17 Oktober 2023, 19:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut Kamus Dewan Perdana, pemimpin ialah orang yang memimpin. Perkataan pemimpin terbit daripada kata pimpin yang bermaksud membimbing, menuntun, mengepalai, mengetuai, melatih, mengasuh dan mendidik. Karisma pula ialah kualiti (daya kepimpinan, daya penarik) atau sifat-sifat tertentu seseorang yang menjadikannya berupaya mempengaruhi atau menjadi perangsang kepada khalayak. Karisma juga didefinisikan sebagai kualiti istimewa yang berupaya memberikan pengaruh individu atau kuasa kepada satu-satu kelompok manusia. Dalam bahasa Yunani, karisma bererti mukjizat atau anugerah. Hal ini demikian kerana karisma hanya terdapat pada individu yang mampu mempengaruhi orang lain untuk mencapai sesuatu perkara yang sukar dilakukan dengan memperoleh hasil yang luar biasa.

Max Weber merupakan tokoh yang mengembangkan teori karismatik. Menurut beliau, karisma ialah kualiti personaliti tertentu yang ada pada individu sehingga menyebabkan individu tersebut berbeza daripada individu lain dan dilayani sebagai individu yang dianugerahkan dengan kuasa dan kualiti luar biasa. Justeru, pemimpin berkarisma bererti pemimpin yang mampu memberikan inspirasi dengan mempengaruhi pengikut, pekerja atau orang bawahannya untuk mencapai satu-satu matlamat.

Oleh sebab itu, pemimpin yang berkarisma tidak akan terkesima dalam kepimpinannya. Kesima bermaksud tercengang, termangu-mangu, hilang akal atau tidak boleh berfikir dan tidak tahu perkara yang harus dibuat dalam situasi tertentu. Pemimpin yang terkesima mencerminkan seorang yang lemah dan mempunyai karakter yang negatif. Antara karakter negatif pemimpin yang sering terjadi adalah seperti berikut:

  1. Tidak mampu menjana idea atau pandangan baharu yang dapat membangunkan organisasi mahupun pekerja.
  2. Mudah dipengaruhi oleh individu lain terutamanya dalam membuat keputusan atau menentukan hala tuju organisasi.
  3. Terlalu bergantung kepada individu tertentu kerana kurang mahir tentang selok-belok pentadbiran organisasi sehingga pemimpin mampu dieksploitasi oleh individu tersebut.
  4. Kurang membantu dalam memajukan pekerja.
  5. Tidak peka akan masalah pekerja.
  6. Tidak bersungguh-sungguh atau sambil lewa.
  7. Mudah gelabah dan kelam-kabut apabila berdepan dengan pelbagai masalah dalam organisasi.
  8. Tidak boleh dijadikan teladan atau contoh.

 

Sebaliknya, pemimpin berkarisma mempunyai karakter yang positif. Pemimpin berkarisma berupaya untuk memberikan inspirasi kepada pengikut melalui tindakan dan kata-kata untuk memastikan mereka mempercayai visi yang sama dan bekerjasama dalam satu pasukan. Pemimpin  berkarisma mampu memberikan inspirasi kepada pengikutnya dengan berfikiran positif walaupun berdepan dengan hal-hal negatif seperti kemarahan dan masalah. Pemimpin juga perlu menyatakan misi dan visi dengan jelas melalui kata-kata, tindakan dan kepercayaan. Sekiranya pemimpin sendiri tidak tahu mengenai kerja-kerja yang dilakukannya adalah penting, pekerja juga tidak akan melakukannya. Selain itu, pemimpin dapat memberikan inspirasi kepada pengikutnya dengan menunjukkan penghargaan dan berkomunikasi dengan pekerja, berfikiran terbuka, berupaya mendengar dan memberikan maklum balas serta sentiasa bersemangat.

Pemimpin berkarisma juga mempunyai jati diri dan berintegriti tinggi. Pemimpin yang mempunyai jati diri tinggi pastinya menjadikan orang bawahan dapat bekerja atau melaksanakan tugas dengan baik dan memenuhi aspirasi yang ingin dicapai. Sebagai contoh, pemimpin tulen mampu menetapkan satu-satu sasaran bagi tempoh masa tertentu dan bekerjasama dengan setiap ahli yang terlibat untuk mencapai sasaran tersebut. Akan tetapi, apabila berlaku sebarang halangan, sasaran tersebut tetap kekal dan tidak berubah. Perkara yang berubah hanyalah strategi. Selain itu, pemimpin yang mematuhi undang-undang sentiasa patuh dan kekal dengan pendirian untuk menjalankan amanah atas kepercayaan yang diberi, bukannya mudah disogok oleh pihak tertentu.

Pemimpin yang berkarisma sentiasa mempunyai keyakinan tinggi berbanding dengan pemimpin terkesima yang tidak mempunyai keyakinan kerana enggan menanggung risiko dan lemah dalam membuat keputusan. Pemimpin yang berkeyakinan tinggi mampu menajdikan orang di sekelilingnya menaruh harapan atau kepercayaan terhadap kemampuannya. Pemimpin berkarisma juga sinonim dengan kemahiran komunikasi yang baik dan berkesan. Hal ini demikian kerana kemahiran komunikasi yang baik dapat membantu pemimpin untuk menyampaikan arahan, penjelasan dan teguran dengan baik serta diterima oleh orang bawahan. Satu daripada cara pemimpin yang mempunyai kemahiran komunikasi ialah dengan menguasai pelbagai bahasa dan mengetahui latar belakang orang bawahan.

Dari sudut pemimpin negara pula, kemahiran berkomunikasi adalah penting dalam menyampaikan hujah atau penjelasan supaya difahami oleh rakyat apabila sesuatu isu penting dibincangkan. Jika pemimpin berunding dengan delegasi negara asing, tetapi tidak mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, negara akan menanggung kesan negatif seperti gagal menarik pelaburan dalam konteks hubungan perdagangan. Disebabkan hal yang sedemikian, maka akan timbul pula isu seperti salah faham serta permusuhan.

Ketegasan juga merupakan karakter positif seorang pemimpin berkarisma. Dalam hal ini, pemimpin sewajarnya tegas dalam membuat keputusan. Keputusan yang dibuat pula seharusnya tidak dipengaruhi oleh kepentingan diri dan orang bawahan tertentu. Pemimpin juga harus tegas ketika menggunakan ganjaran dan hukuman. Namun begitu, pendekatan tersebut haruslah adil kepada semua orang bawahan, sekali gus bebas daripada unsur pilih kasih. Pemimpin berkarisma akan menunjukkan kesungguhan terutamanya dalam menyelesaikan masalah berbangkit. Oleh itu, pemimpin sama sekali tidak boleh melarikan diri daripada masalah atau mencipta pelbagai alasan, sebaliknya jadilah pemimpin yang membangkitkan suasana harmoni dengan mengemukakan penyelesaian yang bijak.

Kebijaksanaan merupakan karakter yang harus ada pada semua pemimpin. Pemimpin harus bijak dalam merangka strategi atau pelan terbaik dalam usaha mengurus dan membangunkan organisasi atau negara. Keadaan ini berbeza daripada pemimpin yang lemah kerana akan menghancurkan organisasi secara perlahan-lahan. Hal ini dikatakan demikian kerana pemimpin tersebut bukan sahaja tidak mampu menghasilkan strategi baharu yang dapat menaikkan imej organisasi malahan menyebabkan pekerja-pekerjanya memandang rendah terhadap kebolehannya sebagai pemimpin dalam menguruskan organisasi. Organisasi akan mengalami kerugian apabila pekerja berkebolehan dan mahir meninggalkan tempat kerjanya disebabkan oleh kelemahan kepimpinannya.

Pemimpin berkarisma juga perlu bijak dalam mengagihkan kerja atau tugasan kepada setiap pekerja. Sebagai contoh, tugasan tertentu perlu diamanahkan kepada pekerja yang layak dengan bidang tugasnya. Pemimpin yang kurang mahir tidak berupaya menempatkan pekerja pada bidang yang selayaknya. Jika pekerja ditempatkan pada bidang yang tidak sepatutnya, hal tersebut akan menurunkan produktiviti dan akan merugikan organisasi terbabit.

Nilai-nilai murni yang diamalkan dalam setiap aspek kehidupan seorang pemimpin akan mampu mempengaruhi orang di sekelilingnya untuk turut sama melakukan perkara yang baik. Pemimpin berkarisma dijadikan objek identifikasi. Pengikut akan mencontohi nilai dan tingkah laku pemimpin tersebut. Apabila pemimpin menunjukkan teladan yang baik, hal ini secara tidak langsung akan memberikan inspirasi kepada pengikutnya untuk melakukan perkara yang sama. Sebagai contoh, pemimpin yang sudah terbiasa menerima rasuah dan hadiah atas pengaruh dan kuasanya menyebabkan pekerja yang menyaksikan perilaku tersebut akan turut melakukan perkara yang sama kerana dianggap sebagai suatu kebiasaan. Oleh hal yang demikian, pemimpin yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupannya merupakan lambang yang menjadi karakter penting sebagai seorang pemimpin yang berkarisma.

Nilai kepimpinan memerlukan pemimpin yang berfikir, bertindak dan membuat keputusan terbaik demi kepentingan organisasi atau negara. Pelbagai aspek perlu dipertimbangkan dan kesan daripada keputusan yang diambil itu perlu ditanggung dengan hati yang terbuka. Kemampuan memikul tanggungjawab dan amanah mampu mengajar seseorang itu untuk menjadi pemimpin yang berkarisma. Pemimpin berkarisma akan dipandang sebagai wira apabila mampu menunjukkan kebolehan luar biasa dengan melaksanakan pembaharuan terhadap organisasi atau negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.