Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDUNIA kini berada dalam era digital yang dipacu oleh Internet. Hal ini dapat dilihat menerusi cara berkomunikasi, berhibur, berniaga, belajar, sehinggalah kepada perkhidmatan kerajaan. Kini, tidak ada seinci pun kehidupan manusia tanpa Internet. Lebih ketara, kemajuan pendigitalan menjadi semakin pesat apabila dunia kini berada dalam Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
4IR merujuk teknologi baharu yang menggabungkan alam fizikal, digital dan biologi, yang memberikan kesan kepada semua aspek kehidupan manusia. Namun begitu, kemajuan teknologi baharu dalam 4IR menyebabkan perbezaan antara alam fizikal, digital dan biologi semakin tidak jelas. Sektor pendidikan juga turut terkesan dengan perkembangan 4IR. Sehubungan dengan itu, Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum, WEF) pada tahun 2020 telah menggagaskan pembentukan Kerangka Pendidikan 4.0. Kerangka ini terdiri daripada dua elemen utama, iaitu kandungan dan pengalaman yang berkait rapat dengan elemen digital. Aspek kandungan termasuklah kemahiran kewarganegaraan global, teknologi digital serta kreativiti dan inovasi, manakala aspek pengalaman pula seperti pembelajaran diperibadikan dan pembelajaran dipacu murid.
Apabila dunia dilanda pandemik COVID-19 pada tahun 2019 dan kemuncaknya pada tahun 2020 hingga tahun 2021, berlaku perubahan dalam amalan persekolahan, iaitu daripada kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka di sekolah kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Pastinya pada ketika itu, murid dan pendidik harus menguasai kemahiran digital bagi memastikan PdP dapat diteruskan. Perubahan ini sebenarnya telah membuka ruang dan peluang ke arah era pendidikan digital dengan lebih pantas, walaupun mahu tidak mahu kita harus mengakui bahawa terdapat pelbagai cabaran dalam pelaksanaan PdPR lebih-lebih lagi itulah kali pertama negara berhadapan dengan situasi tersebut.
Pada 28 November 2023, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan Dasar Pendidikan Digital (DPD), sudah tentu komitmen tersebut mendapat perhatian banyak pihak yang berasakan bahawa sudah tiba masanya negara membawa pendidikan ke dalam ekosistem yang lebih maju dan berdaya saing, iaitu pendidikan yang berteraskan digital.
Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan DPD? Menurut KPM, Pendidikan digital merangkumi pembelajaran mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai yang berkaitan dengan teknologi digital serta PdP yang menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif dan inovatif untuk melahirkan generasi fasih digital. Hal ini bermaksud, DPD merangkumi pembelajaran mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan dengan teknologi digital serta PdP yang menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif dan inovatif untuk melahirkan generasi fasih digital.
Dalam hal ini, DPD diyakini digubal selaras dengan pelbagai agenda nasional termasuk Membangun Negara MADANI, Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara serta cabaran dalam pelaksanaan PdP pada masa ini. Dalam erti kata lain, DPD diyakini akan dapat menjadi panduan kepada semua pihak berkepentingan untuk mendepani era digital.
Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, DPD mengandungi empat objektif pendidikan digital yang disokong oleh enam teras, 18 strategi dan 41 inisiatif secara terperinci. Pelaksanaan dasar ini, pada akhirnya nanti akan dapat dimanfaatkan secara optimum oleh murid, pendidik, pemimpin pendidikan dan semua pihak berkepentingan bagi merapatkan jurang digital seterusnya membolehkan pendidikan digital dilaksanakan dengan jayanya. Pelaksanaan dasar ini juga diyakini akan dapat merealisasikan iltizam dan aspirasi KPM untuk menyampaikan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti.
Jika ada pihak yang bertanya, mengapakah perlu diwujudkan dasar untuk pendidikan digital? Jawapannya, yang pertama kerana tahap kebestarian sekolah di negara ini masih berada pada tahap sederhana. Hal ini dapat dilihat apabila sebanyak 52.7 peratus sekolah berada pada tahap tiga dan ke bawah dalam penarafan tahap kebestarian sekolah pada tahun 2019; kedua, wujud cabaran seperti ekosistem persekitaran yang kurang membudayakan pembestarian sekolah, pelaksanaan yang bersifat pukul rata dan isu tadbir urus yang tidak selaras menyebabkan infrastruktur dan infostruktur asas tidak dapat disediakan; ketiga, pencapaian kompetensi digital murid pada tahun 2019 yang masih berada pada tahap sederhana, terutamanya bagi domain kognitif murid dan domain teknologi. Walau bagaimanapun, hanya domain kewarganegaraan digital yang mencatatkan pencapaian yang baik; keempat, dapatan kajian penandaarasan antarabangsa, PISA 2018 dan TIMSS 2019 mendapati bahawa kapasiti pengkomputeran peranti digital di sekolah dan bilangan peranti digital untuk PdP masih pada tahap yang rendah. Hal ini menunjukkan bahawa tahap kesediaan peralatan komputer, peranti digital, perisian dan perkhidmatan jalur lebar sekolah di Malaysia berada pada tahap yang kurang memuaskan; dan kelima, kesan daripada pandemik COVID-19 telah menyebabkan PdP tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka di sekolah. Maka itu, terdapat pelbagai isu dan cabaran untuk melaksanakan PdP secara dalam talian. Antaranya termasuklah hanya 36 peratus murid sama ada di bandar atau di luar bandar tidak memiliki peranti dan hanya 21 peratus ibu bapa melaporkan bahawa kelajuan Internet adalah tinggi.
Berdasarkan isu dan cabaran inilah, maka KPM berasakan dasar khusus yang berkaitan dengan pendidikan digital perlu digubal berasaskan empat objektif dengan enam teras yang dikenal pasti dalam usaha membangunkan ekosistem pendidikan digital yang mampan. Dasar ini tidak lain tidak diharapkan akan dapat memberikan manfaat yang besar kepada murid dan guru yang terlibat secara langsung dalam PdP. Faktor keberhasilan dasar ini ialah pemimpin sekolah yang berkesan, kandungan digital yang berkualiti serta infrastruktur dan infostruktur yang berkeupayaan.
Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pendidikan, hala tuju DPD adalah untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing. Oleh itu, strategi dan inisiatif disusun agar sejajar dengan objektif DPD, iaitu:
Hal ini jelas bahawa murid fasih digital ialah murid yang berupaya menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika untuk mencipta dan menghasilkan inovasi; menganalisis data secara saintifik; menyelesaikan masalah serta berkomunikasi dan berkolaborasi dengan berkesan.
Sesungguhnya harapan dan impian yang ingin dicapai dalam DPD harus dicapai dan direalisasikan bagi memastikan modal insan untuk tempoh 10 atau 20 tahun akan datang ialah generasi negara yang memahami segenap bidang dalam dunia digital. Tata kala negara maju semakin jauh mendahului kita dalam pemerkasaan digital dalam pendidikan, kita kini mempunyai gagasan DPD yang memerlukan keseriusan semua pihak dalam menjayakannya. Percayalah bahawa kejayaan DPD ini tidak hanya terletak dibahu KPM semata-mata, tetapi harus merentas kementerian dan semua pihak yang berkepentingan dalam menjayakan DPD.
Rajah Kerangka Pendidikan 4.0