Oleh Jeniri Amir
19 November 2023, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa 19 November ini ialah Hari Tandas Sedunia. Penulis sering bertanya, mengapakah masih ada tandas sekolah dan tandas awam yang bukan saja kotor tetapi amat menjijikkan dan memualkan? Penulis sendiri pernah menjadi “mangsa” tandas yang kotor dan berbau busuk.

Mengapakah masih ada manusia pada abad ke-21 ini bagai tidak tahu caranya menggunakan tandas? Ya, walaupun selepas selama belasan tahun mereka didedahkan dengan segala macam nilai murni dan dididik di sekolah dan di rumah. Anehnya, mereka ini pandai menjaga tandas di rumah tetapi mempunyai sikap yang bertentangan apabila menggunakan tandas awam. Tidakkah mereka ini berasa malu dengan tindakan mereka itu yang misalnya membiarkan benda yang dikeluarkan untuk dilihat oleh pengguna seterusnya?

Pengguna tandas harus hormat akan pengguna seterusnya kerana kita semua mahu tandas yang bersih, kering dan wangi. Tidak ada pengguna tandas yang mahu melihat tandas yang kotor, berbau dan memualkan. Kebersihan tandas dan penggunaan tandas yang betul merupakan soal maruah paling asas. Perkara ini juga merupakan soal kebersihan asas yang sepatutnya sudah dikuasai dan disemai sejak usia kanak-kanak lagi. Memang ada sesuatu yang tidak kena dengan seseorang dan rakyat negara kita jika masih ada yang tidak tahu menggunakan tandas dengan betul.

Siapa yang mahu menggunakan tandas yang berada dalam keadaan yang tidak sesuai untuk digunakan? Kita mahu melepaskan hajat dalam keadaan yang selesa. Justeru, kita perlu sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk menjadi pengguna tandas yang menghormati hak orang lain selepas kita menggunakannya. Misalnya, dengan memastikan tandas dipam selepas digunakan. Kita perlu tahu etika dan cara menggunakan tandas.

Sementara itu, pihak yang diamanahkan untuk menjaga tandas  perlu memastikan keadaan tandas sentiasa dalam keadaan baik. Penyelenggaraannya perlu selalu dilakukan dan jika berlaku kerosakan, hendaklah segera dibaiki. Itulah sebabnya  projek pembaikan tandas di 8354 sekolah  di negara ini pada tahun ini dianggap satu langkah yang tepat. Seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Belanjawan 2024, RM150 juta disediakan untuk menyelenggarakan dan membaiki tandas awam di 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Hakikatnya, kita tidak harus membiarkan anak-anak mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas yang rosak, daif dan uzur. Kita juga tidak harus membiarkan orang awam menggunakan tandas yang tidak mencapai piawaian yang munasabah.

Sebagai pengguna, kita juga wajar memainkan peranan ke arah budaya  penggunaan tandas yang betul. Kita tidak harus hanya pandai merungut jika tandas awam kotor sedangkan kita juga ialah pengguna tandas yang pengotor.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, baru-baru ini mengumumkan penganjuran Anugerah Toilet of The Year 2023 buat julung kalinya. Penganjuran anugerah ini bertujuan untuk memastikan tandas awam di negara ini bertaraf “Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) selain untuk menaikkan imej Malaysia khususnya dalam kalangan pelancong asing. Inisiatif tersebut adalah sebagai langkah persiapan bagi Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2025.

Tidakkah kita berasa malu dengan diri sendiri dan orang asing apabila keadaan tandas kita begitu kotor dan tidak sesuai digunakan? Kita perlu menjadi pengguna tandas yang mengamalkan tabiat yang baik, sesuai dengan ajaran agama masing-masing dan pendidikan di sekolah. Pastinya kita tidak mahu imej negara tercalar apabila orang luar mempunyai tanggapan negatif bahawa rakyat Malaysia pengotor dan tidak pandai menjaga tandas. Rata-rata kita sudah menerima pendidikan formal sekurang-kurangnya sehingga sekolah menengah. Kita bukanlah bangsa yang tidak bertamadun atau tidak berpendidikan.

 

Mengubah Persepsi

Persepsi masyarakat terhadap kebersihan tandas awam di negara ini  perlu lebih positif dan tanggapan sedemikian hanya dapat dibentuk jika tandas kita benar-benar bersih. Bagaimanakah caranya?

  • Pertama, kita perlu memelihara dan menyelenggara tandas dengan sebaik mungkin.
  • Kedua, kita perlu pandai menggunakan tandas dengan melakukan perkara yang sepatutnya selepas menggunakannya.
  • Ketiga, kita perlu berasa malu pada diri sendiri jika kita menjadi pengguna tandas yang pengotor dan tidak menghormati hak pengguna lain.
  • Keempat, kita perlu mewujudkan tandas yang menarik, kreatif dan selesa digunakan.
  • Kelima, kita perlu menyediakan jumlah tandas awam yang mencukupi terutama di bandar besar. Perdana Menteri India,  Narendra Modi pernah membina 850 ribu tandas di Bihar, India dalam masa seminggu sahaja, iaitu jika dihitung puratanya, sebanyak 1.5 tandas dibina dalam satu saat. Hebat, bukan?

Penulis pernah melihat tandas yang begitu menarik di sebuah pusat beli-belah ternama di Bandung, Indonesia, iaitu di Paris Van Java. Mereka yang pernah menggunakan tandas di situ pasti kagum dengan keunikan dan kecantikannya. Begitu juga dengan mereka yang pernah menggunakan tandas di Jepun, pasti terpesona dengan disiplin rakyat Jepun menggunakan tandas sehingga tandas mereka begitu bersih dan terpelihara. Pasaran industri peralatan tandas secara global bernilai RM80 bilion dan dijangka meningkat sebanyak 7.6 peratus pada setiap tahun.

Hari Tandas Sedunia

Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan 19 November sebagai Hari Tandas Sedunia. Hari Tandas Sedunia ialah satu inisiatif untuk memaklumkan, melibatkan diri dan yang paling penting memberikan inspirasi kepada rakyat untuk mengambil tindakan dalam menangani kemelut sanitasi global.

Pengasas Hari Tandas Sedunia ialah Jack Sim yang lahir pada tahun 1957 di Singapura dan membesar pada era negara republik itu masih mundur dengan tahap kesihatan yang rendah akibat penggunaan tandas curah atau tandas kering. Berdasarkan pengalaman perit membesar tanpa kemudahan tandas, Jack menubuhkan Pertubuhan Tandas Dunia (WTO) pada 2001. Beliau menerima pengiktirafan Kerajaan Singapura pada 2001 dan PBB pada 2013. Jack wajar dinobatkan sebagai penerima Hadiah Nobel untuk urusan sanitasi.

Bekas ahli perniagaan itu mencipta nama di pentas dunia pada 2013 apabila Perhimpunan Agung PBB bersetuju menerima pakai resolusi mengisytiharkan 19 November sebagai Hari Tandas Sedunia, selepas beliau mencadangkannya kepada Kementerian Ehwal Luar Singapura.

PBB mendedahkan bahawa 4.2 bilion penduduk dunia hidup tanpa kemudahan tandas asas; 637 juta orang terpaksa melakukan “qada hajat” tanpa tandas, sementara tiga bilion orang pula tiada kemudahan asas mencuci tangan. Penyediaan tandas dapat menyelamatkan kehidupan lebih daripada 200 ribu kanak-kanak pada setiap tahun.

Keadaan ini menimbulkan krisis sanitasi yang menjadi punca penularan penyakit berjangkit dengan penyebaran kuman melalui bekalan air dan rantaian makanan. Pada setiap tahun, terdapat hampir setengah juta kematian akibat penyakit cirit-birit.

Kita perlu meningkatkan pengurusan kebersihan dan keselesaan  tandas yang sebelum ini kurang memuaskan kepada yang bertaraf BMW. Oleh hal yang demikian, saranan Perdana Menteri agar anak-anak dididik untuk membersihkan tandas di sekolah sendiri ialah cara yang munasabah untuk mengajar dan mendisiplinkan mereka tentang penjagaan kebersihan tandas.

Menurut beliau, kebanyakan tandas yang merupakan kemudahan khas bagi warga sekolah di negara ini tidak terjaga dan diselenggara dengan sebaiknya. Kita perlulah mengakui bahawa terdapat segelintir pelajar yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika dalam penggunaan tandas dengan melakukan vandalisme dan merosakkan kelengkapan yang disediakan. Walaupun terdapat ibu bapa yang tidak bersetuju apabila pihak sekolah menetapkan giliran untuk mencuci tandas, namun perkara tersebut juga bertujuan untuk mendidik murid tentang kebersihan dan menghormati orang lain termasuk pencuci tandas.

Kita tentu mahu melihat tandas awam  dalam keadaan BMW dan bertaraf dunia. Segala-galanya bermula dengan kita. Kitalah yang menjadi penentu. Kita tidak harus menyerahkannya kepada pihak berkuasa tempatan atau pemilik premis semata-mata. Tanggungjawab menjaga kebersihan tandas turut terletak di bahu kita semua.

 

Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felo Kanan Majlis Profesor Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.