Oleh Aminudin Mansor
18 Oktober 2023, 19:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tabiat membaca rakyat Malaysia sebenarnya semakin meningkat. Namun begitu, prestasi ini ada pasang surutnya berikutan permintaan buku kebiasaannya berkaitan rapat dengan kuasa beli rakyat. Menghidupkan industri buku dan budaya ilmu dalam kehidupan turut menjadi tanggungjawab pemerintah dengan kerjasama rakyat dari negara itu sendiri. Perlu diingatkan bahawa amalan dan tabiat membaca akan menjadikan seseorang itu semakin berilmu dan maju dalam kehidupannya.

Minat membaca semestinya dipupuk dan disemai pada peringkat sekolah rendah dan menengah lagi. Dalam konteks ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sering menggalakkan minat membaca dalam kalangan pelajar di sekolah. Jika minat dan amalan ini diteruskan, maka pastinya seseorang itu akan terus kekal membaca sepanjang hayat. Menurut pandangan Colliar, iaitu pemikir terkemuka, buku merupakan panduan bagi orang muda dan penghibur bagi orang tua serta menolong kita pada kala kesepian dan menjaga kita supaya tidak menjadi bebas bagi diri sendiri. Manakala menurut John Denham, buku mesti mempunyai satu daripada empat tujuan, iaitu kebijaksanaan, kesolehan, kesenangan dan kegunaan hidup.

Oleh sebab itu, maka tidak hairanlah apabila tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia juga kini berubah, iaitu daripada membaca buku kepada membaca bahan-bahan yang disiarkan dalam media sosial dan juga di laman e-digital yang lebih mudah diakses dan juga dibaca semudah di hujung jari melalui telefon pintar.

Kajian dari segi psikologi pendidikan menyatakan bahawa proses membaca juga memerlukan naluri yang tinggi, keperluan dan desakan. Begitu juga apabila berada di sekolah, pelajar diterapkan dengan minat membaca melalui psikologi pendidikan sama ada di sekolah rendah dan menengah. Pelajar yang mempunyai naluri yang tinggi akan terus mempunyai minat membaca, selain “desakan” daripada pihak sekolah itu sendiri.

Tradisi budaya membeli buku juga berkaitan rapat dengan budaya membaca. Meskipun buku boleh dibeli secara dalam talian dan dihantar ke rumah dengan cepat, masyarakat akan berlumba-lumba untuk membeli buku jika terdapat potongan harga istimewa atau diberi secara percuma. Justeru, melalui pameran buku yang kebiasaannya diadakan pada hujung tahun sempena musim cuti sekolah juga mampu merancakkan kembali industri buku.

Industri buku menghadapi persaingan yang hebat daripada pelbagai media cetak yang lain seperti majalah dan akhbar tabloid yang sentiasa memaparkan kisah-kisah menarik dan sensasi. Walau bagaimanpun, akhbar dan majalah juga menghadapi persaingan dari segi penggunaan peranti seperti telefon pintar serta kemudahan Internet. Edaran akhbar dan majalah di Malaysia didapati semakin merosot berbanding dengan sebelum adanya “kegilaan” terhadap kemudahan penggunaan Internet menerusi telefon pintar.

Industri buku di negara ini tidaklah sekukuh dan setanding dengan negara maju seperti Jepun dan beberapa buah negara barat. Kebanyakan penerbit buku memilih jalan selamat dengan menerbitkan buku-buku teks dan buku rujukan sekolah untuk mengelakkan syarikat mereka daripada gulung tikar. Beberapa buah kedai buku juga terpaksa bertahan disebabkan orang ramai tidak lagi membeli buku di kedai. Hanya kedai-kedai buku ternama sahaja yang mampu bertahan di pusat beli-belah apabila masih mampu meneruskan perniagaan mereka biarpun tidak mencatat kadar keuntungan yang tinggi.

Menurut Persatuan Penjual Buku Malaysia (PPBM), industri buku hanya mampu mencatatkan keuntungan antara RM100 hingga RM250 juta setahun. Keuntungan ini mungkin akan lebih bertambah apabila rakyat sudah jemu dengan peranti dan telefon pintar. Peralihan ini mungkin akan berlaku jua suatu hari kelak meskipun lambat kerana situasi ini dianggap sebagai perkara biasa dalam kehidupan.

Menyentuh mengenai kesuraman industri buku, kegiatan mencetak atau menyalin (fotokopi) buku tanpa kebenaran merupakan antara faktor yang mampu menjatuhkan industri buku di negara kita. Oleh itu, pihak berwajib perlulah mengenakan dan melaksanakan undang-undang yang ada dengan lebih tegas bagi menyelamatkan industri buku daripada dicetak rompak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Berkaitan dengan budaya ilmu, perlu ditegaskan dan difahami bahawa ilmu ialah satu perkara asas yang memacu pembinaan dan tamadun sesebuah bangsa. Pembinaan ilmu yang bersepadu seharusnya menjurus kepada kemampuan manusia dalam usaha membudaya dan memanfaatkannya. Justeru, pertautan antara buku dengan ilmu tidak boleh dipisahkan. Menerusi pembudayaan ilmu, hal ini akan membawa kepada peningkatan intelektualisme, pemikiran, budaya hidup dan pembangunan insaniah. Pencarian ilmu sewajarnya dipelbagaikan dan tidak terhad pada beberapa bidang ilmu sahaja. Antara langkah-langkah untuk mempertingkatkan budaya ilmu termasuklah dengan mengubah tanggapan konsep belajar, yakni tidak semata-mata mengejar kecemerlangan akademik, tetapi menekankan konsep kefahaman dan penghayatan kepentingan ilmu yang dipelajari agar dapat dimanfaatkan. Selain itu, konsep berasaskan peperiksaan dalam sistem pendidikan negara ini perlu dinilai semula. Sebagai contoh,para pelajar mesti dibekalkan dengan kaedah pembelajaran berkesan yang menekankan kemahiran mencatat nota, teknik membaca, mendengar dan kemahiran penting yang lain. Kemahiran berfikir aras tinggi juga perlu diterapkan dalam penulisan buku-buku pelajaran dan ilmu pengetahuan.

Proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) dalam kelas perlu dipertingkatkan lagi agar lebih kreatif dan dapat menjana daya keintelektualan pelajar. Dalam hal ini, pihak berwajib perlu mengkaji semula kekangan dan masalah yang dihadapi oleh pihak sekolah agar daapt mengetengahkan formula terbaik dalam usaha mendidik pelajar. Program-program ilmu sewajarnya diperbanyakkan untuk proses percambahan minda melalui diskusi ilmu dan penulisan buku-buku ilmiah. Penggunaan teknologi terkini boleh dimanfaatkan tanpa meninggalkan penggunaan buku fizikal dalam kehidupan.

Aktiviti pemugaran ilmu wajar diperluas dengan membaca, memahami dan menghayati apa-apa bahan bacaan ilmiah seperti majalah, jurnal, buku-buku, dan lain-lain. Majlis-majlis ilmu juga perlu sentiasa dihadiri sama ada bersama-sama para guru atau berkumpulan. Majlis seminar, diskusi buku dan pelancaran buku baharu juga perlu dipergiatkan lagi. Pada masa yang sama, proses penterjemahan buku-buku bahasa Melayu yang berkualiti ke pelbagai bahasa asing dapat menyebarluaskan lagi ilmu pengetahuan yang ada.

Pada hakikatnya, peranan ibu bapa dan guru amat penting bagi memupuk budaya sayang akan ilmu dan mencintai buku sejak di bangku sekolah. Ibu bapa yang prihatin dapat menyumbang sesuatu yang bererti kepada masyarakat melalui pembudayaan ilmu daripada buku yang dibaca. Umpamanya, budaya menggalakkan pemberian hadiah berupa buku juga wajar dijadikan budaya dalam masyarakat Malaysia MADANI.

Kerajaan juga berperanan menggalakkan penerbitan buku, selain pemberian buku sebagai hadiah agar dapat merancakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat. Sekolah merupakan institusi pendidikan asas yang penting bagi meningkatkan kembali minat dan tabiat membaca buku menerusi anugerah Tokoh Pembaca kepada pelajar di setiap sekolah melalui program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang sudah lama diwujudkan. Matlamat program NILAM adalah supaya terbina tabiat membaca dalam kalangan murid dan pelajar. Objektif program NILAM turut menjadikan murid dan pelajar lebih banyak membaca dan menggalakkan sekolah tersebut agar terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca.

Oleh hal yang demikian, murid yang banyak membaca mempunyai pengetahuan yang lebih, motivasi yang tinggi, mempunyai perbezaan tingkat ilmu dengan individu lain, mempunyai personaliti berkarisma, mempunyai pemikiran aras tinggi, kemahiran komunikasi interpersonal dan intrapersonal, iaitu kecerdasan emosi  dan gaya pembelajaran yang lebih tinggi berbanding dengan pelajar yang kurang membaca.

Pada masa ini, buku bercorak keagamaan masih lagi kekal dan ada penggemarnya. Oleh itu, penerbitan buku-buku ilmiah, buku agama, buku kanak-kanak serta buku-buku sastera dengan reka bentuk dan kulit serta isi yang menarik dan berilmu pengetahuan mampu merancakkan lagi industri buku di negara ini. Genre sebegini ini jelas mempunyai penggemarnya yang tersendiri dan dianggap masih laris di pasaran. Pihak ahli jawatan kuasa masjid juga boleh membantu merancakkan penerbitan buku bercorak keagamaan dan pendidikan dengan menubuhkan perpustakaan dan bilik membaca bagi menggalakkan masyarakat nya generasi muda beralih kepada membaca buku yang dibeli dan disediakan disebabkan setiap masjid mempunyai wang yang terkumpul hasil derma daripada orang ramai pada setiap hari Jumaat dan hari biasa. Jika majlis ceramah boleh dikenakan bayaran yang tinggi, maka pembelian buku juga harus seimbang bagi perkembangan ilmu demi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.