Oleh Awang Sariyan
22 September 2023, 21:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) merupakan titik tolak yang menandai babak baharu perancangan pembangunan negara dalam dua konteks. Pertama, RMK-12 dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan baharu yang pasti diperhatikan dan dinilai oleh rakyat tentang janji dan tawaran pembangunan negara yang sewajarnya. Kedua, RMK-12 berlangsung pelaksanaannya dalam era pasca-COVID 19 yang pasti diwarnai oleh pelbagai tantangan atau cabaran dalam pelbagai aspek dan dengan demikian memerlukan perancangan yang rapi.

Mesyuarat Khas Dewan Negara untuk membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK-12 lalu perlu dilihat kepentingannya sebagai asas penyemakan kejayaan pelaksanaan dasar-dasar negara yang terangkum dalam program RMK-12 dan juga sebagai asas perancangan strategik yang lebih berkesan untuk menyelesaikan program dalam tempoh yang berbaki hingga tahun 2025.

RMK-12 hendaklah dinilai sebagai kesinambungan perancangan dan pelaksanaan dasar negara yang telah bermula sejak negara mencapai kemerdekaan. RMK-12 tidak harus dilihat sebagai program yang terputus daripada mata rantai kesinambungan itu. Hal ini penting agar semua program yang terangkum dalam RMK-12 tetap berteraskan falsafah pembangunan negara menurut acuan kita sendiri dan selaras juga dengan aspirasi negara seperti pembinaan jati diri, perpaduan, patriotisme dan semua yang berkaitan dengan “pembinaan negara”. Yang juga amat penting ialah bahawa RMK-12 mestilah membuktikan pembangunan seimbang antara pembangunan fizikal dengan pembangunan kerohanian, prasyarat pembangunan hakiki yang dapat menolak kemungkaran yang merosakkan negara seperti rasuah, salah guna kuasa, ketiadaan integriti dan kebejatan  yang lain.

Selanjutnya, pelaksanaan RMK-12 hendaklah senantiasa dipertalikan dengan usaha mengatasi isu-isu berterusan atau “isu tertunggak” yang sama ada gagal atau belum teratasi dalam RMK-RMK sebelum ini. Pelaksanaan RMK-12 wajib memperhitungkan tanggungjawab itu. Sebagai contoh, jurang sosioekonomi antara kaum, wilayah dan kumpulan taraf sosial masih menjadi isu pokok di negara ini. Maka itu, falsafah dan semangat Dasar Ekonomi Baru masih tetap perlu dijadikan asas dalam pelaksanaan RMK-12. Pembasmian tanpa mengira kaum masih tetap penting kerana kemiskinan bukan milik kaum tertentu dan oleh itu pembasmian kemiskinan merentas semua warganegara perlu diutamakan. Demikian juga penyusunan semula masyarakat berdasarkan kesejahteraan bersama yang menjadi salah satu kata kunci dalam ekonomi MADANI pun tidak mungkin dapat dialpakan.

Kita turut menyaksikan isu perpaduan yang masih belum cukup utuh meskipun pelbagai program telah dilaksanakan. Malang bahawa satu daripada petunjuk perpaduan yang rapuh terlihat berlaku dalam kalangan orang politik sehingga terjejas tumpuan pada upaya pembangunan negara secara bersama-sama disebabkan sentimen politik yang tebal. Politik sepatutnya hanya wasilah, bukan segala-galanya dalam pembangunan negara. Demikian juga halnya dalam bidang pendidikan, kita masih bergelut dengan pelbagai isu. Kita masih dalam keadaan yang kurang mampan dalam isu seperti perlu atau tidak perlu adanya peperiksaan atau penilaian pada tahap tertentu sama ada kurikulum sekolah rendah perlu memasukkan mata pelajaran akademik yang agak banyak sehingga terjejas penguasaan kemahiran asas 3M (membaca, menulis  dan mengira). Kita mempunyai Falsafah Pendidikan Kebangsaan sejak tahun 1988 tetapi penerapannya dalam sistem Pendidikan (yang dalam tempoh satu dua dekad tampak memuaskan) kini kelihatan kabur, terutamanya dalam memenuhi gagasan kesepaduan pendidikan. Isu ilmu merentas kurikulum, nilai-nilai murni merentas kurikulum, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu merentas kurikulum, kemahiran berfikir kritis dan kreatif merentas kurikulum, sebagai contoh tidak jelas lagi pelaksanaannya. Baru-baru ini ditimbulkan kemerosotan pelajar yang memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sehingga merudum ke paras 25 peratus dan hal ini pasti menjejaskan pembinaan modal insan untuk pembangunan negara dalam bidang yang berkaitan. Hal ini memerlukan penyelesaian segera oleh Kementerian Pendidikan.

Di peringkat pendidikan tinggi pula, meskipun Kementerian Pendidikan Tinggi dalam jawapan kepada isu yang saya timbulkan dalam siding-sidang lalu memberikan jaminan tiada tekanan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) untuk tertakluk pada penarafan (ranking) dunia, namun isu itu masih menghantui warga kampus keseluruhannya sehingga sikap kesukarelawanan, hubungan sosial dan tumpuan kepada tanggungjawab kewatanan merosot. Kementerian Pendidikan Tinggi perlu mengusahakan pusat pengindeksan sendiri, khasnya yang memberikan tumpuan kepada penerbitan dalam bahasa negara, iaitu bahasa Melayu yang hingga kini amat kurang mendapat pengiktirafan selagi kita bergantung pada pengendali ISI, Scopus, WoS dan sebagainya. Dalam konteks ini, perlu ada badan penarafan sendiri yang melibatkan kolaborasi dengan IPT negara serantau, khasnya negara berbahasa Melayu.

Secara khusus, saya memberikan ulasan dan pandangan terhadap beberapa isu yang dibentangkan dalam kajian separuh penggal RMK-12. Pertama, dalam laporan prestasi ekonomi 2020-2021, dicatat pertumbuhan 5.9 peratus setahun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peningkatan yang melebihi sasaran yang ditetapkan. Kita wajar mengucapkan tahniah kepada kerajaan. Namun laporan yang menggambarkan tahap prestasi ekonomi yang masih tidak memuaskan disebabkan faktor global dan domestik, perlu diatasi dengan cekap dalam tempoh berbaki pelaksanaan RMK-12. Antara yang ingin saya tanyakan termasuklah sejauh manakah kerajaan menggerakkan program di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang disertai oleh lebih 150 buah negara sedunia, untuk membantu mencergaskan ekonomi negara? Apakah langkah kerajaan untuk memastikan BRI tidak menjadi satu bentuk hegemoni ekonomi dan berlangsungnya program pemindahan teknologi dan pemindahan kemahiran kepada warganegara kita untuk memperoleh manfaat “menang-menang” melalui penyertaan dalam inisiatif itu? Demikian juga apakah langkah dan strategi kerajaan dalam memanfaatkan kerjasama sub serantau seperti yang sedia ada, iaitu BIMP-EAGA bagi wilayah di Borneo, IMTGT bagi wilayah utara dan SIJORI bagi wilayah selatan?

Inisiatif untuk mengoptimumkan Tanah Rebab Melayu (TRM) perlu disokong penuh. Namun kerajaan patut tidak melupakan usaha untuk memastikan kelestarian Tanah Rizab Melayu yang menurut angka mutakhir hanya berbaki sekitar 12 peratus sahaja. Menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan bahawa TRM yang telah diambil untuk tujuan pembangunan atau apa-apa jua diganti oleh kerajaan untuk memastikan hak orang Melayu seperti dalam Perlembagaan Persekutuan terpelihara. Demikian juga instrumen wakaf yang patut dijadikan mekanisme peningkatan ekonomi orang Islam, bahkan negara memang wajar diupayakan. Di negara yang bukan Islam sendiri, instrumen ala wakaf (dengan nama lain seperti endowment) telah dimanfaatkan dalam penjanaan ekonomi negara. Sebagai tambahan, usah dialpakan isu sekian bilion wang pusaka yang beku di Amanah Raya disebabkan masalah teknikal dalam pelaksanaan sistem faraid.

Dalam “Tema 3: Melonjakkan Kemampanan di bawah tajuk Pemangkin 1: Membangunkan Bakar Masa Hadapan”, saya ingin bertanya sejauh mana kerajaan, khasnya melalui agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah berjaya membentuk jumlah usahawan yang memuaskan dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera? Banyak angka yang disebut tentang usaha agensi dan kementerian yang berkaitan, tetapi belum tampak dengan ketara wujudnya budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat. Kita perlu belajar daripada rakan-rakan kita berketurunan Cina yang cukup berhasil dalam membentuk budaya keusahawanan, seperti perniagaan keluarga yang dapat mengatasi masalah tidak bergantung pada “makan gaji” dan sekali gus membantu mengatasi masalah sosial. Selain itu, saya ingin membangkitkan kesungguhan kerajaan memajukan industri kreatif yang menjanjikan pembangunan bakat masa hadapan, selaras dengan peralihan ke budaya pendigitalan dalam kehidupan masyarakat. Jangan kita biarkan masyarakat kita sekadar menikmati hasil industri kreatif asing seperti Korea dalam keadaan kita tidak memajukan seni budaya kita dalam industri kreatif.

Satu hal lain yang terkait dengan pembangunan bakat masa hadapan negara ialah pemanfaatan puluhan ribu manuskrip Melayu lama yang mengisi pelbagai bidang ilmu watan, seperti perubatan, teknologi, seni bina, sains dan perdagangan. Anggaran adanya 40 000 manuskrip Melayu lama yang tersebar di serata dunia, khasnya sekitar 20 000 di Leiden perlu dijadikan program tanggungjawab negara agar dikaji kandungannya dan ditingkatkan penyelarasannya dengan perkembangan ilmu semasa. Kita perlu belajar daripada tradisi Cina yang memanfaatkan perubatan tradisinya sehingga setaraf dengan perubatan moden sedunia. Rasa bangga mewarisi puluhan ribu manuskrip lama tidak bererti apa-apa jika kandungannya tidak dikaji dan diterbitkan dalam pelbagai bentuk, termasuk elektronik dan digital. Kementerian dan agensi yang berkaitan dalam kerajaan perlu menjadikan usaha mengerjakan manuskrip  Melayu lama itu sebagai program negara.

Khusus tentang Anjakan Besar yang berkaitan dengan Tata kelola dan Rangka Kerja Institusi, saya ingin menyentuh keperluan disemak kerenah birokrasi yang mungkin menjadi salah satu kendala dan penghalang kelancaran pelaksanaan program dalam RMK-12. Anjakan Besar berkaitan dengan Pembudayaan Masyarakat MADANI, sejauh manakah usaha pemasyarakatan dan pembudayaan gagasan MADANI telah digerakkan dengan besar-besaran oleh semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan supaya gagasan MADANI dihayati sebenar-benarnya? Tidak cukup sekadar menjadi bahan ucapan “Salam Malaysia MADANI”. Tentang Anjakan Besar HGHV Pertanian dan Industri Asas Tani, saya mengusulkan agar kerajaan memberikan perhatian kepada usaha belajar daripada negara jiran seperti Thailand yang cukup maju dan berjaya dalam bidang pertanian moden.

Demikianlah sekadar beberapa ulasan dan pandangan sebahagian program RMK-12 yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan untuk dilunaskan dalam tempoh hingga tahun 2025. Mudah-mudahan perbahasan di Dewan Negara ini tidak dianggap sekadar retorik tanpa susulan daripada pihak eksekutif.

Inti pati daripada teks perbahasan YB Senator Datuk Seri Profesor Dr. Awang Sariyan dalam Mesyuarat Khas Dewan Negara, Kajian Separuh Penggal RMK-12.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.