24 Januari 2024, 10:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat, iaitu Pendidikan Berkualiti, satu daripada sasarannya ialah menjelang tahun 2030, semua murid diharapkan memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mempromosikan pembangunan mampan. Antaranya termasuklah melalui pendidikan untuk pembangunan mampan dan gaya hidup mampan, hak asasi manusia, kesaksamaan jantina, pengekalan keamanan dan antikeganasan, kewarganegaraan global dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya serta sumbangan budaya kepada pembangunan mampan.

Manakala SDG ke-16, iaitu Keamanan, Keadilan dan Pertubuhan Kukuh, bertujuan membina masyarakat yang aman dan menyeluruh untuk pembangunan mampan, memastikan semua orang mempunyai keadilan dan membina institusi yang berkesan, boleh dipercayai dan menyeluruh pada semua tahap. Satu daripada institusi ialah sekolah yang menunjukkan murid menerima pengetahuan sama ada secara formal mahupun tidak. Satu daripada sasaran dalam SDG ke-16 ialah mengurangkan secara ketara semua bentuk keganasan dan kadar kematian berkaitan di seluruh dunia dan indikatornya ialah penurunan kadar kematian berkaitan dengan konflik yang melibatkan setiap 100,000 penduduk mengikut jantina, umur dan sebab.

Sehubungan dengan itu, Hari Pendidikan Antarabangsa Keenam (The sixth International Day of Education) yang disambut pada 24 Januari 2024 pada setiap tahun bertemakan “Pembelajaran untuk keamanan yang Berkekalan” atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Learning for Lasting Peace. Dunia kini sedang menghadapi gelombang konflik keganasan dengan peningkatan yang menggusarkan dalam isu diskriminasi, perkauman, xenofobia dan kata-kata bersifat hasutan dan kebencian. Impak keganasan ini melangkaui sempadan tanpa mengira geografi, jantina, bangsa, agama, politik, sama ada di dunia maya mahupun di dunia nyata. Usaha dan komitmen bersifat proaktif dilihat lebih mendesak pada hari ini berbanding dengan sebelumnya.

Aspek pendidikan terus menjadi tumpuan terhadap usaha ini, sebagaimana yang dicadangkan oleh The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) berkaitan dengan “Pendidikan untuk Keamanan, Hak Asasi Manusia dan Pembangunan Mampan”. Pembelajaran untuk keamanan harus bersifat transformasi, membantu memberdayakan nilai dengan pengetahuan, sikap dan kemahiran serta tingkah laku yang diperlukan untuk menjadi agen keamanan dalam komuniti mereka. Jika diteliti cadangan UNESCO, hal ini selari dengan perkara yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) di Malaysia, iaitu pendidikan merupakan usaha berterusan untuk menggilap potensi yang terdapat pada murid secara holistik dan hal ini merangkumi domain kognitif, psikomotor dan afektif. Kemaslahatan pendidikan itu terletak pada pencapaian murid dalam kesemua domain tersebut. Penulis tertarik dengan kata-kata Abdullah Ibn Mubarak R.A, iaitu “Aku belajar adab selama 30 tahun dan aku belajar Ilmu selama 20 tahun”. Hal ini menunjukkan bahawa seseorang yang berpengetahuan tinggi, namun tiada guna sekiranya mereka tidak beradab.

Prinsip keseimbangan dan mampan juga penting dalam Masyarakat Madani, jika difikirkan dan dihayati. Prinsip ini memastikan keadilan untuk semua orang tanpa sebarang bentuk diskriminasi, ketidakadilan atau penindasan. Menurut prinsip keseimbangan, setiap orang harus dilayan dengan adil dan sama rata. Tujuannya adalah untuk mewujudkan masyarakat yang seimbang dan mampan serta memperlihatkan semua orang dapat menjalani kehidupan dengan baik. Selain itu, aspek Madani telah menjadi dasar setiap teras untuk menekankan keperluan pembangunan negara, termasuklah keperluan dalam bidang pendidikan.

Jika difikirkan dengan lebih mendalam, hal ini mampu memberikan penekanan yang ketara terhadap aspek kemanusiaan. Setiap elemen konsep Madani menekankan nilai kemanusiaan rakyat yang boleh dipupuk melalui aspek pendidikan. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memberikan tumpuan kepada usaha membina karakter, nilai dan sahsiah murid untuk memastikan mereka mampu menghadapi cabaran besar pada masa akan datang. KPM berusaha untuk menyediakan Kurikulum Persekolahan 2027 yang mengambil kira elemen ini berdasarkan maklum balas hasil tinjauan melalui soal selidik yang ditadbir oleh kementerian berkenaan pada tahun lepas.

Selain itu, semua orang mempunyai hak untuk hidup dalam keadaan aman. Perlindungan daripada ancaman, keganasan dan ketidaktentuan keselamatan adalah sebahagian daripada hak ini. Setiap orang berhak untuk menjalani kehidupan yang bebas daripada ketakutan dan bahaya yang tidak diingini. Hak untuk hidup dengan aman merupakan komponen penting dalam hak asasi manusia dan prinsip kemanusiaan yang sepatutnya dihormati dan dilindungi oleh pemimpin dan masyarakat di seluruh dunia. Hal ini demikian untuk memastikan keadilan, keselamatan dan kesejahteraan untuk semua orang tanpa mengira latar belakang, agama atau keadaan sosioekonomi mereka lebih terjamin.

Pada hakikatnya, pendidikan merupakan wadah untuk memupuk sifat empati dan kemanusiaan dalam kalangan murid. Pendidikan seharusnya bermula dari rumah menerusi ibu bapa yang memainkan peranan utama dalam menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka. Mereka seharusnya menjadi suri teladan kepada anak-anak supaya sifat positif tersebut menjadi ikutan pada setiap masa.

Pada penghujung tahun 2023, konflik di Gaza mengejutkan dunia kerana membunuh ramai orang awam. Malaysia telah menyatakan pendirian negara mengenai konflik itu dan telah diterjemahkan ke dalam pelbagai aktiviti kesedaran, terutamanya di institusi pendidikan. Apa-apa yang lebih penting ialah aspek empati dan kemanusiaan ini bukan sesuatu yang sepatutnya berlaku sekali skala, yakni hanya berlaku apabila konflik melibatkan nyawa manusia yang tidak berdosa. Konsep MADANI menyatakan bahawa penerapan elemen kemanusiaan adalah proses berterusan selaras dengan konsep kesopanan dan kesusilaan, yang terkandung dalam Rukun Negara kelima. Golongan pendidik sering digambarkan sebagai agen perubahan, kemudiannya memainkan peranan penting dalam menerapkan nilai kemanusiaan dalam diri murid sejak mereka mula menjejakkan kaki ke sekolah.

Kempen nilai kemanusiaan di sekolah merupakan usaha yang boleh dilaksanakan untuk mendidik murid tentang kepentingan nilai kemanusiaan dalam kehidupan. Guru juga boleh melibatkan murid dalam aktiviti kemanusiaan dengan membantu masyarakat yang kurang bernasib baik. Hal ini akan menanamkan rasa belas kasihan dalam kalangan murid. Sebagai contoh, dalam aspek membantu mereka yang kurang bernasib baik, tanpa mengira bangsa, umur atau agama mereka, usaha ini boleh menanamkan rasa belas kasihan dalam kalangan murid dan membantu generasi seterusnya memahami kesengsaraan orang lain.

Bagi menyokong inisiatif ini, setiap sekolah di seluruh negara digalakkan untuk mengambil bahagian dalam Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan oleh KPM. Minggu Solidariti Palestin telah diadakan pada 29 Oktober hingga 3 November 2023 tahun lalu untuk menunjukkan sokongan Malaysia terhadap rakyat Gaza. Aktiviti ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga sekolah tentang nilai kemanusiaan sejagat. Murid dan warga sekolah belajar untuk bersyukur dan menghargai keamanan dan kedamaian yang dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Panduan penganjuran Minggu Solidariti Palestin disusun oleh KPM untuk mendidik murid tentang nilai manusiawi, termasuklah hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat. Mereka diajar untuk menghargai dan bersyukur akan nikmat keamanan negara dan menginsafi penderitaan yang dialami oleh warga Palestin. Hubungan antara Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan Rukun Negara turut ditekankan oleh KPM melalui konsep Karamah Insaniah. Konsep manusiawi bermaksud setiap murid mempunyai perasaan kasih sayang dan simpati antara satu sama lain.

Natijahnya, pendidikan adalah proses yang berterusan dan berlaku di mana-mana sahaja, iaitu bermula sejak lahir hinggalah ke akhir hayat seseorang. Menyedari hakikat ini, murid harus memperoleh pengetahuan berkaitan dengan krisis kemanusiaan yang berlaku di seluruh dunia. Sempena Hari Pendidikan Antarabangsa Keenam, yang bertemakan “Pembelajaran untuk Keamanan yang Berkekalan”, murid harus menghayati nilai kemanusiaan untuk mengekalkan keamanan, secara formal atau tidak formal, iaitu sama ada di rumah atau di sekolah. Pendedahan awal boleh membentuk individu yang mampu membezakan antara perkara baik dengan buruk bukan sahaja kepada diri sendiri, malah juga terhadap persekitaran mereka bagi membolehkan generasi yang lebih “manusiawi” seperti yang digambarkan dalam konsep Malaysia Madani.

Selamat Hari Pendidikan Antarabangsa!

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.