Oleh A. Muziru Idham
6 Oktober 2023, 19:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sesudah membaca Diplomacy Through The Pandemic yang diterbitkan oleh Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, penulis segera teringat pada suatu kata yang sangat ampuh, diungkapkan oleh sasterawan Indonesia, Pramoedya Ananta Toer, iaitu “Orang boleh pandai setinggi langit, tetapi selama tidak menulis, maka mereka hilang di dalam masyarakat dan sejarah. Menulis ialah bekerja untuk keabadian.” Artikel-artikel yang terdapat dalam buku ini merupakan himpunan kerja-kerja yang mengabadikan pengalaman para diplomat Malaysia yang mengalami pergelutan  antara tanggungjawab seorang diplomat dalam menguruskan konflik ancaman kesihatan pandemik COVID-19 yang telah menyerang global sekitar tahun 2020-2022. Pada ketika itu, sesiapa sahaja berada dalam situasi yang sangat getir dan banyak negara terpaksa memutuskan untuk menutup pintu masuk negara masing-masing daripada kemasukan orang luar dan mengenakan perintah berkurung kepada rakyatnya. Himpunan artikel ini merakam masyarakat dan sejarah yang berlaku pada para diplomat Malaysia dalam menghadapi ancaman kesihatan global tersebut.

Dalam istilah hubungan antarabangsa, ancaman virus COVID-19 ini termasuk dalam klasifikasi keselamatan bukan tradisional (non-traditional security), yang lebih memberikan kesan terhadap sektor kenegaraan. Kedai-kedai ditutup; lapangan terbang tidak berfungsi; urusan perdagangan terhenti; namun pada masa yang sama peruntukan kewangan negara perlu dibelanjakan untuk mendapatkan peralatan kesihatan dan mengawal pergerakan rakyat. Pengurusan terhadap “musuh” ghaib adalah lebih sukar untuk diuruskan kerana melibatkan penyakit baharu yang perlu dikenal pasti dan ditemukan penawarnya sedangkan “musuh” tersebut aktif menjangkiti orang lain hampir setiap saat.

Buku Diplomacy Through The Pandemic ini boleh disifatkan sebagai sumber pertama bahan rujukan sejarah penting kerana artikel-artikel yang terdapat di dalamnya ditulis daripada pengalaman pihak pertama sendiri yang bertugas sebagai diplomat di luar negara dalam menguruskan konflik pandemik COVID-19. Coretan pengalaman oleh para diplomat ini adalah sangat rencam. Kandungannya bukan sahaja tentang cara mereka menguruskan rakyat Malaysia yang berada di luar negara, bahkan tentang kebijaksanaan dalam menguruskan hubungan diplomatik antara negara agar segala tindakan yang diambil tidak sampai menjejaskan hubungan tersebut, ibarat “menarik rambut dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berselerak”. Pengalaman inilah yang sangat mahal harganya yang tidak sekadar menjadi bacaan awam, bahkan menjadi rujukan kepada para diplomat mendatang dalam menguruskan konflik-konflik sebegini sekiranya berlaku lagi pada masa hadapan.

Pengalaman para diplomat tersebut  meliputi 12 buah mala wakil di 12 buah negara, iaitu Indonesia, Iran, Amerika Syarikat, Turkiye, India, Thailand, Sudan, Poland, Fiji, Nigeria, Senegal, dan Malaysia sendiri. Bahkan, ada di antaranya sendiri yang telah dijangkiti COVID-19 yang teruk, iaitu Dato’ Zainal Abidin Bakar di Indonesia. Jika kita baca pada lapisan pertama, perkara yang kita akan lihat ialah tentang pengalaman peribadi para diplomat dalam menghadapi cabaran COVID-19 di kawasan mala wakil masing-masing. Akan tetapi, apabila dibaca pada lapisan kedua, kita akan dapat mencerap tentang tahap hubungan diplomatik antara negara dan proses komunikasi para diplomat dengan kerajaan persekutuan Malaysia dalam membuat keputusan yang mendesak. Perkara-perkara sebegini penting untuk dihadamkan kerana memberikan informasi tentang dunia diplomasi yang memerlukan  kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Manakala jika direnungi dengan lebih mendalam, kita akan dapat membaca buku ini daripada lapisan ketiga, iaitu tentang sistem pengurusan konflik dan polisi-polisi di negara tersebut yang akan memberikan gambaran kepada kita sebagai pembaca terutamanya diplomat dalam berurusan dengan negara-negara tersebut.

Antara perkara yang menarik termasuklah pengalaman getir Rustam Yahaya dalam proses pemindahan masyarakat Malaysia dari Iran untuk pulang ke Malaysia dalam artikelnya, Evacuation From Iran. Beliau menceritakan tentang keputusannya dalam menguruskan pemindahan tersebut yang melalui proses sukar yang bermula dengan isu berhadapan dengan kritikan daripada Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Iran kerana memberi komentar di saluran berita Malaysia berkenaan isu kekurangan penawaran bekalan perubatan di Iran. Oleh itu, beliau menjelaskan secara diplomatik bahawa pandangannya itu adalah bagi mengharapkan sokongan rakyat Malaysia untuk membantu Iran lantaran sekatan unilateral Amerika Syarikat terhadapnya telah memberikan kesan terhadap semua orang. Jawapannya itu telah menenangkan ketegangan diplomatik tersebut.

Pengalaman Shazelina Zainul Abidin dalam Pandemik in Malaysia’s Outpost of Western Africa juga agak menarik apabila beliau menceritakan tentang pengalamannya sewaktu membantu pembantu rumahnya pulang ke kampung halaman berikutan ibunya yang telah meninggal dunia, beliau telah diminta oleh ustaz untuk memimpin bacaan doa! Walhal di Malaysia, perempuan tidak akan diminta untuk memimpin bacaan doa ketika terdapatnya lelaki dalam perkumpulan tersebut. Perbezaan budaya di antara masyarakat Senegal dan Malaysia ini adalah menarik untuk ditelusuri dan pengalaman ringkas Shazelina tersebut membawa kepada wacana yang lebih mendalam terkait dengan gender dan kemasyarakatan apabila direnungkan dengan lebih mendalam.

Maka, membaca Diplomacy Through The Pandemic membuka kepada perspektif yang meluas berkenaan pengalaman para diplomat Malaysia yang bertugas di luar negara pada musim pandemik COVID-19 kerana memaparkan tentang peranan para diplomat apabila berhadapan dengan situasi mencemaskan sebegini untuk menguruskan hal ehwal rakyat Malaysia di luar negara dan pada masa yang sama memastikan agar hubungan diplomatik antara negara terus berjalan dengan baik. Membaca buku ini tidak harus sekadar dibaca tentang pengalaman-pengalamannya, tetapi perlu juga meneliti wacana dunia diplomasi yang terkandung di sebaliknya. Wacana diplomasi inilah yang dapat memberikan gambaran luas kepada kita tentang perlunya kepada kemahiran perundingan, ketelitian dalam memahami sistem kenegaraan dan kebudayaan sosial di negara luar, kebijaksanaan dalam membuat keputusan drastik dan ketajaman sudut pandang dalam memastikan agar dapat memahami keadaan dan meramal perkara-perkara yang bakal berlaku sebelum kita membuat sebarang keputusan.

Ahmad Muziru Idham Adnan, Pegawai Penyelidik di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.