30 Januari 2024, 08:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang. Baginda merupakan paduka putera sulung Sultan Ahmad Shah, Sultan bagi negeri Pahang dan seluruh jajahan takluknya.

Latar belakang pendidikan awal baginda bermula di Sekolah Clifford, Kuala Lipis pada tahun 1965. Kemudian, baginda menyambung persekolahan pada peringkat rendah di Sekolah Kebangsaan Ahmad, Pekan (1966–1969) dan Sekolah Rendah Kebangsaan St. Thomas, Kuantan, serta pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Thomas, Kuantan (1970–1974).

Dalam usia 16 tahun, baginda kemudiannya berangkat melanjutkan pengajian ke Aldenham School, Elstree, Hertfordshire, United Kingdom (UK) pada tahun 1975–1977. Seterusnya, baginda meneruskan pengajian dalam bidang ketenteraan di The Royal Military Academy Sandhurst, UK pada 1978 hingga 1979. Pada tahun 1980–1981, baginda menyambung pengajian ke peringkat diploma di Worcester and Queen Elizabeth College, UK dalam bidang Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi.

Pada 1 Julai 1975, baginda telah dilantik sebagai Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dan kemudiannya dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan. Pada usia yang baru sahaja menjangkau 20 tahun, baginda dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang untuk tempoh lima tahun bermula pada 28 April 1979, iaitu selama tempoh ayahanda baginda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’adzam Shah menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-VII.

KDYMM Seri Paduka Baginda telah bertemu jodoh dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, iaitu puteri ketiga kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar. Pengantin Diraja Pahang dan Johor ini diijabkabulkan pada 6 Mac 1986 di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor dan Istiadat Membatalkan Air Sembahyang telah diadakan di Istana Bukit Serene. Hasil perkahwinan tersebut, baginda berdua dikurniakan dengan empat orang putera dan lima orang puteri.

Seperti kelazimannya, sebagai pewaris takhta, KDYMM Seri Paduka Baginda didedahkan dengan bidang ketenteraan sejak awal lagi. Komitmen baginda dalam bidang ketenteraan sangat terserlah sehingga dilantik sebagai Leftenan Muda, Royal Military Academy, Sandhurst, England dengan menerima pentauliahan oleh Queen Elizabeth II pada tahun 1980.

Baginda menjadi kapten bagi pasukan Kor Kavelri Diraja Malaysia dan dilantik menjadi Leftenan Kolonel, Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 Mei 1999. Sifat kepimpinan baginda dalam bidang ketenteraan sentiasa dikagumi hingga dilantik menjadi Kolonel, Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 Jun 2000 dan kemudiannya menjadi Brigadier Jeneral, Komander Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 April 2004.

Baginda juga sangat aktif dalam bidang sukan, antaranya termasuklah polo, bola sepak dan hoki. Pelibatan baginda bukan sahaja aktif di dalam negara, malahan di luar negara dan pernah mengetuai pasukan Polo Diraja Pahang dalam perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club, England, serta mengambil bahagian dalam pertandingan di Singapura, Filipina, Brunei, Argentina, Amerika Syarikat, Sepanyol, Belgium dan Thailand. Kehebatan dalam sukan polo terbukti apabila baginda berjaya menggondol pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-12 di Singapura pada tahun 1983.

Pencapaian baginda dalam bidang sukan sangat terserlah sehinggakan baginda diberi kepercayaan untuk memegang beberapa jawatan penting dalam persatuan sukan di dalam dan di luar negara. Antara jawatan yang pernah disandang, termasuklah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Vice President of Asian Football Confederation. Baginda juga telah mencipta sejarah tersendiri apabila tersenarai sebagai tiga Anggota Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia untuk penggal 2015–2019.

KDYMM Seri Paduka Baginda sangat sinonim dengan sifat sopan dalam menyantuni rakyat jelata. Terbuktilah, hasil didikan penuh kasih sayang yang disemai sejak kecil lagi oleh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar serta bondanya, Almarhumah Tengku Ampuan Afzan Rahimahallah Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad menyerlahkan lagi perawakan dan sikap baginda.

Keprihatinan baginda berdua dalam menyelami denyut nadi rakyat dapat dilihat apabila baginda sentiasa mencemar duli untuk bertanya khabar, menitahkan kata-kata semangat dan mengurniakan sumbangan peribadi pada setiap kali mendengar rakyat ditimpa bencana.

Sesungguhnya KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ialah raja yang berjiwa rakyat. Dengan keperibadian yang mulia dan legasi pemerintahan berpaksikan kata keramat “Raja dan rakyat berpisah tiada” yang diwarisi daripada Paduka Ayahanda membuatkan baginda sangat disayangi oleh seluruh rakyat jelata, terutamanya oleh rakyat Pahang yang menjadi tanah tumpahnya darah baginda.

Sumber foto: Istana Negara

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.