Oleh Safinah Saupi
22 November 2023, 12:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banyak syarikat yang melaksanakan tanggungjawab sosial, termasuk koperasi dan kesatuan kredit yang giat melaksanakan program Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) untuk mewujudkan kesan positif dalam kalangan masyarakat. Amalan ESG bukanlah sesuatu yang baharu dalam syarikat korporat, malahan konsep ESG mula muncul pada tahun 2005 melalui inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Hasilnya, amalan ESG berkembang positif walaupun tidak ada satu pensijilan tunggal menarafkan bahawa syarikat itu 100 peratus mematuhi ESG.

Amalan ESG kini, diberi lebih penekanan oleh Syarikat Senarai Awam (SSA) di Bursa Kuala Lumpur. Keadaan ini disebabkan pihak berkepentingan seperti kerajaan, pengguna, pemegang saham, pelabur dan orang ramai mahukan dasar syarikat yang lebih telus dan kukuh terhadap alam sekitar dan kesejahteraan sosial. Misalnya, pelabur yang sedang mencari peluang keuntungan mendapat manfaat risiko lebih rendah daripada syarikat yang memperuntukkan pelaburan besar untuk alam sekitar dan sosial. Pelabur beretika yang berminat untuk menyumbang kepada impak sosial dalam masa sama mendapat keuntungan juga akan tertarik dengan kestabilan pelaburan ESG.

Komponen ESG.

Oleh sebab itu, mematuhi dan menyepadukan ESG ke dalam amalan perniagaan untuk meningkatkan daya saing dan untuk memberikan kesan positif kepada dunia sekeliling menjadi satu keperluan masa kini, khususnya jika sesuatu syarikat ingin membawa produk ke pasaran luar negara demi ekonomi yang mampan. Selain itu, kehilangan biodiversiti, pencemaran, kesan negatif kepada kesihatan dan alam sekitar, serta ketidakadilan sosial yang menjadi metrik perniagaan arus perdana menyebabkan amalan ESG dalam perniagaan menjadi satu piawaian penting dalam kalangan pelabur dan pemberi pinjaman kepada pengeluar, perusahaan, syarikat, koperasi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya selepas penularan COVID-19, pada tahun 2020.

Perkara ini dapat dilihat dengan peningkatan dana ESG pada peringkat antarabangsa selepas krisis kewangan pada tahun 2008 hingga 2009 dan lebih ketara lagi semasa pandemik COVID-19. Pandemik dan ditambah pula dengan ancaman perubahan iklim yang semakin kritikal, memberikan kesan terhadap sistem ekonomi global menyebabkan kerajaan dan perniagaan menerapkan perancangan perniagaan yang lebih progresif. Pada masa ini, Malaysia merupakan pasaran kewangan hijau keempat terbesar dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura, Indonesia dan Filipina. Secara keseluruhannya, pasaran negara meningkat kepada USD1.3 bilion pada tahun 2019 (The Malaysian Reserve, 2021).

 

Penarafan ESG

Penarafan ESG merupakan satu set standard bagi pihak berkepentingan yang mempunyai kesedaran sosial mengenal pasti pelaburan berpotensi. Kriteria ESG mengukur komitmen syarikat dan koperasi terhadap isu berkaitan dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Sebagai contoh, kriteria alam sekitar mempertimbangkan bagaimana syarikat dan koperasi melaksanakan peranan dalam pemeliharaan alam sekitar yang berkaitan dengan pelepasan karbon, penggunaan air, pencemaran air, sisa, sumber boleh baharu dan tidak boleh baharu. Kriteria sosial mengkaji bagaimana firma menguruskan hubungan dengan pekerja, pembekal, pelanggan dan komuniti.

Perkara ini juga berkait dengan kepelbagaian di tempat kerja, kesihatan dan keselamatan, mogok pekerja, buruh kanak-kanak dan kebajikan pekerja. Kriteria tadbir urus pula merangkumi falsafah kepimpinan dan pengurusan syarikat, polisi, kepelbagaian lembaga pengarah, usaha memerangi rasuah, hak pemegang saham dan pengurusan lembaga pengarah. Pelabur akan mengguna pakai kriteria ESG dalam penilaian isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang tidak dapat diukur melalui analisis kewangan konvensional.

Dalam hal ini, United Nations Global Compact telah memperkenalkan ESG untuk Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab (PRI). Berdasarkan laporan Morningstar, pelaburan lestari semakin relevan berikutan krisis iklim dan kritikan yang semakin meningkat daripada pemegang saham utama syarikat atau koperasi. Walau bagaimanapun, istilah ESG berbeza mengikut industri, syarikat dan model perniagaan memandangkan tiada klasifikasi universal untuk ESG.

Koperasi misalnya merupakan satu jenis atau model perniagaan yang tidak hanya mementingkan keuntungan tetapi dalam masa yang sama turut mengambil berat tentang masyarakat dan planet ini dengan cara menjaga alam sekitar, menetapkan matlamat pelepasan sifar bersih karbon, serta beberapa matlamat pengurangan sisa dan penggunaan tenaga mesra alam. Mengambil berat tentang masyarakat bermakna koperasi memperkasakan pekerja, melayani pengguna dengan baik dan membantu komuniti melalui perkongsian, sumbangan dan derma. Mempunyai sistem tadbir urus yang kukuh bermakna koperasi ditadbir oleh Lembaga Koperasi melalui struktur tadbir urus yang baik, telus, ke hadapan dan penyertaan meluas anggota-anggota.

Hal ini bermakna koperasi membangunkan strategi untuk mencapai matlamat yang selaras dengan ESG dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui penyertaan yang meluas pada peringkat antarabangsa dan nasional. Koperasi mempertimbangkan dan memastikan bagaimana operasi perniagaan mempengaruhi persekitaran semula jadi, pekerja dan yang lebih luas komuniti mereka. Pelanggan dan pelabur membuat keputusan berdasarkan faktor ini. Melalui penerapan amalan ESG, koperasi akan meningkatkan prospek pelaburan, melaksanakan perubahan dan mempercepat proses pemulihan dan seterusnya meningkatkan daya tahan korporat koperasi.

Contoh penarafan ESG.

Kesan Penarafan ESG

Produk yang sering dikaitkan dengan pelaburan hijau mendapat penilaian positif dan mendapat skor ESG yang lebih tinggi, manakala produk memperoleh penilaian negatif apabila terlibat dengan industri alkohol, tembakau, senjata api dan perjudian serta melakukan pelanggaran hak asasi manusia, buruh dan ketidakpatuhan piawaian alam sekitar seperti yang digariskan oleh United Nations Global Compact Principles. Sekiranya syarikat mendapat penarafan yang rendah, saham syarikat boleh dianggap sebagai aset tidak mampan dan dikecualikan daripada portfolio pelabur. Jika ramai pelabur menggunakan kriteria penarafan ini, maka harga saham syarikat berkenaan akan menerima kesan negatif.

Perniagaan yang mengamalkan ESG boleh mendapat empat manfaat utama. Pertama, ESG membantu syarikat dan koperasi meningkatkan atau mengekalkan reputasi korporat dengan menyampaikan isu berkaitan dengan ESG kepada pelabur, pelanggan dan pihak berkepentingan. Langkah ini akan meningkatkan kesedaran dan mewujudkan peluang perniagaan untuk koperasi dalam perubahan lanskap ekonomi, sosial dan alam sekitar. Tambahan pula, ESG dapat meningkatkan kemampuan syarikat dan koperasi beroperasi serta menyesuaikan keadaan dengan lebih mudah bagi membantu firma mencapai objektif perniagaan dan bertindak balas terhadap krisis. Kedua, ESG membantu firma mengenal pasti risiko jangka masa pendek dan jangka masa panjang seperti kekurangan bahan mentah dan tenaga kerja. Ketiga, ESG menggalakkan firma untuk mewujudkan peluang perniagaan melalui peningkatan inovasi. Sebagai contoh, firma berkemungkinan perlu membangunkan produk atau perkhidmatan baharu untuk memenuhi kehendak pasaran bagi menangani isu ESG. Keempat, penerapan kriteria ESG dalam penilaian tenaga kerja akan memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai isu pengambilan dan pengekalan pekerja.

Justeru, amatlah penting untuk pengeluar, perusahaan, syarikat, koperasi dan PKS menerapkan amalan ESG dalam perniagaan dan menilai kesannya serta melaporkan kepada pemilik perniagaan dan pihak berkepentingan dengan cara yang jelas dan konsisten.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.