5 November 2023, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Luar Negeri (KLN) menganjurkan Hari Wisma Putra 2023 yang berlangsung di Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri, Putrajaya bagi mempromosikan diplomasi budaya dan mendekatkan hubungan antara KLN dengan masyarakat serta komuniti antarabangsa, semalam.

Dalam majlis tersebut, Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir telah merasmikan Modul Bahasa Melayu untuk Penutur Asing (Peringkat Asas) dan Modul Kursus Bahasa Melayu untuk Kanak-kanak yang telah dibangunkan oleh Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Turut hadir bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah dan Ketua Akademi DBP, Puan Mariati Josepha Mustapa.

Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Dalam majlis tersebut, YB Dato’ Seri Dr. Zambry berkata,

Wisma Putra telah memainkan peranan penting membentuk imej dan reputasi Malaysia pada peringkat global. Malahan, Wisma Putra juga merupakan pusat yang memelihara hubungan dan jaringan antarabangsa menerusi ikatan diplomatik.

Program yang julung kali dianjurkan ini juga memberikan peluang kepada rakyat Malaysia dan rakyat negara asing yang berada di Malaysia untuk lebih memahami peranan dan fungsi KLN, serta agensi kerajaan yang berkaitan.

Mengulas lanjut, menurut Akademi DBP:

Modul Bahasa Melayu untuk Penutur Asing (Peringkat Asas) mengandungi 14 buah unit dengan objektifnya sebagai panduan terhadap kemahiran mendengar, berkomunikasi, membaca dan menulis dalam bahasa Melayu. Modul Kursus Bahasa Melayu untuk Kanak-kanak pula adalah sebagai panduan kepada anak-anak kakitangan Perwakilan Malaysia di luar negara dalam mempelajari bahasa kebangsaan.

Akademi DBP turut menjalinkan kerjasama dengan KLN menerusi Pusat Bahasa dan Budaya, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dengan mengadakan Kursus Bahasa Melayu kepada kakitangan ambilan tempatan khususnya yang berada di Afrika Utara, Timur Tengah dan Asia Tengah.

Antara pengisian acara bagi program tersebut termasuklah Promosi Budaya Sarapan Malaysia. Pengunjung telah disajikan dengan hidangan sarapan yang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia, iaitu nasi lemak, roti canai dan teh tarik secara percuma.

Selain itu, persembahan kebudayaan dan kesenian  pelbagai budaya masyarakat Malaysia turut dipersembahkan. Tayangan filem dan animasi Malaysia yang bertemakan identiti kreatif negara turut dipertonton secara percuma kepada para pengunjung. Beberapa buah agensi kerajaan turut membuka reruai pameran yang disertai oleh beberapa perwakilan diplomatik antarabangsa di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.