Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRezeki, nasib dan ketentuan hidup seseorang itu telah ditentukan oleh Yang Maha Pencipta sejak azali lagi. Begitulah keyakinan dan pegangan kepercayaan kita terutamanya jika membabitkan orang Muslim. Tiada sesiapa yang mahu menjalani kehidupan di dunia ini dengan ditimpa malapetaka termasuklah lumrah kesakitan. Namun begitu, apabila keadaan tersebut datang melanda, mahu tidak mahu, kita perlu menghadapinya dengan penuh kerelaan dan reda, di samping berdoa kepada Tuhan untuk mendapatkan perubahan ke arah kebaikan.
Fokus artikel ini menjurus pada ikhtiar seseorang penulis bebas apabila mereka ditimpa sesuatu jenis penyakit contohnya strok minor, iaitu kelumpuhan yang melibatkan anggota badan seperti kaki dan tangan. Disebabkan hal ini, pergerakan mereka semakin terhad dan boleh berada dalam kediaman sahaja. Mereka sudah tidak boleh bergerak bebas untuk mencari bahan penulisan di luar rumah seperti mana ketika mereka sihat sebelum ini.
Semasa anggota badan sihat, mereka dapat menulis beberapa karya sama ada dalam bentuk kreatif atau bukan kreatif untuk siaran akhbar dan menjadikan pendapatan tersebut sebagai tambahan perbelanjaan atau pendapatan sampingan. Akan tetapi, hal tersebut masih jauh daripada mencukupi. Namun begitu, dalam situasi seperti ini, lebih baik adanya sedikit pendapatan daripada langsung tidak memperolehnya.
Aktiviti Semasa Sihat
Menghimbau kembali kemampuan seseorang penulis bebas itu berkerja ketika sihat, mereka mampu menyara perbelanjaan seisi keluarganya termasuklah sumbangan kepada mereka yang kurang berdaya. Banyak juga usaha harian yang berjaya dirancang dan dilaksanakan. Meskipun semua itu dilakukan dengan usaha sendiri berdasarkan pengalaman kerja pada ketika muda, namun semua usaha itu masih dikira berjaya. Meskipun masih terdapat kekurangannya, tetapi semua itu dianggap sebagai lumrah dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan dalam usaha mendapatkan rezeki yang halal.
Ketika kesihatan penulis bebas berada dalam keadaan baik, mereka bebas menulis di mana-mana sahaja seperti di kediaman, pusat Internet berbayar, perpustakaan awam malah boleh juga berkarya di dalam pengangkutan awam dengan peranti peribadi yang dilengkapi dengan capaian internet.
Menerusi jumlah tulisan yang tersiar, maka pendapatan pada bulan tersebut dapatlah dijangka. Sebaliknya, apabila tidak ada hasil tulisan yang berjaya disiapkan, pada saat inilah penulis bebas mula “menggaru kepala yang tidak gatal”.
Apabila Ditimpa Musibah
Banyak wang simpanan terpaksa dikeluarkan untuk memenuhi perbelanjaan dalam kehidupan seharian apabila diuji dengan kesihatan yang terjejas. Hal ini melibatkan kos seperti bayaran bil tenaga elektrik, bekalan air bersih dan bil telefon bimbit dan Internet. Apatah lagi jika mereka masih mempunyai anak-anak yang sedang meneruskan pengajian di pusat pengajian tinggi termasuklah anak-anak yang tinggal di sekolah berasrama penuh yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
Semasa Rawatan
Peluang berkarya seolah-olah tertutup ekoran anggota badan yang tidak mampu berkerja dengan baik. Meskipun akal masih mampu bergerak dengan baik, namun kelemahan anggota lain menyebabkan otak turut terganggu dan berada dalam keadaan yang lemah.
Maka pada ketika inilah wang simpanan mereka semakin berkurangan disebabkan hanya berbelanja sahaja tanpa adanya wang tambahan yang masuk. Situasi tersebut ditambah pula dengan kos kehidupan harian yang semakin tinggi. Sebagai contoh, harga bahan utama seperti minyak masak, minyak kenderaan dan beras turut mengalami kenaikan harga. Walau bagaimanapun, nasib penulis bebas masih baik disebabkan kos perubatan di negara ini masih rendah kerana menggunakan khidmat klinik dan hospital kerajaan.
Bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan, pastinya kos mereka semakin bertambah kerana melibatkan penggunaan pengangkutan awam seperti e-panggilan atau sistem transit aliran ringan (LRT). Hal tersebut ditambah pula dengan bil elektrik, air dan telefon bimbit bila yang jika tidak dijelaskan sekurang-kurangnya selama tiga bulan akan didatangi oleh kertas “berwarna merah” yang bererti akan diberhentikan perkhidmatannya dengan mengikut tempoh tertentu. Sedangkan semua itu merupakan keperluan utama seharian.
Apabila tibanya penghujung bulan, sang isteri mula memberikan “isyarat” mengenai stok bahan bekalan makanan harian yang sudah berkurang. Anak-anak di asrama pula mula menghantar mesej yang sudah sedia difahami itu dengan berulang kali. Hanya air mata kesedihan sahaja yang mengiringi perasaan sang bapa pada ketika itu. Keadaan menjadi lebih parah bagi mereka yang tinggal di kota raya atau bandar-bandar besar dalam keadaan kediaman pula terpaksa disewa.
Langkah Penulis
Dalam keadaan tidak berdaya ini, bapa tersebut hanya mampu menghidupkan kembali komputer ribanya yang sudah beberapa bulan tidak dihidupkan. Beliau mula menaip apa-apa sahaja idea yang masih ada di dalam kotak pemikirannya. Pada masa yang sama, mereka melahirkan rasa kesyukuran kerana masih mempunyai kekuatan untuk melihat semula bank karya yang belum dihantar dan diterbitkan. Mereka juga menyambung kerja dengan menulis karya-karya pendek seperti sajak eceran untuk siaran dalam ruangan sastera dalam akhbar pada hujung minggu. Mereka juga merebut peluang menerusi kekuatan yang masih berbaki dengan menghadiri program-program anjuran persatuan penulis yang berdekatan demi mendapatkan semangat untuk terus berkarya terutamanya dalam penerbitan buku sastera kanak-kanak dan remaja termasuk puisi dan novel.
Pada masa lapang, mereka juga boleh manfaatkan peluang untuk mengumpul idea-idea di dalam buku nota atau dalam telefon bimbit dengan harapan akan kembali berkarya apabila sembuh sepenuhnya kelak. Bagi penulis yang sudah lama terlantar tetapi masih mempunyai kekuatan akal untuk berfikir, masih ada peluang buat mereka dengan menggunakan teknologi masa kini untuk mengalirkan idea. Terdapat aplikasi Voice to Text yang boleh digunakan, iaitu mereka boleh menggunakan teknologi dengan rakaman suara yang dapat dialihkan ke dalam bentuk teks.
Penulis bebas juga boleh mengumpul idea-idea di dalam buku nota atau dalam telefon bimbit dengan harapan apabila sembuh kelak, mereka dapat mengunakan peluang yang datang dengan menulis berbagai-bagai idea yang dikumpulkan semasa mereka sakit.
Perlu diingatkan bahawa, tenaga dan kekuatan seseorang itu sememangnya jelas telah berkurangan,namun usaha mencari rezeki dengan menulis terpaksa dilakukan juga kerana bagi penulis, menulis itu diibaratkan seperti sawah bendang, kebun getah dan lautan samudera buat mereka.
Meskipun kemahuan dan kehendak mereka ingin menulis ketika ilham yang datang membuak-buak, tetapi sebanyak manakah tenaga yang ada bagi orang yang sedang sakit?