28 Disember 2023, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Muhammad Nazirul Amin Bin Abdullah

Keputusan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi Programme for International Students Assessment (PISA) tahun 2022 menunjukkan Malaysia mengalami kemerosotan yang ketara berbanding dengan negara Asean yang lain seperti Singapura, Kemboja, Brunei dan Indonesia.

Ketiga-tiga stimulus pentaksiran, iaitu Sains, Matematik dan Kemahiran Membaca menunjukkan keputusan yang merudum dan memberikan kesan yang negatif kepada pembangunan sistem pendidikan negara. Sekiranya permasalahan ini tidak ditangani dengan segera, Malaysia mungkin berada di tangga tercorot dalam kalangan negara membangun yang lain. Malaysia perlu membangunkan acuan dan dasar pendidikan  sendiri kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dan memiliki pelbagai kaum yang terdiri daripada latar belakang yang berbeza. KPM perlu merangka strategi dan pelan pembangunan bagi mengatasi permasalahan ini agar tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Kemerosotan PISA turut memberikan kesan terhadap sistem pendidikan tinggi. Disebabkan oleh kesan pentaksiran yang lemah pada peringkat sekolah, pelajar mungkin kurang berminat untuk meneruskan pengajian pada peringkat universiti. Selain itu, keadaan ini juga mungkin memberikan kesan terhadap kemasukan pelajar ke universiti luar negara sekiranya kedudukan PISA bagi setiap negara diambil kira sebagai satu daripada syarat umum kemasukan.

Tidak dinafikan bahawa kemerosotan kedudukan PISA Malaysia merosot berbanding dengan tahun 2018 disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya termasuklah masalah keciciran pelajaran terutamanya semasa Pandemik COVID-19. Pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan secara dalam talian telah memungkinkan permasalahan ini berlaku kerana kurangnya kelengkapan peralatan dan sistem jaringan Internet yang lemah di kawasan pedalaman. Oleh itu, para pelajar tidak dapat menguasai pembelajaran dengan sebaik-baiknya. Hal ini memberikan tugas berat kepada para pendidik untuk membasmi keciciran pelajar selepas pasca COVID-19.

Faktor seterusnya adalah pemansuhan peperiksaan awam pada peringkat sekolah. Pemansuhan peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentadksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk memberikan ruang kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) turut memberikan kesan dinamik. Pemansuhan peperiksaan awam telah memberikan kesan terhadap penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) pelajar kerana pelajar tidak mampu melontarkan idea yang bernas, apabila pentaksiran yang dilaksanakan hanya berasaskan dalam bilik darjah. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hanya satu-satunya peperiksaan awam yang masih ada pada peringkat menengah untuk mengukur daya intelek dan potensi pelajar sebelum menamatkan zaman persekolahan atau melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Kesimpulannya, semua pihak perlu bertungkus lumus dan bekerjasama untuk meningkatkan sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi. Hal ini demikian kerana para pelajar merupakan  aset masa hadapan negara bagi mencapai objektif pembinaan negara bangsa MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri kesepuluh, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim dapat direalisasikan sepenuhnya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.