Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPADA awalnya, suami Azlina Ahmad, 38 tahun, disahkan positif COVID-19 baru-baru ini. Kes tersebut bermula apabila lelaki itu melakukan ujian saringan kendiri akibat mengalami simptom batuk. Dua hari kemudian, virus berkenaan menular kepadanya pula. Kata Azlina, impak jangkitan pada kali ini tidak sama seperti sebelum ini.
“Tubuh badan saya terasa bisa dan sengal, selain batuk, selesema, demam panas dan sakit kepala bukan kepalang. Namun begitu, deria rasa saya masih lagi berfungsi. Jika dibuat perbandingan, gejala suami saya agak ringan. Dalam tempoh tiga hari, batuknya hilang dan demam juga sudah tiada. Saya pula yang menderita lebih kurang seminggu dan mungkin ada kena mengena dengan penyakit diabetes yang dialami sejak dahulu,” akuinya.
Situasi Azlina itu cuma secebis kisah daripada 20,696 kes COVID-19 yang dilaporkan di seluruh negara antara tempoh seminggu bermula 10 hingga 22 Disember lalu.
Perlu diketahui bahawa penangan virus dengan varian baharu yang masih belum dipastikan secara sahih puncanya itu bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut “membadai” Eropah, Amerika Syarikat (AS), Singapura, India, China, Indonesia, Australia, Kanada dan lain-lain negara.
Di AS, sub varian JN.1 dilihat amat serius hingga mendorong Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) memberi amaran tentang pertambahan pesakit. Kesan daripada itu, jumlah kemasukan ke hospital diramal akan meningkat, sekali gus menjejaskan kapasiti rumah sakit di sana.
Meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan bahawa tiada varian baharu dikesan setakat ini, tetapi beberapa orang pakar tempatan mempunyai pandangan mereka yang tersendiri. Seperti dilaporkan oleh media tempatan, rata-ratanya mengandaikan bahawa JN.1 yang berasal daripada varian Omicron bakal merebak secara pantas di negara ini ekoran kehadiran pelancong luar terutamanya dari AS dan Eropah serta negara jiran.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus ini telah membunuh hampir tujuh juta orang penduduk di seluruh dunia. Sejak permulaan pandemik pada penghujung tahun 2020, terdapat beberapa varian yang menonjol, iaitu Alpha, Beta, Delta dan Omicron. Gelombang Alpha, Beta dan Delta sudah pun berlalu, namun kini keluarga Omicron, iaitu “anak” (BA.2.86 atau Pirola, XBB.1.5, XBB.1.16 dan EG.5) dan diikuti oleh mutasi “cucunya” pula, iaitu(JN.1) kini sedang bermaharajalela.
BA.2.86 berasal daripada keturunan BA.2 dan merupakan sub varian Omicron yang mendominasi kes COVID-19 dua tahun lalu telah menampilkan lebih daripada 30 mutasi (berbanding dengan subvarian Omicron XBB.1.5).
Risiko Rendah ?
Menurut American Medical Association, sub varian JN.1 telah mula dikesan di Luxemborg, AS pada September lalu dan menyumbang sebanyak 21 peratus daripada kes baharu di negara tersebut.
Namun demikian, beberapa orang saintis global termasuklah Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, Dr. Mandy Cohen berpendapat bahawa JN.1 tidaklah terlalu agresif. Ujar beliau, setakat ini, belum wujud bukti yang menyatakan bahawa sub varian tersebut mencetuskan penyakit yang lebih teruk. Malah, ujian, vaksin dan rawatan sedia ada dijangka masih lagi berkesan.
Kenyataan itu selari dengan kajian terbaharu Dr. David Ho yang merupakan penyelidik dari Universiti Columbia, AS. Beliau mendapati bahawa vaksin COVID-19 semasa yang direka untuk meningkatkan keupayaan tubuh untuk melawan keluarga varian XBB juga menawarkan perlindungan yang baik terhadap BA.2.86 dan cabangnya termasuklah JN.1.
“Penemuan itu sangat menyokong saranan rasmi untuk menggunakan vaksin COVID-19 yang dikemas kini secara meluas untuk melindungi orang ramai,” katanya kepada CNN.
Persoalannya, sejauh manakah pertumbuhan eksponen JN.1 cepat merebak? Ujar Dr. David, walaupun risikonya tidak seteruk varian lain, namun negara yang berada dalam fasa musim sejuk, peningkatan jangkitan pernafasan dijangka berpotensi berlaku. Seperkara yang perlu diketahui oleh orang awam, JN.1 juga telah disenaraikan sebagai Varian Kepentingan (Variants of Interest) yang berasingan oleh WHO kerana penularannya yang cepat, tetapi risiko kesihatan awam masih kekal rendah. Jenis varian disenaraikan di bawah tiga kategori, iaitu Varian Kebimbangan (Variants of Concern),iaitu tahap tertinggi, Varian Kepentingan dan Varian di Bawah Pemantauan (Variants Under Monitoring).
Gejala Sama
Menyentuh mengenai simptom JN.1, Konsultan Kanan, Perubatan Dalaman, Hospital Max Gurugram, India, Dr. Rajneesh Srivastana berkata, secara am ciri-cirinya sama seperti varian dan sub varian COVID-19 yang lain. Antaranya termasuklah :
Pada kelazimannya, kata Dr. Rajneesh kepada Times Of India, gejala akan berkurangan dalam tempoh empat hingga lima hari. Selain itu, kongsi CDC, pesakit akan mengalami kabut otak (brain fog), iaitu suatu keadaan yang menyebabkan seseorang mengalami kesukaran untuk fokus terhadap sesuatu perkara yang dilakukan.
CDC turut memberikan peringatan jika terdapat simptom seperti sesak nafas atau kesukaran untuk bernafas serta menunjukkan tanda jangkitan yang dialami, pesakit harus dirujuk segera ke hospital.
“Jenis dan tahap keseriusan simptom sebenarnya lebih bergantung pada imuniti dan sejarah kesihatan setiap orang berbanding dengan varian yang menjangkiti mereka,” kata sumber itu lagi.
Secara umumnya, warga emas, kanak-kanak, wanita hamil, pesakit kronik atau komorbiditi (diabetes, sakit jantung, asma dan darah tinggi), pesakit imuniti rendah (pesakit kanser dan HIV) termasuklah yang menghidap penyakit auto imun (seperti lupus dan reumatik artritis), gejala mereka lebih parah apabila dijangkiti virus COVID-19.
Vaksin
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Singapura, kumpulan yang menerima dos terakhir vaksin kurang dari setahun berisiko rendah untuk mendapat penyakit teruk akibat penularan virus. Lebih daripada tempoh berkenaan, kebarangkaliannya berisiko kira-kira 1.6 kali ganda sehingga memerlukan kemasukan ke hospital. Hal ini bermakna, vaksin masih lagi menjadi tunjang paling signifikan dalam usaha menangani wabak berbahaya itu.
Pengarah Perubatan Dalaman, Hospital Max, Gurgaon, India berkata, Dr Shailesh Sahay menjelaskan kepada India Today, vaksinasi adalah penting untuk mengurangkan kesan COVID-19 termasuklah daripada virus JN.1. “Vaksinasi merupakan komponen penting dalam memerangi penyakit serius,” katanya. Dr. Shailash menambah, meskipun kajian berterusan dilaksanakan untuk melihat keberkesanan vaksin terhadap JN.1, dos penggalak dilihat boleh membantu meningkatkan perlindungan dengan tindak balas imun yang lebih baik.
Di Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bakal mengeluarkan arahan pengambilan dos penggalak ketiga vaksin dalam masa terdekat. Meskipun tiada arahan wajib, golongan rentan dan berisiko tinggi sangat digalakkan berbuat demikian. Bukan mereka sahaja, bagi golongan yang mungkin mempunyai penyakit ringan atau tidak bergejala masih berisiko untuk dijangkiti SARS-CoV-2.
Mungkin kes seumpama ini akan berpanjangan hingga berminggu-minggu, berbulan-bulan dan tidak mustahil memakan masa yang lebih lama. Malah, penyelidikan telah menunjukkan bahawa terdapat individu yang tidak memiliki penyakit kronik, tetapi simptom mereka hanya hilang selepas setahun, ujar CDC.
Pada masa yang sama, agensi itu dalam jurnal penulisannya turut memaklumkan bahawa rawatan COVID-19 yang tersedia pada masa ini masih lagi berkesan termasuklah rawatan antiviral oral COVID-19 seperti Paxlovid, molnupiravir (Lagevrio) dan remdesivir (Veklury). Namun demikian, CDC akan sentiasa mengemas kini pilihan rawatan kerana lebih banyak data tentang kesan JN.1 dan BA.2.86 perlu dikumpulkan.
Perkara yang penting sekarang, kita perlu sentiasa menitikberatkan langkah pencegahan seperti memakai topeng, penjarakan sosial dan sentiasa mencuci tangan. Jangan berlengah untuk mendapatkan dos penggalak sebaik-baik sahaja arahan dikeluarkan oleh pihak kementerian kelak. Benar vaksin tidak menyembuhkan jangkitan COVID-19 sepenuhnya, namun sekurang-kurangnya kita boleh mengurangkan risiko daripada mendapat jangkitan serius yang lebih berpanjangan.
Penulis, Wartawan Sinar Harian dan mantan Wartawan Kosmo.