12 November 2023, 18:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jika sesiapa yang pernah menjalani ujian kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), ujian temu duga bagi penjawat awam atau ujian kemasukan ke universiti, pasti terbiasa dengan ujian penilaian kualiti kepimpinan secara manual dan bertulis yang diadakan di dalam dewan peperiksaan atau di dalam bilik kuliah. Situasi ini tidak akan berlaku lagi kerana ujian penilaian kualiti kepimpinan sudah boleh dilakukan semudah di hujung jari sahaja dengan iLEADpro Plus yang telah dirangka oleh Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD). Malah iLEADpro Plus ini bukan sahaja mengambil kira elemen kepimpinan, tetapi juga dipertingkatkan dengan gabungan ciri-ciri kerjaya terhadap pengukuran seseorang individu.

iLEADpro Plus bertujuan untuk memudahkan pihak agensi, kementerian dan masyarakat awam untuk melakukan ujian serta penilaian kualiti kepimpinan yang benar-benar berupaya dan dipercayai serta menggunakan dapatan atau parameter seperti

i-LEADpimpin dan i-LEADkerjaya, yang dibina dan dimuktamadkan oleh penyelidik-penyelidik mahir lagi terkemuka di Malaysia, terutamanya dalam bidang kepimpinan.

Pemimpin

Penulis ingin menarik perhatian pembaca untuk memahami siapa itu pemimpin dan apa itu ciri kepimpinan. Pemimpin ialah individu yang memiliki kemampuan untuk memimpin, mengarahkan dan memotivasikan orang-orang di sekitarnya untuk mencapai tujuan yang telah ditetapkan. Kepimpinan ialah kemampuan untuk mempengaruhi dan memotivasikan orang lain untuk mencapai tujuan bersama. Bagi tujuan penjelasan dasar mengenai model ciri personaliti kepimpinan ini, hal ini dapat dimulakan dengan menggariskan dulu prinsip asas pemimpin dan ciri-ciri kepimpinan.

Di samping ciri kepimpinan, seorang pemimpin harus stabil dari aspek paksi kerjaya. Dalam konsep asas pemimpin dengan kerjaya ini menggambarkan bahawa kerjaya boleh mengukuh ciri kepimpinan individu. Kerjaya bagi seseorang akan melambangkan kelestarian diri, apabila individu pemimpin berkerjaya diandaikan berprinsip teguh terhadap pelaksanaan tanggungjawab.

Tret Kepimpinan Muda i-LEAD

Tret Kepimpinan Muda i-LEAD dirangka menggabungkan dua parameter utama atau dua set soalan dalam menentukan ciri kepimpinan seseorang, iaitu i-LEADpimpin dan i-LEADkerjaya. Kedua-dua parameter ini kemudiannya digabungkan untuk membentuk output atau hasil akhir yang akan dijadikan sebagai penilaian kepada penentuan ciri kepimpinan setiap individu yang berkaitan.

i-LEADpimpin

 Ciri kepimpinan individu secara umumnya ditentukan gaya karakter atau personaliti seseorang. Bagi mengenal gaya personaliti individu, suatu cara pengiraan karakter kepimpinan diperlukan dan i-LEADpimpin telah dibangunkan bagi tujuan tersebut.

i-LEADpimpin ini merangkumi empat tret kepimpinan yang mengandungi personaliti seperti Dominan (Dominance), Mempengaruh i(Influence), Stabil (Steadiness)  dan Akur (Compliance) yang diadaptasi daripada Dr. William Moulton Marston, iaitu Ahli Psikologi dari Universiti Harvard yang menghasilkannya lebih satu abad yang lalu.

Hingga saat ini, banyak pihak yang menggunakan pendekatan ini bagi mengukur ciri kepimpinan individu. Satu daripada penerapan i-LEADpimpin boleh dilihat dalam peranannya terhadap gaya kepimpinan seseorang.

Jenis Personaliti i-LEADpimpin

Dominan (Dominance)

Pemimpin dengan karakter ini cenderung percaya diri dan mudah mengutarakan apa-apa yang difikirkan olehnya. Mereka memiliki fokus pada matlamat dan suka akan cabaran yang membuatkan mereka bekerja dengan lebih cepat terutamanya dalam aspek pembuatan keputusan atau penyelesaian masalah. Namun begitu, kebiasaannya mereka memiliki ego yang tinggi dan berfokus pada keuntungan peribadi. Gaya kepimpinan yang kebiasaannya dilakukan orang-orang dominan ini termasuklah sering memberikan arahan atau perintah dengan tegas.

Mempengaruhi (Influence)

Pemimpin jenis ini dianggap sebagai orang yang dapat mempengaruhi orang lain dengan baik. Memiliki kemampuan interpersonal yang baik membuatkan mereka mudah berunding untuk membujuk orang lain. Mereka optimis dan tinggi nilai kesungguhannya sehingga dapat memberikan suasana positif kepada orang di sekelilingnya. Mereka amat tidak menyukai elemen penolakan kerana secara umumnya mereka begitu dahagakan populariti. Pada kebiasaannya, kepimpinan mereka dicirikan dengan perilaku memberikan contoh dan menyebarkan semangat kepada orang di sekelilingnya.

Stabil (Steadiness)

Pemimpin berkeperibadian ini berkemampuan menjadi pendengar yang baik. Mereka dianggap sebagai orang yang dapat diandalkan kerana sikapnya yang ramah dengan memiliki nilai empati yang tinggi. Pemimpin dengan karakter ini dianggap berkebolehan dalam menguruskan konflik. Gaya kepimpinan individu ini adalah inklusif dan mempunyai ciri rendah diri.

Akur  (Compliance)

Pemimpin jenis ini secara umum adalah orang yang sentiasa tepat dalam menganalisis. Mereka dinilai sebagai cermat dan teliti dalam melakukan segala pekerjaannya serta selalu berdasar pada data yang ada. Kesannya, mereka sentiasa didapati terlalu bersistematik dan dianggap memiliki tanda aras piawai yang tinggi dalam pekerjaan. Gaya kepimpinan individu jenis ini kebiasaannya tidak terburu-buru dan berpendirian teguh.

i-LEADkerjaya

Parameter kedua atau kerjaya yang menjadi asas kepada pembangunan iLEADproPlus ini ialah Teori Tipologi Kerjaya oleh Holland yang dibangunkan bermula pada tahun 1973 hingga 1996 yang mendukung i-LEADkerjaya. Alat ukur iLEADpro Plus ini mengandungi juga domain kerjaya dengan kefahaman bahawa ciri kepimpinan juga disumbangkan oleh kecenderungan minat kerjaya seseorang. Holland (1996) telah membahagikan minat kerjaya kepada enam tret, iaitu Realistic, Investigative, Artistic, Sosial, Enterprising dan Conventional. Konsep ini dijelaskan lagi dalam Teori Tipologi Kerjaya Holland. Menurut Holland, berdasarkan enam jenis individu iaitu Realistik (R), Investigatif (I), Artistik (A), Sosial (S), Enterprising (E) dan Conventional (C), Holland telah membangunkan model yang memperincikan ciri personaliti dan persekitaran, seterusnya item-item ini akan menggambarkan kecenderungan kerjaya seseorang.

Interpretasi Makna kepada Dapatan i-LEADpimpin dan i-LEADkerjaya

iLEADpro PLUS yang di dalamnya mengandungi i-LEADpimpin dan        i-LEADkerjaya akan dijalankan analisis menggunakan dapatan semua responden. Rumusan bagi kedua-dua domain ini akhirnya dirumuskan kepada ciri kepimpinan individu. Interpretasi kepada dapatan-dapatan itu akan dikeluarkan sebagai output atau hasil akhir yang akan dijadikan sebagai penilaian kepada penentuan ciri kepimpinan individu terbabit. Dapatan kajian di kalangan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim (UniSHAMS) menunjukkan bahawa formulasi i-LEADpimpin dan i-LEADkerjaya boleh menentukan ciri kepimpinan individu untuk 100 peratus peserta,keputusan ujian kebolehpercayaan pula menunjukkan bahawa sistem automatik untuk kedua-dua iLEADpro PLUS mempunyai kebolehpercayaan yang sangat baik dengan nilai 0.96 menghampiri angka maksimum 1.

Menang

Lebih membanggakan lagi iLEADpro Plus ini baru sahaja menyertai pertandingan inovasi antarabangsa di International Eureka Innovation Exhibition 2023 anjuran Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) Kulim, Kedah dengan pencapaian Anugerah Emas (Gold Award) dan satu Anugerah Khas Kategori UniKL. Hal ini menunjukkan Tret Kepimpinan Muda i-LEAD mempunyai potensi luas dalam bidang kepimpinan dan diiktiraf sebagai produk inovasi yang berjaya. Tahniah diucapkan kepada para pegawai dan warga i-LEAD serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Kesimpulannya diharapkan agar iLEADpro Plus dapat menyumbang kepada pembentukan kualiti kepimpinan generasi masa depan anak Malaysia Madani, seperti pemimpin yang digambarkan Hamka dalam penulisan terulungnya, Tafsir Al-Azhar. Pemimpin ialah; “memimpin supaya tegak,membimbing supaya dapat berjalan, memapah supaya jangan jatuh atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam”.

Penulis, Ketua Pengarah, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.