21 Disember 2023, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu dan masalah kesihatan mental menjadi satu daripada topik utama yang sering dibincangkan oleh pelbagai pihak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kaedah rawatannya. Dengan peningkatan tekanan dan perubahan gaya hidup, banyak individu yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan stres.

Berdasarkan laporan Stastik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, kira-kira setengah juta atau 2.3 peratus orang dewasa di Malaysia menghadapi masalah kemurungan. Peningkatan kes-kes melibatkan kesihatan mental menjadikan penyakit ini sebagai penyakit kedua terbesar rakyat Malaysia selepas penyakit jantung. Keadaan ini membimbangkan negara kerana masalah kemurungan bukan hanya melibatkan perubahan emosi dan tingkah laku, malah boleh menyumbang kepada penyakit-penyakit kronik yang lain seperti jantung, diabetes dan kanser.

Seperti yang kita sedia maklum, kesihatan mental, keimanan dan stigma masyarakat merupakan tiga aspek penting dalam kehidupan individu. Meskipun mempunyai ciri dan karakter yang berbeza, namun ketiga-tiga elemen ini saling berkait dalam konteks kesejahteraan individu. Kesihatan mental merujuk keadaan emosi, psikologi dan sosial seseorang. Kesihatan mental sering dikaitkan dengan keupayaan seseorang menguruskan emosi, menjalani, menghargai dan menikmati hidup dalam cara yang positif, produktif dan seimbang. Seseorang dengan kesihatan mental yang baik mampu menangani tekanan hidup, bekerja secara produktif dan memberikan sumbangan kepada komunitinya. Manakala bagi individu yang mempunyai kesihatan mental yang buruk, tekanan emosi yang dihadapi oleh mereka cenderung mengakibatkan mereka mengalami kemurungan.

Keimanan pula merujuk keyakinan individu terhadap sesuatu yang lebih besar dan kuat dalam diri sendiri. Kedua-dua elemen ini saling mempengaruhi antara satu sama lain. Keimanan yang kuat dapat memberikan sokongan emosi dan ketenangan fikiran serta menjaga kesihatan mental. Kesihatan mental yang baik juga dapat memperkuat keimanan individu dengan memberikan ketenangan dan keseimbangan dalam menjalani kehidupan.

Namun begitu, stigma yang melekat pada permasalahan ini sering menjadi penghalang kepada individu yang memerlukan bantuan. Stigma masyarakat terhadap individu yang mempunyai masalah kesihatan mental adalah persepsi yang negatif dan stereotaip. Perkara ini menyebabkan timbulnya diskriminasi, perlakuan tidak adil dan kesukaran untuk mendapatkan sokongan. Oleh itu, kebanyakan individu yang mengalami masalah kesihatan mental tidak berani untuk mencari bantuan kerana mereka takut akan diketepikan atau dihakimi oleh masyarakat. Hal inilah yang menyebabkan mereka memilih untuk memendam masalah sendirian.

Stigma yang mengatakan bahawa individu yang menghadapi masalah kesihatan mental disebabkan oleh kelemahan iman adalah persepsi yang salah dan tidak berasas. Masalah kesihatan mental merupakan keadaan yang kompleks dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor, antaranya termasuklah biologi, genetik, persekitaran, stres, trauma dan ketidakseimbangan kimia pada bahagian otak. Masalah kesihatan mental yang dihadapi oleh seseorang tidak menunjukkan kelemahan iman atau ketidakpercayaan mereka terhadap agama. Keadaan ini bukanlah satu bentuk hukuman atau kegagalan rohani. Sebaliknya, merupakan penyakit yang memerlukan sokongan, pemahaman dan rawatan yang sesuai.

Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan stigma masyarakat terhadap masalah kesihatan mental adalah dengan mengadakan kempen kesedaran mengenai masalah kesihatan mental. Masyarakat perlu dididik dengan maklumat berkaitan dengan masalah kesihatan mental dan bagaimanakah keadaan ini boleh mempengaruhi seseorang? Hal ini termasuklah memahami bahawa masalah kesihatan mental bukanlah tanda kelemahan iman seseorang, sebaliknya merupakan masalah kesihatan yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kempen kesedaran yang berfokuskan kepada gejala, penyebab dan cara untuk mengawal emosi pesakit mental dapat dilakukan melalui pelbagai kaedah, antaranya termasuklah media sosial, seminar dan acara komuniti. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat dapat memahami bahawa masalah kesihatan mental bukanlah sesuatu perkara yang harus ditakuti oleh masyarakat dan dianggap sebagai kelemahan.

Selain itu, satu daripada usaha untuk membuka mata masyarakat terhadap masalah kesihatan mental adalah dengan menggambarkan masalah kesihatan secara seimbang. Dalam hal ini, pihak media memainkan peranan penting untuk membentuk persepsi masyarakat dengan menggambarkan masalah kesihatan mental secara tepat dan seimbang agar dapat menghindari stereotaip negatif atau memburukkan lagi stigma yang sedia ada. Hal ini demikian kerana, kebanyakan masyarakat pada hari ini dapat mengakses Internet untuk mendapatkan maklumat dengan mudah, cepat dan pantas. Oleh itu, pihak media perlu menapis segala maklumat sebelum memuat naik sesuatu berita.

Langkah seterusnya adalah dengan mendorong masyarakat membicarakan masalah kesihatan mental secara terbuka. Masyarakat perlu didorong untuk membicarakan masalah kesihatan mental secara terbuka dan tanpa rasa malu. Dengan menciptakan ruang yang aman dan mendukung, individu yang mengalami masalah kesihatan mental akan berasa lebih aman dan selamat untuk mendapatkan bantuan dan sokongan. Dalam menanggapi masalah ini, tokoh masyarakat yang berpengaruh juga mempunyai peranan untuk menghakis stigma ini. Mereka boleh menggunakan medium yang dimiliki untuk menyebarkan pesanan positif, berkongsi pengalaman atau membantu individu yang menghadapi masalah kesihatan mental agar mereka tidak berasa keseorangan.

Kesimpulannya, untuk mengatasi stigma masyarakat terhadap masalah kesihatan mental, aspek keimanan, kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap permasalahan ini harus dipertingkat. Setiap masyarakat perlu mempunyai sikap empati yang tinggi terhadap individu yang mempunyai masalah kesihatan mental agar kita dapat hidup dengan aman, harmoni dan sejahtera.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.