19 Januari 2024, 13:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menerangkan agenda di bawah kementeriannya dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, hari ini.

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) beriltizam untuk terus memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dan meningkatkan mutu pendidikan bahasa Inggeris dalam kalangan warga pendidik, selain para pelajar di seluruh negara.

KPM sentiasa mengambil langkah strategik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu itu sentiasa menjadi keutamaan, apatah lagi KPM adalah peneraju penguasaan, peningkatan dan pemartabatan bahasa Melayu dalam negara.

Langkah ini perlu mencerminkan komitmen dalam pemartabatan bahasa Melayu sebagai aset kebangsaan yang penting dan pada masa yang sama, melihat keperluan bahasa Inggeris untuk ditingkatkan dari segi mutu pendidikannya.

Tegas Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek yang tekad meneruskan usaha bagi memperkukuhkan dasar dan taraf ekosistem pendidikan negara dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya pada pagi tadi.

Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) yang menjadi polemik baru-baru ini merupakan sebahagian daripada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular.

Oleh itu, pendekatan manusiawi sangat penting dalam pembelajaran, iaitu pelajar kohort masih dibenarkan untuk meneruskan kelas DLP mengikut garis panduan sedia ada bagi sesi 2024/2025.

Bagi memastikan penguasaan bahasa sekunder, KPM menawarkan pendekatan menyeluruh seperti Professional Upskilling for English Language Teachers (Pro-ELT), Enhance (ProELT) dan Highly Immersive Program (HIP).

Walau bagaimanapun, YB Fadhlina Sidek dalam ucapannya pada majlis itu sangat menekankan kepentingan memelihara kedudukan tinggi bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara, di samping meningkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris di institusi pendidikan Malaysia.

Penyerahan Sijil Anti-Bribery Management System (ABMS) MS ISO 37001:2016 disaksikan oleh YB Fadhlina Sidek bersama-sama timbalannya, YB Wong Kah Who.

Memetik nilai dalam Hikayat Hang Tuah, beliau turut berkongsi kepada warga KPM dan pendidik supaya menyelami perjalanan keilmuan dan ekosistem pendidikan tokoh tersebut yang memberikan kesan besar ketika memimpin Melaka, termasuklah proses hubungan diplomasi dan penguasaan 12 bahasa asing, selain bahasa Melayu.

Dalam perkembangan lain, turut diadakan sesi penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Tahun 2023 dan sesi penyerahan Sijil Anti-Bribery Management System (ABMS) MS ISO 37001:2016 kepada institusi pengajian di bawah KPM.

Jurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.