14 September 2023, 19:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 31 Ogos yang lalu, Malaysia telah menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan yang ke-66 tahun. Perarakan besar-besaran telah diadakan di Putrajaya dengan dihadiri oleh semua pemimpin negara. Jalur Gemilang turut dikibarkan di seluruh negara sama ada di bangunan kerajaan dan korporat, premis-premis perniagaan, di kediaman rakyat termasuklah di kenderaan awam mahupun persendirian. Begitulah meriahnya sambutan kemerdekaan yang diraikan oleh rakyat Malaysia. Suasana yang sama ini sebenarnya dirasai saban tahun semenjak merdeka.

Dari segi bahasa, merdeka bermaksud bebas, berdiri sendiri dan tidak bergantung kepada yang lain. Orang atau negara yang bebas merupakan individu atau negara yang mampu melakukan sesuatu untuk diri sendiri dan membuat keputusan sendiri tanpa bantuan atau pengaruh daripada orang atau pihak lain. Berdasarkan makna tersebut maka saya menyeru kepada pembaca sekalian untuk bertanya kepada diri sendiri, adakah benar rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang betul-betul merdeka? Pada pemerhatian saya, ramai rakyat Malaysia belum merasai kemerdekaan hidup yang sebenar dan berikut merupakan penjelasan saya.

Kita maklum bahawa kata lawan bagi kemerdekaan adalah perhambaan. Pada zaman dahulu, amalan perhambaan merupakan sesuatu yang lumrah termasuklah dalam masyarakat Islam sendiri. Ada hamba yang sememangnya dilahirkan dalam situasi perhambaan dan ada juga yang menjadi hamba akibat daripada ketidakmampuan untuk membayar balik hutang kepada pemiutang. Kita patut bersyukur yang amalan perhambaan kerana tidak dapat membayar hutang tidak lagi diamalkan kini, namun seseorang yang menghadapi masalah hutang yang serius mungkin akan berada dalam keadaan yang sama dengan orang-orang yang diperhambai pada masa lalu. Sebagai contoh, seseorang yang terjerat dengan hutang tidak akan mempunyai pilihan selain terpaksa bekerja siang dan malam untuk menyelesaikan hutangnya. Dia mungkin tidak berjalan dengan rantai fizikal di leher, akan tetapi hakikatnya hutang itu merantai hidupnya.

Orang yang mempunyai beban hutang yang tidak dapat diselesaikan boleh dieksploitasi dengan mudah. Terdapat banyak kes wanita yang mengalami gangguan seksual oleh majikan apabila mereka mengetahui wanita berkenaan dibebani hutang dan terdesak untuk mendapatkan bantuan kewangan. Bahkan ada juga wanita yang dipaksa untuk melacur oleh suami sendiri yang terbelit dengan hutang. Dari satu segi, wanita yang menghadapi kes malang seperti ini sebenarnya berada dalam keadaan yang lebih teruk daripada orang yang diperhambai.

Pada peringkat nasional, negara yang dibebani hutang juga berpotensi untuk kehilangan kemerdekaannya kerana perlu mempertimbangkan kehendak pemiutang asing apabila menggubal dasar dan undang-undang negara. Banyak contoh negara yang pada zahirnya kelihatan kukuh dari segi ekonomi, namun telah kehilangan kemerdekaan kerana bebanan hutang yang tinggi. Satu contoh negara yang berada dalam keadaan tersebut ialah Korea Selatan. Pada tahun 1945, Korea Selatan telah mencapai kemerdekaan daripada penjajahan Jepun. Negara ini seterusnya mengalami transformasi ekonomi yang pantas daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada menjadi sebuah negara perindustrian pada tahun 1980-an. Walau bagaimanapun, kemerdekaan mutlak Korea Selatan terjejas teruk pada tahun 1997 apabila negara-negara Asia Tenggara mengalami krisis kewangan yang membawa kepada kejatuhan pasaran serantau untuk eksport Korea.

Sebelum krisis ini berlaku, pasaran bagi hampir separuh daripada eksport Korea Selatan adalah ke negara-negara Asia. Pada tahun 1998, nilai eksportnya ke negara-negara Asia menyusut hampir 30 peratus. Mata wang Korea Selatan juga mengalami penurunan nilai, dan akibatnya pendapatan daripada eksport telah berkurangan dengan drastik. Faktor penting yang menyebabkan Korea Selatan kehilangan kemerdekaan ialah masalah kewangan yang dihadapi oleh syarikat Korea Selatan, terutamanya firma-firma besar yang dipanggil “chaebol”, yang berkembang dengan menggunakan hutang daripada sumber asing. Kemerosotan nilai Won Korea mengakibatkan hutang menjadi sangat mahal. Bank-bank milik Korea Selatan yang meminjam dolar dari luar negara untuk memberikan pinjaman pada kadar negatif kepada “chaebol” Korea juga menghadapi ketidakmampuan untuk membayar kerana kegagalan peminjam membayar pinjaman mereka.

Tanpa dana tambahan, satu-satunya alternatif yang ada ialah menutup kilang-kilang, membiarkan “chaebol” menjadi muflis dan memecat pekerja, namun pemimpin Korea Selatan sedar jika perkara itu berlaku, kesan sosial yang sangat dahsyat juga akan berlaku kerana jaringan keselamatan sosial sangat minimum, ditambah pula dengan tradisi pekerjaan seumur hidup serta kewujudan beberapa kesatuan buruh yang paling militan di dunia. Oleh itu, untuk mengelakkan berlakunya suasana kacau bilau, Korea terpaksa mendapatkan bantuan daripada Tabung Kewangan Dunia (IMF) melalui pakej pinjaman besar-besaran berjumlah $A.S.57 bilion. Pada masa yang sama, Korea Selatan terpaksa bersetuju untuk melepaskan kebebasan kewangannya dan menerima beberapa syarat yang dikenakan oleh IMF untuk mendapatkan pinjaman tersebut. Syarat yang dikenakan termasuklah kebebasan dasar monetari yang lebih besar untuk bank pusat, struktur baharu untuk peraturan kewangan dan menjelang April 2001, penarikan siling 50 peratus ke atas pemilikan asing syarikat Korea tersenarai.

Selain itu, bank Korea juga terpaksa akur dengan piawaian perakaunan antarabangsa, seperti mengetepikan peruntukan penuh untuk kerugian pinjaman. Firma asing turut dibenarkan untuk pengambilalihan firma Korea yang menghadapi masalah kewangan. Di samping itu, bank asing dan broker saham asing juga dibenarkan untuk membuka anak syarikat milik penuh. Akibatnya, kerajaan Korea telah terpaksa menjual 51 peratus saham Bank Pertama Korea, iaitu satu daripada dua bank yang paling bermasalah kepada konsortium firma kewangan Amerika, iaitu Newbridge dan GE Capital.

Pakej pinjaman IMF telah dikeluarkan secara berperingkat. Oleh sebab itu, Korea Selatan terpaksa memenuhi kriteria prestasi terperinci sebelum menerima ansuran pinjaman selanjutnya daripada IMF. Selain itu, bank asing juga menetapkan syarat kepada Korea Selatan sebelum bersetuju memberikan masa tambahan kepada negara itu untuk membayar balik hutang asing jangka pendeknya sebanyak $A.S.150 bilion. Jelaslah bahawa hutang asing yang besar yang terkumpul sebelum krisis ekonomi mampu menghakis kedaulatan dan kemerdekaan Korea Selatan dengan begitu ketara sekali.

Satu lagi negara yang kehilangan kemerdekaan kewangannya ialah Sri Lanka walaupun mereka telah merdeka daripada pemerintahan British pada tahun 1948. Namun begitu, seperti Korea Selatan, Sri Lanka juga terpaksa tunduk kepada arahan daripada institusi kewangan asing sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Arahan terbaharu datang daripada IMF pada bulan Mac tahun ini dalam bentuk syarat yang dikenakan ke atas Sri Lanka sebelum memberikannya pinjaman sebanyak $A.S.3 bilion. IMF mahu Sri Lanka melaksanakan “strategi yang boleh dipercayai dan koheren untuk memulihkan kestabilan makroekonomi negara”. Hal ini merupakan nasihat tipikal yang kebiasaannya diberi oleh IMF kepada mana-mana negara yang meminta bantuannya akibat krisis ekonomi dan kewangan. Kerajaan Sri Lanka perlu menghapuskan atau mengurangkan subsidi, meningkatkan hasil cukai dan meningkatkan kadar faedah untuk menangani inflasi. Semua langkah tersebut akan menyebabkan kesusahan kepada rakyat biasa.

Namun demikian, Sri Lanka tidak mempunyai pilihan lain selain bersetuju dengan syarat pinjaman kerana semenjak tahun lalu, negara tersebut tidak dapat membayar hutang luar negaranya yang berjumlah $A.S. 51 bilion. Pada asasnya, Sri Lanka memerlukan lebih banyak mata wang asing, terutamanya dalam bentuk Dolar AS, untuk membayar hutang luar dan menampung kos mengimport barangan keperluan seperti makanan serta bahan api. Akibatnya, berjuta-juta rakyat Sri Lanka mengalami pelbagai masalah, termasuklah kekurangan makanan dan gangguan bekalan elektrik yang semakin kerap.

Tiga elemen utama yang menyumbang kepada masalah Sri Lanka ialah kepimpinan negara yang korup dan populis, sistem ekonomi berasaskan hutang dan nilai rakyat yang tidak memandang jauh ke hadapan serta hanya mahukan penyelesaian segera kepada masalah mereka. Korupsi dan nepotisme yang berleluasa dalam kalangan pemimpin di Sri Lanka sememangnya diketahui umum. Semua orang tahu bahawa peluang pekerjaan dan perniagaan adalah lebih cerah dalam kalangan mereka yang rapat dengan mantan Presiden, Gotabaya Rajapaksa dan abangnya, Mahinda Rajapaksa yang merupakan mantan Perdana Menteri. Menurut satu laporan, mereka berdua dan beberapa orang saudara terdekat mereka menyelia jabatan dan agensi kerajaan yang mengawal hampir 70 peratus bajet Sri Lanka. Projek infrastruktur mega menggunakan wang yang dipinjam dari bank China juga membuka banyak peluang untuk amalan rasuah.

Walau bagaimanapun, elit politik Sri Lanka tahu kaedah untuk mengekalkan kuasa politik mereka iaitu melalui pelaksanaan dasar populis. Sebagai contoh, pada tahun 2019 mereka memutuskan untuk mengurangkan cukai. Langkah seperti ini amat popular dalam kalangan pengundi dan membantu memastikan sokongan rakyat terhadap kerajaan tidak terjejas. Untuk memastikan populariti berterusan, mereka juga telah memutuskan untuk tidak mengurangkan perbelanjaan kerajaan walaupun hasil cukai menurun. Strategi ini mungkin berkesan untuk mendapatkan sokongan jangka pendek, namun lambat laun kerajaan akan menghadapi masalah kewangan yang teruk.

Oleh hal yang demikian, kesimpulannya yang dapat dinyatakan adalah banyak negara begitu gah dalam menyambut Hari Kebangsaan walaupun hakikatnya mereka tidak merdeka sepenuhnya. Ramai yang tidak menyedari bahawa mereka sedang hidup sebagai hamba. Mereka tidak mempunyai banyak pilihan dari aspek pekerjaan dan terpaksa menerima apa-apa sahaja kerja yang ditawarkan walaupun syarat-syarat pekerjaan tersebut didapati sangat menindas mereka. Malah ada yang terpaksa menanggung gangguan seksual untuk memastikan mereka tidak kehilangan pekerjaan kerana bergantung pada pendapatan daripada pekerjaan mereka itu. Penyumbang utama kepada keadaan ini dalam kebanyakan kes ialah hutang yang tergantung di atas kepala masing-masing. Menyedari hakikat ini, maka jelaslah bahawa menjadi tanggungjawab pemimpin, agamawan dan intelektual untuk menyedarkan kita tentang sifat perhambaan zaman moden dan langkah untuk mengelakkan situasi sedemikian agar kita dapat menyambut Hari Kebangsaan dalam erti kata yang sebenarnya.

Profesor Mohd. Nazari Ismail, Profesor Kehormat di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.