9 September 2023, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Usai Pertandingan Mewarna Malaysia MADANI, para peserta bergambar bersama-sama Encik Jaini Abdul Ghani daripada Studio Jai, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Puan Christhiee Shenna Chin dari UMS dan Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, serta tetamu kehormat yang lain di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah, semalam.

Kota Kinabalu – Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah menganjurkan Pertandingan Mewarna Malaysia MADANI pada 7 September 2023 di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah.

Program ini diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan kanak-kanak, di samping menonjolkan bakat dan kreativiti, khususnya dalam menghayati konsep Malaysia MADANI.

Sebanyak 50 orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun di sekitar Kota Kinabalu telah menyertai program ini yang mewakili Tadika Ria Yayasan Sabah, Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tabika KEMAS Kampung Warisan, Tabika KEMAS Kampung Kalansanan, Tabika KEMAS KPKPS dan Tabika KEMAS Teluk Likas.

Pertandingan ini telah diadili oleh Encik Jaini Abdul Ghani daripada Studio Jai, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Puan Christhiee Shenna Chin dari UMS.

Johan Pertandingan Mewarna Malaysia MADANI telah diungguli oleh adik Ayesha Aqillah Rijun dari Tadika Ria Yayasan Sabah, tempat kedua dimenangi oleh adik Shazleeyanie Rosli dari Tabika KEMAS Teluk Likas manakala tempat ketiga disandang oleh adik Mohd. Adif Ifwat Mohd. Hisyamudin juga dari Tabika KEMAS Teluk Likas.

Semua pemenang termasuklah 10 pemenang sagu hati menerima hadiah berupa barangan peralatan alat tulis dan sijil penghargaan daripada DBP Cawangan Sabah. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP merangkap Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA).

Program ini turut dihadiri oleh Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Dr. Suwaibah Zakaria, Pengarah Pusat Minda Lestari (PML) UMS, Puan Hajah Asnah Awang Besar mewakili Pengurus Kumpulan, Bahagian Perkembangan Kanak-kanak, Kumpulan Yayasan Sabah serta Puan Latifah Kassim, Pegawai KEMAS Kota Kinabalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.