7 November 2023, 20:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Zaidah Zakaria

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan Hari Integriti DBP 2023 pada pagi ini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP bagi memperkasakan produktiviti para pekerja dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab, serta memastikan penyampaian perkhidmatannya yang signifikan.

Program Hari Integriti DBP diadakan bersempena dengan Hari Integriti Nasional yang diraikan pada 5 November setiap tahun. Program ini diadakan untuk membudayakan integriti dan memupuk nilai murni dalam kalangan warga kerja.

Pelaksanaan program ini merupakan inisiatif berdasarkan Pelan Antirasuah DBP 2021-2025 bagi mewujudkan persekitaran pentadbiran yang lebih cekap, berdisiplin serta menekankan nilai jati diri, moral dan etika pekerja.

Majlis perasmian Hari Integriti DBP 2023 disempurnakan oleh Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Mohd Anwar Rethwan merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Menyorot pengalaman peribadi beliau yang bertugas lebih 30 tahun di DBP dan pernah bertugas di luar negara, iaitu Jepun selama tiga tahun, penghayatan integriti menjadi hal yang amat penting dalam menjalani kehidupannya hingga kini.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anwar Rethwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.

Karyawan DBP haruslah bersepakat dan berusaha untuk menetapkan pendirian yang sama, iaitu teguh mengangkat keutuhan integriti sebagai prinsip budaya kerja dan nilai korporat yang dihayati dan diteladani secara tulen dan holistik.

Seiring dengan falsafah Hari Integriti, program ini juga dapat memupuk kesedaran dan penjiwaan dalam kalangan warga DBP ke arah pemantapan mutu penyampaian perkhidmatan, serta memastikan tadbir urus dan tata kelola yang berkesan, cekap dan bersih daripada unsur pecah amanah.

Forum integriti “Khilaf Semalam, Kembali ke Pangkal Jalan” turut diadakan bagi membincangkan tentang kepentingan nilai dan budaya integriti dalam kalangan penjawat awam.

Dalam perkembangan yang sama, forum yang bertajuk “Khilaf Semalam, Kembali ke Pangkal Jalan” turut diadakan dengan menampilkan Personaliti Televisyen, Ally Iskandar Mohd Mardzi sebagai moderator, manakala ahli panelnya pula ialah Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Malaysia, Dato’ Norazmi Mohd Narawi; Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Encik Mohd Narawi Md. Razif Wan; dan pendakwah bebas, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek.

Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Malaysia, Dato’ Norazmi Mohd Narawi.

Dato’ Norazmi menegaskan bahawa sesuatu perkara yang dilakukan oleh seseorang khususnya berhubung dengan kesalahan integriti mempunyai kesan jangka panjang kepada seseorang penjawat awam dalam sesebuah organisasi. Menurutnya lagi, setiap diri individu akan dipertanggungjawabkan dengan tindakan yang dilakukan.

Pelanggaran integriti akan menjadi faktor utama kepada prestasi seseorang dalam sesebuah organisasi itu. Bagi mencapai tahap integriti yang baik, setiap pekerja haruslah cakna akan peraturan yang ditetapkan oleh organisasi.

Sementara itu, Encik Mohd Narawi Md. Razif Wan mengingatkan rakyat Malaysia tidak kira umur, latar belakang pendidikan mahupun sosioekonomi tetap akan berhadapan dengan risiko. Misalnya, seseorang itu terjebak atau terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Encik Mohd Narawi Md. Razif Wan.

Pengaruh rakan merupakan antara penyumbang terbesar kepada penyalahgunaan dadah di negara ini dan tidak terkecuali turut berlaku dalam kakitangan awam. Kesan kepada penagih meliputi biologi, psikologi, sosiologi dan dalaman seseorang penagih tambahnya lagi.

Maka demikian, Ustaz Mohamed Hanafiah menegaskan bahawa ajaran Islam itu dapat membawa umatnya kepada kesempurnaan atau syumul.

Pendakwah bebas, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek.

Integriti itu saling berhubung dengan erat antara akal, tubuh dengan jiwa. Konsep integriti harus difahami oleh semua, yakni bagaimana bermula daripada hubungan antara hamba dengan Tuhan-Nya dan diikuti kepada diri sendiri.

Usai sesi forum integriti, majlis penyampaian hadiah Pertandingan Ilham Budaya Integriti 2023 telah disampaikan oleh Dato’ Dr. Mohd Anwar Rethwan. Pertandingan ini telah dilancarkan pada 13 September 2023 hingga 4 Oktober 2023. Pemenang pertandingan seperti yang berikut:

Kategori Ilham Budaya Integriti Gempak (Tanda Suka Terbanyak)

Johan: Fatin Nazihah Hamzah (Bahagian Ensiklopedia)
Tempat Kedua: Mohd Rizal Wahab (Bahagian Keselamatan)
Tempat Ketiga: Mohamad Safri Yazidun (Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera)

Kategori Ilham Budaya Integriti Tular

Johan: Nazrul J. Izzat Yaackob (Bahagian Multimedia)
Tempat Kedua: Nur Shahirah Omar (Bahagian Buku Umum)
Tempat Ketiga: Nuzul Fazli Zainuddin (DBP Wilayah Timur)

Kategori Ilham Budaya Integriti Terbaik

Johan: Nazrul J. Izzat Yaackob (Bahagian Multimedia)
Tempat Kedua: Nuzul Fazli Zainuddin (DBP Wilayah Timur)
Tempat Ketiga: Nur Shahirah Omar (Bahagian Buku Umum)

YBhg. Sasterawan Negara, merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Dr. Mohd Anwar Rethwan menyampaikan hadiah kepada Nazrul J. Izzat Yaackob yang merupakan pemenang bagi kategori Ilham Budaya Integriti Terbaik dalam Pertandingan Ilham Budaya Integriti 2023.

Berkesempatan menemui penyandang kategori Ilham Budaya Integriti Terbaik, iaitu Nazrul J. Izzat, beliau mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana berjaya dalam percubaannya melalui pertandingan yang dianjurkan ini. Beliau yakin dengan penganjuran sebegini dapat menjadi satu daripada inisiatif yang sangat signifikan menerusi penggunaan digital dalam usaha memperkasakan budaya integriti.

Turut hadir bersama-sama dalam program ini ialah Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Bantuan Guaman Malaysia, Tuan Zaim Md Yudin (Syariah); Ketua Unit Integriti, Kementerian Pendidikan Malaysia, Puan Zakiah Che Man; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Ketua Unit Integriti DBP, Tuan Haji Hamidi Baharom, serta barisan pengarah dan karyawan DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.