Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGombak – Council of Principals (COPs) mengadakan Karnival Sukan Inter-Mahallah 2023 (ISC 2023) bermula 28 Oktober hingga 4 November 2023 di Dewan Keramat bagi melahirkan mahasiswa yang cerdas dan cergas, setelah tiga tahun acara ini ditangguhkan susulan pandemik COVID-19.
Dalam ucapan majlis tersebut, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Amir Akramin menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur dan ucapan syabas atas semangat dan dedikasi yang tinggi oleh semua atlet yang bertanding meskipun tidak semua yang meraih pingat.
Semangat kesukanan yang jitu dan perjuangan hingga ke minit yang terakhir begitu membanggakan semua. Tidak dilupakan, para penyokong yang saban hari memenuhi ruang stadium dan memberikan sokongan padu kepada pasukan mereka.
Acara tahunan ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama daripada Pusat Pembangunan Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), serta mendapat sokongan padu dari Mahallah Representative Committee (MRCC).
Tambah beliau,
Sukan merupakan wadah penyatuan penuntut universiti daripada pelbagai latar kehidupan.
Terdapat pelbagai acara sukan individu dan berkumpulan yang dipertandingkan, antaranya termasuklah larian berkumpulan, bola jaring, bola tampar, acara padang seperti lompat kijang, lompat jauh, lempar cakera, rejam lembing dan lontar peluru, bola baling, badminton, pingpong dan bola beracun.
Johan kategori lelaki disandang oleh johan menunggu, Mahallah Zubair, diikuti oleh Mahallah Faruq di tempat kedua dan Mahallah Ali di tempat ketiga. Untuk kategori perempuan, tempat pertama disandang oleh Mahallah Salahuddin, diikuti oleh Mahallah Safiyyah dan Mahallah Sumayyah di tempat ketiga. Buat pertama kalinya juga, markah di tempat kedua dan ketiga diputuskan seri, justeru kedudukan pemenang ditentukan berdasarkan pungutan pingat emas, perak dan gangsa.
Menurut penganjur, setiap acara tersebut diadili oleh pengadil profesional dan dikendalikan mengikut prosedur sukan oleh kakitangan dari Pusat Pembangunan Sukan UIAM, serta dibantu oleh para sukarelawan.
Sebanyak 17 kolej kediaman mengambil bahagian dengan penyertaan hampir 200 ahli jawatankuasa dan sukarelawan serta 1300 atlet. Uniknya, pertandingan ini juga melibatkan penyertaan penuntut antarabangsa dan mendapat suntikan Dana Sukan Komuniti daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dalam majlis penutup, penganjur turut mengambil kesempatan untuk sama-sama mendoakan perjuangan umat Islam di Palestin agar penindasan dan kezaliman yang berlaku akan berakhir.
Kemudian, majlis ditambahkan kemeriahan dengan persembahan daripada 17 kolej kediaman, iaitu persembahan selingan oleh kumpulan Pusat Kebudayaan UIAM dan diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang persembahan terbaik, serta pengumuman johan keseluruhan ISC 2023.