Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLabuan – Bersempena dengan Jerayawara Bahasa Jiwa Bangsa (JBJB) 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Perbadanan Labuan menganjurkan Pertandingan Mewarna Si Cilik bertujuan untuk menyemarakkan semangat dan menonjolkan bakat serta kreativiti kanak-kanak khususnya dalam menghayati dan memahami konsep Malaysia MADANI.
Program yang berlangsung di Pentas Anggerik, Ujana Kewangan, Labuan ini menyaksikan sebanyak 35 orang peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun dari sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.
Hasil karya peserta dinilai oleh tiga orang hakim, iaitu Puan Rosni Aliskah dan Puan Hasliza Hassan dari Perpustakaan Awam Perbadanan Labuan, dan Puan Norhafiza Ibrahim dari DBP Cawangan Sabah berdasarkan penggunaan tona warna (40%), kekemasan (30%) dan kreativiti (30%).
Adik Shafierah Nadirah Alba dinobatkan sebagai johan pertandingan dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200.00 serta sijil penghargaan, manakala naib johan dan tempat ketiga dimenangi oleh Adik Nur Hana Zuhaira Ahmad dan Adik Nurul Syazleyana Yusrizal, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM150.00 dan RM100.00 serta sijil penghargaan.
Adik Mohamad Syahmi Asmawi, Adik Naura Nabella Norizal, Adik Xiandra Jane Roneld, Adik Miesya Nursyamierra Isa dan Adik Nur Qaireen Qailisyah Masrilan pula menerima hadiah sagu hati, iaitu hadiah wang tunai bernilai RM50.00 dan sijil penghargaan.
Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Encik Simsudin Sidek, mewakili YB Senator Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman, Pengerusi Perbadanan Labuan semasa Majlis Penutupan JBJB 2023 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK).