19 September 2023, 10:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pernahkah anda terjumpa dengan individu yang obsesi dengan diri sendiri? Ciri ini sering dikaitkan dengan gejala gangguan personaliti narsisistik atau juga dikenali sebagai narcissistic personality disorder (NPD). Individu narsisistik sering menonjolkan beberapa perilaku seperti sensitif dan tidak boleh menerima kritikan atau pandangan daripada orang lain, kurangnya perasaan empati, mempercayai bahawa diri sendiri lebih baik daripada orang lain serta mempunyai perasaan yang berlebihan tentang kepentingan diri.

NPD merupakan antara masalah gangguan mental yang sukar dirawat. Hal ini dikatakan demikian kerana pesakit lazimnya menganggap personaliti mereka bukanlah suatu masalah dan tidak memberikan kesan buruk kepada dirinya secara langsung. Mereka menganggap ciri tersebut ialah sebahagian daripada personaliti diri dan bukannya sesuatu yang perlu dirawat. Malahan golongan ini cenderung menuding jari kepada orang lain apabila timbul sesuatu isu akibat daripada tingkah laku sendiri.

Menurut buku Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorder (DSM) oleh Persatuan Psikiatri Amerika (APA), NPD ialah suatu gangguan fungsi tingkah laku sama ada tingkah laku diri mahupun hubungan interpersonal. Gejala NPD merupakan gangguan mental yang mempunyai kategori khusus di bawah masalah gangguan kecelaruan personaliti.

Secara umumnya, dalam bidang psikologi terdapat lima jenis personaliti, iaitu:

1. mempunyai sikap terbuka (openness)
2. mempunyai kesedaran (conscientiousness)
3. bersifat sosial (extraversion)
4. berpendapat sama (agreeable)
5. bersifat narsisistik (neuroticism)

Kajian menunjukkan bahawa individu yang memiliki personaliti narsisistik lebih berisiko untuk mendapat masalah kebimbangan (anxiety), perubahan emosi (mood swing) dan penyalahgunaan dadah. Kecelaruan personaliti narsisistik biasanya berlaku pada satu hingga dua peratus sahaja daripada populasi dunia dan kebarangkalian bagi gangguan ini terjadi pada golongan lelaki lebih tinggi berbanding dengan golongan wanita. Di Malaysia pula, lebih 300 ribu orang penduduk yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dijangkakan berisiko untuk mengalami gangguan mental ini tanpa disedari.

Hingga hari ini, penyebab gejala narsisistik masih belum diketahui secara pasti. Namun begitu, berdasarkan rekod pesakit, beberapa faktor sepunya dikenal pasti seperti faktor biologi, genetik atau keturunan dan trauma semasa kecil yang mempengaruhi seseorang sehingga mengalami gangguan keperibadian narsisistik. Sikap dan cara didikan ibu bapa terhadap anak ketika kecil sangat mempengaruhi pembentukan keperibadian mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa yang sering memberikan pujian kepada anaknya dan memanjakannya secara berlebih-lebihan, meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap anak atau mengabaikan anak secara tidak langsung akan membentuk sifat narsisistik anak.

Narsisistik dari Perspektif Islam
Dari konteks Islam, narsisistik ialah sifat mazmumah yang lahir daripada akhlak yang tercela dan hati yang tidak sihat, iaitu ujub dan takbur. Dalam al-Quran, sikap narsisistik sebenarnya tidak ada padanan kata yang tepat. Namun begitu, istilah yang paling hampir ialah sifat takbur dan beberapa istilah lain yang mempunyai makna yang sama seperti fakhur, hasad, ujub, riak dan ‘utuw. Sifat ujub ialah sifat yang tidak disukai oleh Allah SWT kerana orang yang ujub memiliki hati yang buta dalam menilai orang lain dan juga dirinya sendiri. Golongan ini menganggap merekalah yang paling baik amal dan perbuatannya.

Firman Allah SWT dalam ayat 18 Surah Luqman, “Dan janganlah kamu memalingkan wajah daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”

Ayat ini menegaskan bahawa Allah SWT tidak suka akan manusia yang hidup dengan penuh kesombongan. Satu contoh kisah yang boleh dikaitkan dengan narsisistik ini ialah kisah Firaun yang tidak memiliki sifat empati terhadap orang lain, malahan dengan sombong mengaku diri sebagai Tuhan. Sehingga pada saat Firaun tenggelam, malaikat Jibrail telah menyumbat mulutnya dengan lumpur laut sehingga Firaun tidak dapat mengucap kalimah tauhid.

Ciri-ciri Narsisistik

  • Merasa diri lebih baik daripada orang lain.
  • Mementingkan diri sendiri.
  • Suka memperlekehkan atau memandang rendah terhadap orang lain.
  • Sombong, angkuh dan bangga diri dengan pencapaian dan bakat diri.
  • Berasa dengki pada orang lain dan menganggap orang lain juga dengki kepadanya.
  • Tidak mempunyai perasaan empati terhadap orang lain.
  • Suka akan pujian yang berterusan.
  • Memanfaatkan orang lain untuk memperoleh perkara yang diingini.
  • Tidak boleh menerima kritikan dan pandangan daripada orang lain.

Rawatan
Seseorang itu akan diberikan diagnosis sebagai penghidap gangguan personaliti narsisistik sekiranya seseorang itu menunjukkan lima atau lebih simptom yang disebutkan seperti di atas. Dari sudut perubatan, NPD terbatas sebagai penyakit mental dan boleh dirawat menerusi rawatan psikoterapi atau penggunaan ubat-ubatan khusus bagi mengurangkan sindrom yang berkaitan.

Kesimpulan
Individu narsisistik sering menganggap dirinya yang terbaik berbanding dengan orang lain dan lazimnya sifat ini diterjemahkan melalui keperibadian yang sombong. Akhlak memainkan peranan yang penting untuk menjauhkan diri daripada sifat narsisistik yang dilihat semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat pada ketika ini. Maka itu, sifat narsisistik boleh dianggap sebagai satu “wabak” yang memakan diri dari dalam dan jika tidak dikawal akan memberikan impak negatif terhadap diri sendiri dan juga terhadap masyarakat sejagat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.