14 September 2023, 16:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Majlis Profesor Negara telah mengadakan program Minda Profesor yang bertajuk “Kestabilan Politik Teras Pembangunan Negara Bangsa”. Program itu diadakan bersempena dengan Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September 2023.

Program itu menampilkan Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Abu Shah, Profesor Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian dan Profesor Madya Dr. Azmul Fahmi Kamaruzaman sebagai ahli panel program itu. Dr. Muhammad Asri Mohd Ali pula bertindak sebagai moderator dalam program tersebut. Profesor Madya Dr. Azmul Fahmi Kamaruzaman menyatakan bahawa Islam menjadi panduan untuk memperkasakan rakyat khususnya masyarakat Melayu secara bertamadun dan maju dengan penubuhan beberapa institusi seperti Tabung Haji, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Beliau juga turut menyatakan bahawa kerajaan sentiasa memastikan ajaran Islam tidak terpesong dan menggunakan konsep wasatiyyah bagi menjamin keharmonian negara.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa generasi muda masa ini perlu dididik dengan memberikan kefahaman yang jelas tentang hubungan Islam dengan politik. Agama dijadikan sebagai mekanisme untuk memandu rakyat agar dapat membuat keputusan yang rasional. Beliau juga menyifatkan bahawa kekuasaan kerajaan mempunyai tiga ciri utama iaitu, disokong oleh bangsa yang sama, disokong oleh orang setia dan penjawat awam. Tiga ciri utama ini membolehkan kestabilan politik diwujudkan.

Profesor Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian pula menyifatkan bahawa Malaysia mempunyai komposisi masyarakat yang unik iaitu, masyarakat majmuk yang mewujudkan kepelbagaian budaya dan fahaman. Tambah beliau, masyarakat perlu mempertahankan identiti nasional, iaitu perlembagaan, fasih berbahasa Melayu dan bangga menjadi warganegara Malaysia. Beliau berpendapat kerajaan perlu memperkukuhkan nilai intergrasi bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Selain itu, masyarakat perlu mencari nilai kesepakatan antara kaum dan bertolak ansur serta mendalami Rukun Negara supaya dapat melahirkan masyarakat yang penyayang. Nilai kemanusiaan yang tinggi dalam masyarakat boleh menjelmakan kestabilan negara dan melahirkan bangsa Malaysia.

Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Abu Shah pula menyatakan bahawa sekolah kebangsaan dan sekolah menengah perlu menjadi institusi yang menyuburkan semangat nasionalisme dan jati diri dalam kalangan generasi muda. Peranan dan tenaga kerja kedua-dua institusi itu perlu diperkasakan dan diperkemas agar dapat melahirkan masyarakat yang berpendidikan dan bersatu padu. Oleh itu, kerajaan perlu menambah baik kemudahan institusi pendidikan tersebut dan menggalakkan masyarakat majmuk bagi mendapatkan pendidikan di institusi itu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.