26 Oktober 2023, 14:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd. Farid Janudin

Cyberjaya – Sasterawan Negara (SN) YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP telah melancarkan Program Adik Digital Inovatif Kreatif (ADIK) bersempena dengan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya pada pagi tadi. ADIK merupakan kandungan bahan digital pendidikan berbahasa Melayu yang dibangunkan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi, daya penerokaan dan daya penciptaan dalam kalangan murid.

Pelancaran program ADIK anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Sekolah, Jabatan Penerbitan dengan kerjasama MMU itu melibatkan tiga segmen ADIK, iaitu ADIK Bicara (mengetengahkan ilmu berkonsepkan didik hibur dan mengukuhkan kemahiran berkomunikasi melalui pelbagai aktiviti seperti mengenali puisi tradisional, peribahasa Melayu dan lain-lain); ADIK Teroka (pengisian yang disediakan bagi membuka ruang kepada penonton untuk melakukan penerokaan dan menguji minda serta pengetahuan sedia ada mereka seperti mempelajari sebutan dan ejaan sesuatu perkataan yang betul) dan ADIK Cipta (kandungan yang dihasilkan yang dapat menggalakkan penonton berfikir secara kritis dan kreatif melalui ciptaan dan inovasi yang diketengahkan).

Menurut  YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, program ADIK ini merupakan program kerjasama antara DBP dengan MMU dalam bentuk bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) digital yang dapat memberikan input berasaskan projek dan simulasi amali.

Tambah beliau lagi,

Sudah sampai masanya pendidikan dan pembelajaran untuk generasi muda khususnya yang lahir selepas tahun 2000, digandingkan dengan platform dan juga media sosial atau teknologi komputer dan Internet untuk memperoleh ilmu dan informasi. Sehubungan dengan itu, pelan strategik DBP turut memberikan penekanan bukan sahaja kepada penerbitan dalam bentuk fizikal (p-book) tetapi juga dalam bentuk penerbitan elektronik termasuklah program ADIK ini. Pendedahan yang sebaik-baiknya berkaitan dengan teknologi multimedia kepada generasi muda membolehkan mereka dapat bersaing pada peringkat global.

Beliau turut berharap agar program kerjasama seumpama ini dapat diteroka dengan lebih luas pada masa hadapan, khususnya dalam bentuk sumbangan karya yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran PdP murid.

YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan berucap ketika melancarkan Program ADIK.

Sementara itu, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, iaitu Presiden Universiti Multimedia pula berkata bahawa program seumpama ini diadakan untuk mempergiat penerbitan digital dengan memanfaatkan ruang melalui teknologi. Tambahnya, MMU juga dapat menyumbang kepada program dan kandungan digital yang sudah pastinya menggunakan pelbagai pelantar dan media sosial sama ada di DBP ataupun di MMU.

Program ADIK dapat mendekatkan anak-anak kita kepada bahasa Melayu dan meneroka dunia baharu dalam bidang pendigitalan, seterusnya dapat menambah minat mereka untuk mempelajari bahasa Melayu serta mencintai bahasa Melayu.

YBhg. Profesor Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, Presiden Universiti Multimedia ketika memberikan ucapan alu-aluan.

YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, iaitu Pengarah Jabatan Penerbitan, DBP menerusi ucapan alu-aluannya berkata bahawa kerjasama program ADIK ini melibatkan perkongsian kepakaran kedua-dua belah pihak, iaitu DBP bertanggungjawab menyediakan kandungan untuk penerbitan siaran bahan PdP ADIK, manakala MMU pula akan membangunkan bahan tersebut dan bertanggungjawab dalam hal yang berkaitan dengan teknikal.

Objektif program ADIK diadakan adalah untuk mempromosikan bahan digital penerbitan DBP kepada khalayak dan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Selain itu, ADIK juga dilaksanakan untuk menyediakan kandungan siaran bahan digital berasaskan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang dapat menjadi sumber bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu di sekolah.

YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa – “Kerjasama program ADIK ini melibatkan perkongsian kepakaran kedua-dua belah pihak, iaitu DBP dan MMU dalam teknologi pendigitalan pendidikan berbahasa Melayu”.

Yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah para karyawan DBP, pelajar dan pensyarah MMU, pegawai KPM, pelajar sekolah dan guru pengiring serta tetamu undangan yang lain.

Gimik pelancaran Program ADIK.
Pelajar sekolah, guru pengiring serta tetamu undangan yang hadir memeriahkan majlis pelancaran Program ADIK.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.