Oleh Makmor Tumin
20 Oktober 2023, 17:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) telah ditubuhkan pada tahun 1995. Keahliannya  meningkat kepada 164 anggota sehingga Julai 2016. Idea penubuhan pertubuhan ini pernah diusulkan beberapa tahun sebelumnya oleh Kanada pada April 1990 bagi menggantikan Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) dan idea  penubuhan ini  juga disokong oleh European Community (EC).

Pada peringkat awal, Amerika Syarikat (AS) tidak bersetuju dengan idea penubuhan pertubuhan tersebut. Pada ketika itu, AS percaya rancangan untuk mewujudkan WTO akan menjejaskan potensi faedah yang boleh diraih oleh negara berkenaan hasil daripada perjanjian sebelumnya, terutamanya Rundingan Perdagangan Pusingan Uruguay 1986. Untuk rekod, prototaip WTO pernah dikemukakan pada tahun 1944 yang disebut sebagai “International Trade Organization” (ITO) dan pada ketika itu juga, AS tidak bersetuju dengan penubuhannya. Hal ini disebabkan bagi pihak AS ketika itu, negara berkenaan menyedari bahawa perdagangan bebas boleh mengancam industri pertanian mereka. Walaupun pada awalnya terdapat ura-ura bahawa kongres AS akan membantah penubuhan WTO, tetapi pada akhirnya, AS bersetuju agar WTO ditubuhkan bersama GATT pada tahun 1995.

WTO merupakan mekanisme multilateralisme yang diwujudkan bagi menyelaraskan aktiviti perdagangan berasaskan model liberal. Multilateralisme yang dimaksudkan ini ialah prinsip yang menyatakan bahawa kesemua negara anggota mendapat layanan dagangan yang sama di bawah WTO. Matlamat akhir keanggotaan sesebuah negara adalah untuk memastikan setiap penyelarasan berkenaan mendatangkan keuntungan bagi negara masing-masing.

Persoalannya, bukankah mekanisme GATT yang berfungsi sebagai penyelaras telah pun wujud sebelum WTO ditubuhkan pada tahun 1995? Secara amnya, sebahagian daripada penubuhan WTO itu adalah bertujuan untuk menampung beberapa kelemahan GATT yang telah ditubuhkan pada tahun 1947, yakni fakta yang menunjukkan kebanyakan negara anggota tidak benar-benar menepati perjanjian berkenaan tarif sememangnya telah lama diketahui kerana matlamat setiap negara yang berdagang adalah untuk memastikan keuntungan di pihak negaranya. GATT memang boleh mengambil tindakan terhadap pelanggaran peraturan global yang terdapat dalam mekanisme berkenaan. Walau bagaimanapun, GATT tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan peraturan dalaman dan dagangan negara anggotanya.

Sebagai contoh, GATT tidak mempunyai mekanisme untuk campur tangan dalam urusan peraturan-peraturan sekatan bukan tarif seperti subsidi dan kuota yang dikuatkuasakan oleh negara anggota. GATT hanya boleh menentukan peraturan tarif seperti kadar cukai dan duti sesebuah negara sahaja. Dari segi eksport dan import, tarif tidak akan berkesan sekiranya dimanipulasikan oleh mekanisme sekatan bukan tarif seperti subsidi dan kuota. Pada hakikatnya, prosedur penyelesaian pertikaian GATT tidak mencukupi untuk menangani pelbagai isu ketirisan dagangan. Selain itu, beberapa perkara dalam GATT yang berkaitan dengan “Preferential Trade Agreements” (FTAs) danMost-Favored Nations” (MFNs) juga disifatkan berkecamuk dengan prinsip-prinsip yang lain. Pada masa yang sama, GATT juga tertakluk pada prinsip asasnya, iaitu tanpa diskriminasi, yang dikuatkan oleh prinsip timbal balik dan prinsip perlindungan. Kelemahan-kelemahan seumpama ini menyebabkan negara kuasa besar seperti AS bersetuju dengan penubuhan WTO berkenaan.

Ketika Rundingan Perdagangan Pusingan Uruguay pada tahun 1986, iaitu semasa pengaruh Neoliberalisme semakin giat disebarkan ke seluruh dunia, kelemahan-kelemahan GATT yang disebutkan menyebabkan AS mendesak supaya pusingan berkenaan diadakan dan kemudiannya menginginkan WTO memperkukuh misi neoliberalisme berkenaan.

Terdapat tiga buah institusi utama global yang dikaitkan dengan pengaruh AS, iaitu WTO,  International Monetary Fund (IMF) dan Bank Dunia (WB). Ketiga-tiga institusi ini juga disebut sebagai “Washington Institutions”. Berbeza daripada GATT, WTO ialah sebuah organisasi yang lebih formal dan tarafnya dari segi peraturan antarabangsa adalah sama seperti IMF dan WB. GATT memfokuskan dagangan barangan buatan manakala WTO berfungsi bagi tiga perkara perjanjian, iaitu Perjanjian Am Perdagangan dalam Perkhidmatan (GATS), Perjanjian mengenai Harta Intelek Berkaitan Perdagangan (TRIPS) dan Langkah Pelaburan Berkaitan Perdagangan (TRIMS).

Perlu dicatatkan di sini bahawa, negara-negara kaya merupakan pengeksport utama perkhidmatan, harta intelek dan pelaburan. Kesemua ini merupakan antara perkara penting yang tidak diambil berat dalam GATT dan menjadi faktor utama gesaan AS tentang kepentingannya semasa Pusingan Uruguay 1986 yang disentuh sebelum ini.

GATT tetap berkepentingan bersama-sama WTO dalam perjanjian barangan dan tentulah bagi kebanyakan negara, terutamanya negara membangun, GATT itu merupakan perkara paling penting dalam perjanjian-perjanjian perdagangan kerana perdagangan barangan merupakan aspek terbesar dalam perdagangan antarabangsa.

Dari segi struktur organisasi dan aliran kuasanya, kuasa tertinggi WTO ialah Persidangan Menteri yang merangkumi semua ahli WTO. Secara formalnya, struktur inilah yang membuat keputusan di bawah perjanjian perdagangan pelbagai hala.

Sememangnya terdapat kesepakatan tersirat antara negara-negara kaya dalam memastikan pengaruh neo-liberalisme contohnya jawatan Presiden Bank Dunia mesti dipegang oleh warganegara AS dan jawatan pengarah urusan IMF pula mesti dipegang oleh mana-mana warganegara negara Eropah. Dari segi prinsipnya, hal ini tidak sama dengan kes GATT dan WTO. Walau bagaimanapun, semua ketua pengarah GATT dari 1948 hingga 1995 merupakan warganegara Eropah. Terdapat tiga orang ketua pengarah WTO yang bukan warganegara Eropah, sejak 1999 hingga sekarang. Ketua pengarah WTO kini ialah Roberto Azevêdo dari Brazil.

Secara amnya, terdapat tiga fungsi utama WTO, iaitu:

1) Untuk melaksanakan dan memantau prinsip dan peraturan perdagangan;

2) Untuk menyelesaikan pertikaian dalam kalangan ahli WTO; dan

3) Untuk menjalankan rundingan perdagangan pelbagai hala.

Semua negara anggota dan masyarakat dunia berharap dengan adanya WTO, kelemahan-kelemahan GATT akan dapat ditampung. Namun begitu, tidak ada mekanisme yang sempurna secara mutlak tanpa cacat celanya. Setiap kali perbincangan mengenai kelemahan WTO misalnya, isu tertangguh pusingan Doha di bawah seliaan badan ini sentiasa mendapat perhatian penganalisis.

Sehingga ke hari ini, WTO masih belum menyelesaikan rundingan pusingan Doha yang sebenarnya merupakan pusingan pertamanya meskipun dijadualkan siap hampir 20 tahun yang lalu, iaitu pada Januari 2005. Usaha sememangnya telah ada, namun kesemuanya hampa sedangkan GATT pula telah berjaya melepasi lapan pusingan rundingan. Hal ini tidak bermakna WTO itu gagal dalam keseluruhan fungsinya, terutamanya dalam menjalankan fungsi pertamanya, iaitu untuk melaksana dan memantau prinsip dan peraturan perdagangan.

Sebagaimana yang dicatatkan sebelum ini, status WTO pada peringkat antarabangsa sama kedudukannya dengan IMF dan Bank Dunia. Dengan kedudukan dan kuasa istimewa itu, WTO dapat menggunakan peraturan global bukan sahaja untuk perdagangan barangan yang berada di bawah seliaan GATT, malah turut meliputi fungsinya sendiri terhadap perdagangan perkhidmatan (GATS) dan hak harta intelek (TRIPS) yang juga telah disentuh sebelum ini.

WTO dan GATT merupakan institusi yang berasaskan prinsip majoriti, satu negara, satu undi. Pengundian dalam mekanisme WTO terbahagi kepada tiga kategori, iaitu memerlukan majoriti mudah atau memerlukan majoriti khas dua pertiga atau tiga perempat, atau sebulat suara, tertakluk kepada isu yang dibentangkan. Secara teorinya, prinsip demokrasi satu negara, satu undi memberikan kuasa kepada semua negara termasuk negara-negara miskin dan membangun untuk suara yang sama.  Namun begitu, dari segi praktikalnya, hal ini bagaikan mimpi di siang hari. Pada kebiasaannya, keputusan diambil secara persetujuan dalam mesyuarat dan dalam mana-mana mesyuarat sekalipun, lazimnya keputusan lebih cenderung menyebelahi negara dengan pengaruh atau kuasa yang besar (the strong character always wins).

Walau bagaimanapun, hakikatnya semakin banyak negara berminat untuk menganggotai WTO sebagaimana angka yang dinyatakan di awal rencana ini, merupakan manifestasi kewujudan faedah yang boleh diraih oleh negara-negara anggota berkenaan. China yang berbeza ideologi politik dan ekonomi dengan majoriti ahli WTO lain turut sama menyertainya pada tahun 2021. Terdapat banyak analisis yang menunjukkan bahawa ekonomi China berkembang pesat menerusi faedah yang dimiliki dengan penyertaan berkenaan. Kesimpulannya, walaupun WTO mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, namun komitmennya perlu sentiasa diperbaharui demi kebaikan semua negara anggota dari semasa ke semasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.