pandangan dan idea dalam keadaan yang harmoni dan muhibah. Sebagai contoh, hubungan sosial khususnya menerusi projek-projek kemanusiaan yang membantu semua lapisan masyarakat terutamanya apabila menerima musibah yang  berbentuk bencana alam seperti banjir, perlu sentiasa diperkukuh dan dilestarikan kerana usaha ini merupakan usaha berterusan yang tiada noktahnya.

Satu daripada usaha yang dianggap sangat penting untuk rakyat pada hari ini termasuklah dengan kembali menghayati dan menterjemahkan Rukun Negara ke dalam kehidupan seharian, sebagaimana yang ditekankan oleh Tun Abdul Razak Hussien, Perdana Menteri Malaysia Kedua pada saat beliau mengetuai Majlis Perundingan Nasional (NCC), iaitu sebuah badan yang bertanggungjawab menggubal Rukun Negara. Beliau menegaskan bahawa rahsia kejayaan Rukun Negara disebabkan oleh keupayaan rakyat menterjemahkannya dalam kehidupan seharian dengan penuh jujur dan ikhlas.

Rukun Negara diperkenalkan pada 1970 berikutan peristiwa 13 Mei 1969 yang dianggap sebagai titik hitam dan secara tidak langsung merupakan satu manifestasi kerapuhan perpaduan antara kaum. Perpaduan kaum merupakan aset utama negara dan menjadi prasyarat kerajaan British untuk memberikan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada tahun 1957.

Rukun Negara dibentuk dengan tujuan yang sangat harmoni. Prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kesejahteraan Malaysia secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, hampir 66 tahun kemerdekaan, Rukun Negara masih dilihat belum menjadi wahana perpaduan yang mantap dalam membentuk negara bangsa yang penuh dengan nilai kemesraan.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengakui nilai-nilai bersama dalam Rukun Negara sebagai titik persamaan yang menyatukan pelbagai kaum di negara ini. Kehidupan yang pelbagai dari segi cara hidup bermula dengan cara berfikir, pastinya merupakan satu cabaran besar untuk Malaysia. Usaha untuk memastikan keharmonian dan kesejahteraan dalam kepelbagaian sering menjadi agenda utama kerajaan kerana ternyata hal ini bukanlah perkara mudah dan pastinya tidak ada negara yang mempunyai sejarah pembentukan negara bangsa seperti ini.

Dalam hal ini, kita perlu memahami keupayaan untuk menterjemahkannya dalam kehidupan setiap warganegara sememangnya perlu datang daripada kemahuan dan komitmen semua individu daripada semua kaum. Kefahaman jitu dan kesediaan untuk mengamalkan kelima-lima prinsip yang mendasari Rukun Negara merupakan perkara asas yang diperlukan demi memastikan prinsip atau rukun tersebut berjaya diterjemahkan dalam kehidupan setiap individu.

Dengan kata mudah, lemah atau kuat, aman atau damai kehidupan dalam aspek perpaduan, semuanya bergantung pada keupayaan kita mengamalkan setiap prinsip yang ada padanya dengan penuh kesungguhan dan kejujuran. Kegagalan untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian menjadikan Rukun Negara hanya sekadar dokumen ideologi kebangsaan dan rakyat umpama kehilangan roh patriotiknya.

Rukun Negara tidak sekadar perlu untuk diketahui malah perlu diperah keluar nilai yang ada di dalamnya, lantas dicernakan nilai tersebut dalam kehidupan seharian. Nilai agama melalui prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan menjadi asas utama dalam kehidupan rakyat. Maka, inilah pasak utama yang seharusnya menjadi teras dalam kehidupan rakyat yang hampir kesemuanya menganut agama dan kepercayaan masing-masing.

Kelima-lima prinsip dalam Rukun Negara perlu dipastikan berdiri dengan tegak dan kukuh. Seandainya runtuh satu tiang, maka tempanglah keadaan. Samalah juga jika rukun yang lain berjaya diamalkan, namun ada rukun-rukun yang cuba dicabar, maka di sinilah bermulanya konflik atau ancaman yang tidak sihat. Oleh itu, menjadi harapan yang besar kepada semua kaum sekiranya keamanan, kesejahteraan dan kedamaian negara menjadi perkara utama yang diinginkan, maka mereka tiada pilihan melainkan mengamalkannya dengan penuh kejujuran. Namun begitu, seandainya kemahuan dan kepentingan golongan tertentu yang menjadi keutamaan, sudah tentu hal ini menyumbang kepada punca berlakunya masalah dalam perpaduan kaum di Malaysia. Sesungguhnya elemen kesopanan dan kesusilaan sesuatu bangsa itu perlu ditonjolkan dalam seluruh aspek kehidupan sosial mereka jika aspek kesejahteraan, keamanan dan kedamaian menjadi idaman rakyat Malaysia.

Dengan penuh keyakinan dan semangat, Malaysia MADANi berdiri bukan sekadar impian, tetapi sebagai sebuah ikrar dan janji serta satu visi yang mencerminkan harapan untuk ditempuhi bersama-sama. Semangat perpaduan yang tumbuh daripada akar ajaran agama yang disemai, menjadi pasak dan tiang seri yang kukuh dalam melangkah maju ke hadapan dengan bersulamkan nilai-nilai murni kehidupan bermasyarakat seperti kesopanan dan kesusilaan, beradab, berakhlak dan beretika, sebagai panduan untuk melangkah maju dengan tekad yang tidak tergoyah.

Rukun Negara, sebagai puncak prinsip, memandu kita untuk mengukir kehidupan yang sejahtera dan serasi, selain menggabungkan pelbagai kaum dalam keharmonian yang memukau. Oleh sebab itu, inilah waktunya untuk kita buktikan sebagai rakyat yang tiada pilihan lain, melainkan melangkah bersama-sama dengan menunjukkan tindakan kita dengan keikhlasan dan hati yang penuh kejujuran. Dengan bingkai inilah, Malaysia MADANI muncul dengan kekuatan dan kegemilangannya yang tersendiri sebagai acuan pembinaan negara bangsa masa kini.

Sebagai rakyat Malaysia, kita berdiri sebagai penjaga warisan budaya yang pelbagai, harapan yang satu dan tekad yang bulat, seiring dengan laungan gema kemerdekaan. Semangat Malaysia MADANI terpapar dalam segala tindakan kita, mencirikan satu bangsa, satu negara dengan semangat kepelbagaian sebagai kekuatan sejati negara. Oleh itu, sama-samalah kita mewujudkan impian Malaysia MADANI yang megah, mantap dan mekar di bawah cahaya kepelbagaian budaya dan bersatu dalam satu semangat. Dirgahayu Malaysia!

Profesor Madya Dr. Ratna Roshida Ab. Razak, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.