Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPsikologi adalah satu daripada cabang ilmu yang jarang-jarang dibincangkan kerana dianggap sebagai tabu yang sering dikaitkan dengan masalah tekanan jiwa atau gangguan mental. Sejajar dengan kepesatan teknologi, bidang ini mula mendapat perhatian dalam industri dan organisasi apabila menyedari bahawa bidang tersebut memberikan faedah yang besar kepada perkembangan perniagaan. Pada tahun 2014, Biro Statistik Buruh menyenaraikan psikologi organisasi-industri sebagai bidang pekerjaan yang paling pesat berkembang di Amerika Syarikat. Dari tahun 2019 hingga tahun 2029, dianggarkan bahawa pekerjaan dalam bidang itu akan meningkat sebanyak 2.5 peratus.
Kebanyakan syarikat besar dan bernilai tinggi mengetahui bidang psikologi organisasi-industri dan sering mengadakan kerjasama dengan ahli psikologi dalam bidang tersebut. Syarikat yang menggunakan ahli psikologi organisasi-industri memahami nilai yang diberikan oleh mereka kepada organisasi. Kesannya, mereka yang bekerja dalam bidang ini umumnya dibayar dengan baik. Hingga tahun 2019, gaji median ialah USD92,880 (sekitar RM 426,000). Gaji yang agak tinggi ini berkemungkinan besar akan menarik lebih ramai orang ke bidang ini, sekali gus menjadikan prospek kerjaya pilihan masa akan datang.
Persoalannya, bagaimanakah dan mengapakah bidang kerjaya ini berkembang? Ramai orang yang mungkin tidak melihat atau memahami tentang keperluan ahli psikologi organisasi-industri di tempat kerja. Secara lazimnya, mereka kurang dilengkapi dengan pengetahuan tentang cara menangani sesuatu permasalahan atau menggunakan pendekatan psikologi bagi memahami sesuatu isu yang timbul, khususnya yang berkaitan dengan tingkah laku dan komitmen tenaga kerja. Walaupun kadangkala mereka berjaya menyelesaikannya, tetapi langkah yang diambil itu adalah berdasarkan kepada pengalaman lepas setelah berhadapan dengan masalah yang sama. Pada hakikatnya, masalah itu terus berulang kerana punca masalah belum dapat diselesaikan.
Ahli psikologi industri-organisasi sebaliknya telah mengikuti latihan intensif selama beberapa tahun. Kebanyakannya mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang tersebut setelah mengikuti pengajian di kolej atau universiti, selain mengkhusus dalam bidang industri-organisasi pada peringkat lepasan ijazah. Berbekalkan pengetahuan tersebut, mereka mempunyai keupayaan untuk menterjemahkan pengamatan tingkah laku manusia ke dalam bentuk yang boleh diukur atau dikaji pola dan strukturnya lalu membuat analisis, mencari punca masalah dan memberi cadangan agar penambahbaikan dapat dilakukan dengan segera.
Ahli psikologi industri-organisasi selaku orang luar boleh memberikan cadangan yang tepat dengan merangka strategi yang berkesan kerana mereka melihat organisasi dari perspektif yang lebih luas, bukannya tertumpu kepada satu-satu unit atau skop kerja. Di samping itu, mereka dapat memasukkan elemen pembaharuan bagi menyelesaikan sesuatu isu di tempat kerja.
Kadangkala, ahli psikologi ini diambil bekerja di bahagian sumber manusia dalam sesebuah syarikat, khususnya syarikat yang besar. Mereka dipertanggungjawabkan untuk menjadi perunding bebas untuk menyelesaikan masalah. Misalnya, ahli psikologi organisasi-industri ini menyusun strategi untuk membantu organisasi mengembalikan perniagaan mereka ke landasan yang betul.
Setiap pemilik perniagaan atau pengusaha mengetahui bahawa sekiranya dinamik organisasi tidak berfungsi, maka semangat pekerja akan menjadi rendah dan keadaan ini akan mempengaruhi kadar pusing ganti (peratusan pekerja yang meninggalkan organisasi) yang tinggi sehingga membawa kepada kehilangan keuntungan dari semasa ke semasa. Dengan menggunakan khidmat ahli psikologi organisasi-industri, dinamik organisasi dapat dianalisis dan ditambah baik. Cadangan yang dikemukakan dan elemen pembaharuan yang dimasukkan sedikit sebanyak membantu memulihkan tumpuan pekerja. Apabila pekerja menjadi lebih gembira, maka keadaan tersebut memberikan kesan positif kepada produktiviti organisasi. Hasilnya perniagaan akan kembali merekodkan keuntungan dan pekerja akan lebih lama bertahan di organisasi tersebut.
Secara tradisional, sesebuah organisasi akan memanfaatkan jabatan sumber manusia untuk mengadakan temu duga bagi tujuan pengambilan tenaga kerja baharu, menentukan spesifikasi tugas dan melatih tenaga kerja baharu mengikut spesifikasi tugas yang ditetapkan. Sebaliknya, dengan menggunakan khidmat ahli psikologi organisasi-industri, teori dan prinsip psikologi dapat diaplikasikan dalam persekitaran tempat kerja. Pemerhatian dan penilaian tingkah laku dan interaksi manusia di tempat kerja akan dilakukan dan dari situ, panduan dan cadangan untuk meningkatkan kecekapan manusia akan dipanjangkan kepada pihak pengurusan atasan. Dalam erti kata lain, organisasi bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti, malah menjimatkan perbelanjaan kerana tidak perlu mengambil tenaga kerja yang baharu.
Dalam psikologi organisasi-industri, setiap individu, kumpulan, unit atau jabatan termasuklah keseluruhan organisasi dalam persekitaran kerja diamati dan dinilai. Strategi untuk memperbaik struktur organisasi dan komunikasi manusia akan disyorkan berdasarkan kepada prinsip psikologi, antaranya termasuklah mencipta persekitaran kerja yang sihat; meningkatkan kepuasan pekerja; membangunkan latihan pekerja yang berdasarkan kepada prinsip pertama dan kedua. Prinsip inilah apabila dilaksanakan kelak akan meningkatkan produktiviti pekerja dan pengeluaran bahan mentah yang seterusnya memberi kesan kepada penjanaan keuntungan oleh organisasi.
Selain itu, dengan adanya kajian terhadap pengurusan prestasi, maka individu dan organisasi dapat merealisasikan objektif yang telah ditetapkan oleh pengurusan atasan. Kajian tentang bahagian ini menjadi semakin penting dan diberi penekanan kerana manusia merupakan komponen utama dalam sesebuah organisasi yang menjadi pencetus, penggerak, perancang dan pelaksana kepada setiap aktiviti atau kegiatan yang berlaku dalam organisasi tersebut. Apabila terlaksananya pengurusan prestasi secara sistematik, maka kebolehan diri dan kemampuan melaksanakan tugas akan dapat diukur dan dinilai secara berkala. Matlamat utamanya adalah bukan untuk mencari kesalahan individu atau sesuatu unit atau kumpulan manusia, sebaliknya mengenal pasti punca masalah dan memberikan cadangan penambahbaikan agar tindakan pemulihan atau pembetulan dapat dilakukan dengan segera.
Persekitaran kerja yang sihat menjadi agenda utama dalam organisasi yang menerapkan prinsip psikologi organisasi-industri. Hal ini demikian kerana dengan wujudnya persekitaran kerja yang sihat maka kecekapan manusia dan organisasi dapat dioptimumkan. Faedah utamanya termasuklah kerjasama di tempat kerja menjadi semakin baik,sekali gus mempengaruhi tahap kepuasan kerja sehingga dapat memacu organisasi mencapai sasaran yang telah dirangka oleh pengurusan atasan.
Dalam konteks psikologi, persekitaran kerja yang baik turut merangkumi setiap aspek pengurusan manusia dan interaksi antara manusia di tempat kerja. Dengan demikian, pengamatan dan penilaian yang dilakukan terhadap organisasi tidak hanya tertumpu kepada proses, sistem, struktur atau keadaan di tempat kerja yang memberikan impak kepada produktiviti tenaga kerja, tetapi juga kepada dasar-dasar, peraturan, budaya, sumber, hubungan kerja, lokasi tempat bertugas dan faktor dalaman dan luaran persekitaran kerja yang mempengaruhi cara pekerja itu menjalankan tugas masing-masing. Sebagai contoh, hal ini dapat dilihat menerusi faktor dalaman dan faktor luaran yang mempengaruhi rutin pekerja dalam melaksanakan sesuatu tugasan adalah seperti sokongan penyelia, hubungan dengan pekerja yang lain, latihan dan pembangunan yang telah dijalani atau disertai, insentif dan pelan pengiktirafan yang disediakan dan beban kerja yang telah ditentukan oleh organisasi.
Secara asasnya, perkara yang diamati dan dinilai menurut perspektif psikologi adalah berhubungan dengan tingkah laku manusia dan kaitannya dengan prestasi dan produktiviti. Disebabkan prestasi dan produktiviti berada dalam lingkungan pola dan struktur organisasi, maka tingkah laku manusia secara tidak langsung turut dipengaruhi dengan tempat kerjanya iaitu pejabat. Kenyataan ini rasional memandangkan kebanyakan pekerja menghabiskan banyak masa berada di pejabat. Justeru, pejabat dianggap sebagai rumah kedua kerana bukan sahaja menjadi lokasi untuk kerja-kerja menyiapkan tugasan, malah turut berperanan besar menjadi medium interaksi atau tempat pekerja bersosial dengan rakan sekerja yang lain. Maka, dapatlah dikatakan bahawa pejabat yang baik juga merujuk pada kesesuaian ruang kerja yang boleh mencetuskan inspirasi dan motivasi kepada pekerja.
Justeru dapatlah dikatakan bahawa persekitaran kerja sangat mempengaruhi kesejahteraan, prestasi pekerja dan produktiviti keseluruhan organisasi. Persekitaran kerja yang baik menghadirkan interaksi kerja dan dialog sosial yang sihat, mengurangkan kadar kesilapan dan pada masa yang sama meninggikan tahap inovasi dan kreativiti, menggalakkan rasa kebersamaan dan mengurangkan kadar ketidakhadiran, mendorong semangat untuk bekerjasama dan menyeimbangkan antara kerja dan kehidupan. Dengan adanya hubungan baik antara pekerja maka tahap kecekapan organisasi akan meningkat dan faktor ini memainkan peranan penting menyumbang pertumbuhan output.
Sebagai kesimpulan, psikologi organisasi-industri sangat penting bagi memastikan sesebuah organisasi mampu dan terus berdaya saing untuk memacu pertumbuhan industri. Faedahnya bukan sahaja dapat dilihat menerusi pengaturan dan pembangunan sumber manusia yang tepat dan sistematik, malah turut membantu organisasi membina persekitaran kerja yang baik dengan membangunkan polisi atau prosedur yang memberikan penekanan kepada aspek kesejahteraan dari sudut emosi mahupun jasmani. Di samping itu, hal ini juga dapat mengenal pasti faktor-faktor yang menjadi halangan kepada produktiviti dan kecekapan; dan sebagai balasan, rancangan untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut dapat dibentangkan dengan cepat agar tindakan pemulihan dapat dilakukan segera bagi membolehkan organisasi kembali bersaing di laluan yang betul.