6 November 2023, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Khairul Azhar Baharudin

Kuala Lumpur – Masyarakat dunia memiliki pelbagai cara untuk menunjukkan solidariti kepada Palestin, iaitu sebuah bangsa yang telah dinafikan haknya sebagai manusia yang sepatutnya hidup bernegara bangsa untuk turut serta menikmati kemakmuran dan keamanan seperti penduduk dunia yang lain.

Bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) turut meneruskan tekad yang tidak berbelah bahagi untuk sama-sama mendoakan keamanan buat rakyat Palestin khususnya melalui penganjuran Malam Apresiasi Palestin yang diadakan pada malam tadi. Pelbagai pengisian yang menyerlahkan semangat utuh terhadap nilai kemanusiaan diadakan dalam usaha menanamkan semangat cinta akan kemanusiaan sejagat.

Program anjuran DBP ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk agensi awam, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Pejabat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yayasan Dakwan Islamiah Malaysia (YADIM), Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Pertubuhan Ilmu Salaf Dot Com (ISDC), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Radio ZAYAN serta Athar Foundation.

Program bertemakan kemanusiaan sejagat yang berkonsepkan persembahan seni pentas seperti bacaan puisi, fragmen, dan nyanyian lagu puisi ini melibatkan penyertaan pelbagai pihak seperti Sasterawan Negara, pegawai tentera, artis, pemuisi dan penyair.

Persembahan Malam Apresiasi Palestin penuh berimpak malam tadi telah dijayakan oleh Amalina Ariffin (Radio ZAYAN), Nor Azimah Abu Bakar, Noor Aflieza Arshad, Azmi Ismail, Adam Bakhtiar Buck Lee Abdullah (GAPENA), Zaifulnizam Wagiran (PENA), Hasri Harun (WADAH), Anis Zurain dan Nathrah (YADIM), Muhammad Faisal Abd Aziz dan Zairudin Hashim (ABIM).

Selain itu, persembahan daripada Kumpulan Anak-anak Palestin yang didahulukan dengan deklamasi puisi dalam bahasa Melayu benar-benar menyentuh hati para tetamu yang hadir dan persembahan mereka diakhiri dengan dendangan lagu yang kini menyentuh seluruh hati masyarakat dunia yang turut bersimpati dan mendoakan keamanan untuk mereka, iaitu Atouna el Toufoule.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian dua buah lagu karya oleh penyanyi Amir Jahari sendiri. Persembahan ini merupakan antara yang berimpak tinggi kepada tetamu yang hadir sebagai terjemahan suara kemanusiaan sejagat yang akan terus dilaungkan.

Sebagai tanda sokongan kepada acara ini, antara tetamu kehormat yang turut mempersembahkan puisi termasuklah YBhg. Briged Jeneral Dato’ Dr. Mohd Radzi Abdul Hamid, Ketua Pengarah Perancangan Strategik, Markas Angkatan Tentera Malaysia yang telah mendeklamasikan sajak bertajuk Pos Kawalan Sempadan No.8.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari mendeklamasikan sajak dalam acara Malam Apresiasi Palestin yang berlangsung malam tadi.
Penampilan khas Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Seri Dr. Abdul Samad Mohamed Said.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka YBrs. Dr. Hazami Jahari turut mendeklamasikan sajak nukilan beliau sendiri bertajuk Duka Gaza dan Sumpah Sejarah serta persembahan khas daripada Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Seri Dr. Abdul Samad Mohamed Said, yang turut menyemarakkan lagi Malam Apresiasi Palestin, semalam.

Barisan Pengurusan Tertinggi DBP dan barisan tetamu yang hadir memberikan sokongan.

Turut hadir meraikan Malam Apresiasi Palestin ini ialah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Tuan Haji Razali Che Mat; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus serta Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.