Oleh Itmi'nan Irwan
21 Disember 2023, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkembangan informasi dan teknologi digital pada hari telah menjadi keperluan dalam kehidupan masyarakat terutamanya kepada golongan mahasiswa. Seiring peredaran zaman, banyak teknologi dan aplikasi baharu yang diperkenalkan untuk memudahkan masyarakat, contohnya penggunaan aplikasi media sosial. Aplikasi ini digunakan sebagai medium untuk berkomunikasi, berjual beli, menyebarkan maklumat pendidikan dan mencipta peluang pekerjaan. Selain itu, satu daripada aplikasi yang paling popular dalam kalangan remaja kini adalah TikTok. Aplikasi TikTok mula diiktiraf oleh kebanyakan pengguna media sosial sebagai sebuah pelantar hiburan yang menayangkan video imaginatif dan menyeronokkan dalam durasi yang pendek. TikTok juga diakui sebagai alat yang boleh meningkatkan intelektual pelajar melalui sokongannya terhadap pendidikan dan penyebaran maklumat.

 

Tidak dinafikan bahawa aplikasi TikTok telah membawa perspektif baharu kepada dunia pendidikan. Aplikasi Tiktok banyak digunakan oleh pengajar dan mahasiswa untuk mempelbagaikan kaedah penyampaian pendidikan. TikTok digunakan sebagai medium pengganti untuk menyampaikan informasi berkaitan dengan akademik dengan cara yang lebih menarik. Oleh itu, TikTok merupakan alat pengajaran yang berguna selain menjadi pelantar maklumat yang interaktif dan menyeronokkan. Keupayaan TikTok menyajikan maklumat secara ringkas dan padat dalam satu video menyebabkan kaedah ini mudah diingati oleh pelajar dan memberikan faedah kepada pengajar untuk meningkatkan mutu pendidikan. Disebabkan oleh sekatan tempoh masa dalam penghasilan video TikTok, pengguna mesti menyampaikan idea atau maklumat secara ringkas dan berkesan. Perkara ini menjadi cabaran kepada pencipta kandungan untuk menyampaikan maklumat penting secara ringkas dan menggalakkan kreativiti dalam pembentangan bahan pembelajaran.

 

Aplikasi TikTok turut menawarkan pelantar yang boleh mengekspresikan visual artistik. Mahasiswa boleh belajar dengan lebih berkesan dan menyeronokkan dengan bantuan gabungan audio-visual. Kedua-dua gabungan ini boleh digunakan oleh pengajar untuk menjadikan konteks pembelajaran lebih menarik dan mudah difahami oleh mahasiswa. Sehubungan dengan itu, pengajar harus mengambil bahagian secara aktif, sekiranya TikTok dapat mencungkil potensi dan meningkatkan intelektual mahasiswa. Guru mahupun pensyarah mesti mengambil peranan sebagai pencipta kandungan yang informatif, mampu menyampaikan maklumat dengan cara yang menarik tanpa menjejaskan kualiti pendidikan. Selain itu, turut mencipta video yang menggariskan idea-idea penting, memberikan tips pembelajaran, bahkan mengemukakan pertanyaan yang dapat merangsang pemikiran mahasiswa.

 

TikTok bukan sahaja alat pengajaran yang berguna tetapi juga menjadi sumber maklumat yang relevan untuk mahasiswa. Melalui pelantar ini, pelbagai pengetahuan, trend dan maklumat terkini boleh diakses dengan mudah. Mahasiswa boleh mengikuti perkembangan pembelajaran dengan mengikuti akaun yang menumpukan pada pembelajaran atau topik tertentu yang sedia ada. Tidak dinafikan bahawa TikTok juga berpotensi untuk mendatangkan bahaya atau risiko kepada penggunanya, sama seperti pelantar digital yang lain. Oleh  itu, pengguna aplikasi ini, khususnya mahasiswa, harus menggunakan pemikiran yang kritis dan kebijaksanaan sewaktu mengumpul dan mengaplikasi maklumat. Mahasiswa perlu menilai ketepatan maklumat, mengenal pasti sumber yang boleh dipercayai dan mengelakkan kandungan video yang berbahaya.

 

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir masyarakat yang terus mempercayai maklumat yang dipaparkan dalam media sosial tanpa memeriksa kebenaran kandungannya. Hal ini mungkin berlaku kerana mereka menganggap apa-apa yang dikongsikan oleh pempengaruh media sosial adalah tepat dan  mempunyai fakta. Namun begitu, mereka juga manusia yang boleh melakukan kesilapan, sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja. Selain itu, terdapat juga golongan yang tidak bermoral menyebarkan maklumat agama yang tidak sahih dan bertentangan dengan syarak Islam. Oleh itu, masyarakat harus terus berwaspada dalam meneliti sesuatu maklumat yang diambil dalam media sosial sebelum mempercayai dan mengamalkannya terutamanya dalam hal yang berkaitan dengan agama. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 6, bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

 

Oleh hal yang demikian, seseorang mahasiswa perlulah bijak menerima sumber maklumat dan memeriksa kebenarannya terlebih dahulu sebelum memanfaatkannya. Sekiranya tidak, maka akan berlakulah beberapa implikasi maklumat palsu terhadap peradaban agama kontemporari. Hal ini boleh melibatkan berlakunya kerosakan akidah, seterusnya merosakkan imej agama dan ibadah seseorang itu tidak diterima. Menerima ajaran daripada sumber yang tidak boleh dipercayai boleh membawa kepada variasi dalam cara ibadat dijalankan, perubahan dalam kepercayaan akidah seseorang, malah melanggar batasan agama seseorang. Tanggapan buruk terhadap agama juga boleh dibentuk melalui maklumat palsu, yang memperlihatkannya sebagai tidak rasional dan mengelirukan. Untuk  mengelakkan penyebaran maklumat yang mengelirukan dan menjaga kepercayaan dan pandangan masyarakat Islam di seluruh dunia, kerjasama antara semua kaum dan pemimpin diperlukan demi mencapai kesefahaman yang tepat dan sahih.

 

Kesimpulannya, perkembangan teknologi dan informasi pada hari ini merupakan sebahagian daripada evolusi untuk mempelbagaikan pendekatan pembelajaran. Pendidikan perlu kekal inovatif dan disesuaikan dengan teknologi baharu. Aplikasi TikTok menyediakan ruang baharu kepada mahasiswa untuk membangunkan pemahaman yang lebih imaginatif dan berguna bagi melestarikan dunia pendidikan. Mahasiswa boleh merasai kelebihan peningkatan kecerdasan dengan menggunakan TikTok secara bijak. Pelantar TikTok yang dahulunya dijadikan sebagai tempat hiburan ringan kepada remaja kini semakin berkembang menjadi sumber pendidikan yang berguna kepada penggunanya. Pengajar boleh melihat peningkatan pengetahuan dan pemahaman pelajar sekiranya mereka terus menghasilkan cara yang inovatif dengan menggunakan aplikasi TikTok dalam proses pendidikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.