10 Januari 2024, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pemimpin merupakan individu yang mempunyai kebolehan untuk memimpin, membimbing, menginspirasi dan memotivasikan orang di sekeliling beliau untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Kepimpinan pula ialah keupayaan untuk mempengaruhi dan memotivasikan orang lain untuk mencapai matlamat bersama. Bagi menjelaskan asas model ciri personaliti kepimpinan ini, prinsip asas pemimpin dan ciri kepimpinan harus digariskan terlebih dahulu.

Selain ciri kepimpinan, seseorang pemimpin itu mestilah stabil dari sudut paksi kerjaya. Dalam konsep asas pemimpin yang berkerjaya, digambarkan bahawa kerjaya dapat mengukuhkan ciri kepimpinan individu. Sesebuah kerjaya itu akan melambangkan kelestarian diri disebabkan pemimpin yang berkerjaya diandaikan mempunyai prinsip yang teguh terhadap pelaksanaan tanggungjawab.

Prinsip Asas Kepimpinan

Prinsip utama kepimpinan boleh dicerakinkan berasaskan ciri-ciri yang diambil daripada model DISC, iaitu model personaliti yang terdiri daripada empat domain utama, iaitu Dominance, Influence, Steadiness dan Conscientiousness. Model ini telah dibangunkan oleh William Moulton Marston pada tahun 1928. Bagi tujuan persekitaran sosiobudaya Malaysia, konsep ini telah disesuaikan dengan Objektiviti, Inspirasi, Penyokong dan Reflektif. Objektiviti Domain (asalnya berkonsepkan Dominasi), menggambarkan bahawa seorang pemimpin dengan ciri ini kebiasaannya mempunyai sikap tegas, yakin dan berani mengambil risiko.

Pemimpin yang mempunyai faktor Objektiviti yang kuat kebiasaanya mampu memimpin dengan keputusan yang cepat dan tegas, serta mampu mengatasi masalah dan menangani situasi yang sukar.

Bagi domain kedua, iaitu Inspirasi atau berdasarkan ciri-ciri asal Pengaruh, pemimpin yang mempunyai ciri ini sangat berkarisma, memujuk dan petah bercakap. Pemimpin yang mempunyai ciri inspirasi yang kuat selalunya dapat memotivasikan orang lain dengan mudah serta membina hubungan yang kukuh dengan ahli pasukan mereka. Ciri-ciri pemimpin Penyokong yang merupakan konsep asal Kemantapan, ialah pemimpin yang kelihatan sangat stabil, sabar dan boleh dipercayai. Pemimpin yang mempunyai faktor ini dapat membangunkan persekitaran kerja yang positif dan inklusif serta mampu menangani masalah dan konflik dengan berkesan.

Ciri keempat, iaitu ciri pemimpin Reflektif yang konsep asalnya ialah Conscientiousness, ialah pemimpin yang sangat teliti, berhati-hati dan mampu mengatur tugas dengan baik. Pemimpin yang mempunyai faktor Reflektif yang kuat mampu merancang dan mengatur tugasan dengan baik serta memastikan setiap tugasan diselesaikan dengan teliti dan tepat.

Pemimpin dan Kerjaya

Bagi asas aspek kerjaya, John L. Holland merupakan ahli psikologi dan teori kerjaya yang terkenal dengan teori personaliti-kerjaya yang telah dibangunkannya pada tahun 1985. Teori ini mengaitkan personaliti individu dengan jenis kerja yang sesuai untuk individu itu bagi membolehkannya menentukan aspek kerja yang paling sesuai dengan personaliti mereka. Teori personaliti kerjaya Holland membahagikan personaliti individu kepada enam kategori, dikenali sebagai RIASEC, iaitu Realistik, Penyiasatan (Investigative), Artistik, Sosial, Enterprising dan Konvensional. Setiap kategori mempunyai ciri personaliti yang unik dan menunjukkan jenis pekerjaan yang paling sesuai dengan personaliti tersebut.

Pertama, kategori Realistik merupakan individu yang mempunyai kecenderungan untuk bekerja dengan alatan dan mesin, serta tugas praktikal. Kategori ini juga memiliki kecenderungan untuk menyelesaikan masalah fizikal, seperti pembaikan dan penyelenggaraan seperti juruteknik, jurutera dan petani.

Kedua, kategori Penyiasatan (Investigative) merangkumi individu yang mempunyai kecenderungan untuk bekerja dengan konsep dan idea. Individu yang sesuai dengan kategori ini sangat analitikal, kreatif dan ingin tahu. Mereka sering mendalami idea dan teori untuk mencari pemahaman baharu seperti saintis, pengatur cara dan penyelidik.

Ketiga, kategori Artistik melibatkan individu yang mempunyai kecenderungan untuk mencipta dan mengekspresikan diri melalui seni dan reka bentuk yang sesuai dengan kerjaya pelukis, pereka grafik dan penulis.

Keempat, kategori Sosial merangkumi individu yang mempunyai kecenderungan untuk bekerja dengan orang ramai dan meningkatkan kualiti hidup mereka. Individu yang sesuai dengan kategori ini sangat prihatin, empati dan komited terhadap kerja sosial seperti guru, kaunselor dan pekerja sosial.

Kelima, kategori Enterprising merangkumi individu yang cenderung memimpin dan mengambil risiko dalam dunia perniagaan seperti pengurus, pengendali dan jurujual. Akhir sekali, kategori Konvensional ialah individu yang cenderung mengikut peraturan dan prosedur, serta bekerja dengan data dan angka sesuai dengan pekerjaan seperti akauntan, pembantu tadbir dan kerani bank.

Model Kepimpinan i-LEAD

Bagi melengkapkan prinsip dan falsafah kepimpinan yang diperkukuh dengan sokongan profesional, sebuah model dicadangkan oleh organisasi penulis, iaitu Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan untuk memaksimumkan asas teori model kepimpinan. Model ini dikenali sebagai Model Kepimpinan Kerjaya i-LEAD yang diterangkan seperti rajah di bawah. Berdasarkan model ini, alat ukuran watak pemimpin i-LEAD bernama iLEADpro Plus telah dibangunkan. Alat ukuran ini juga mengandungi dua domain, iaitu yang pertama ialah domain kepimpinan yang dinamakan i-LEADpimpin berdasarkan hasil kerja Dr. William Moulton Marston pada tahun 1920, iaitu seorang ahli psikologi dari Universiti Harvard. Alat ukuran kedua pula mengandungi domain kerjaya yang dinamakan i-LEADkerjaya adalah berdasarkan Teori Tipologi Kerjaya oleh Holland (1973; 1985; 1996).

I-LEADpro Plus, iaitu alat pemprofilan personaliti dicipta sebagai pendekatan inovatif untuk menilai ciri kepimpinan individu. Alat ukuran iLEADpro Plus mempunyai dua domain, iaitu i-LEADpimpin dan i-LEADkerjaya, yang dianalisis untuk menentukan ciri kepimpinan individu. i-LEADpimpin terdiri daripada empat ciri personaliti, iaitu Objektiviti, Inspirasi, Penyokong dan Reflektif, manakala i-LEAD kerjaya terdiri daripada enam kategori ciri kecenderungan kerjaya, iaitu Realistik, Penyiasatan, Artistik, Sosial, Enterprising dan Konvensional. Kedua-dua parameter ini kemudiannya digabungkan dalam algoritma khusus yang membentuk output atau keputusan akhir yang akan digunakan sebagai penilaian untuk menentukan ciri-ciri kepimpinan.

Kesimpulannya, diharapkan pembangunan model dan alat pengukuran ini dapat memberikan manfaat dalam melahirkan pemimpin yang sejati seperti yang terungkap dalam satu pantun Melayu lama daripada makalah terkenal Gurindam Jiwa:

Kalau mencari tempat mandi,

Pertama telok, kedua pantai,

Kalau mencari pemimpin sejati,

Pertama elok, kedua pandai.

Penulis, Ketua Pengarah, Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.