30 Januari 2024, 08:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam melihat perkembangan dimensi politik Melayu, perkara yang sering kali menjadi dilema sosial dan intelektual yang berkesinambungan dari abad ke-20 hingga abad ke-21 kini adalah dengan mengekalkan unsur-unsur tradisional Melayu. Hal ini melibatkan dua elemen unggul, iaitu bahasa Melayu dan insitusi diraja.

Menurut Rustam Sani dalam Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya, dua dilema sosial dan intelektual ini masih melingkari wacana dimensi politik Melayu. Ada pihak yang cuba mempertahankan suasana sosialnya yang telah berubah dengan radikal dan ada pihak yang cuba membawa pendekatan keyakinan diri yang baharu dalam kalangan orang Melayu sebagai kesan pencapaiannya dalam pertumbuhan ekonomi yang dirancang (khususnya sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru dan pascanya).

Namun begitu, sejajar dengan prinsip semangat zaman, masyarakat akan berdepan dengan gelombang pemodenan dan pastinya wujud ancaman kepada unsur sedemikian. Dalam konteks pascatahun 2000-an, dua unsur tersebut masih lagi utuh berdiri, namun ditambah dengan satu lagi unsur yang mengikat dimensi politik Melayu, iaitu agama Islam. Maka itu, dapatlah disimpulkan bahawa tiga unsur utama yang mengikat wacana politik Melayu ialah agama Islam, bahasa Melayu dan institusi diraja.

Unsur ketiga, iaitu institusi diraja kian menjadi tumpuan dan menjadi satu daripada unsur dominan dalam dimensi politik Melayu sejak sekian lama. Institusi diraja merupakan elemen unggul yang memperlihatkan institusi diraja sebagai pelindung kepada masyarakat Melayu. Legasi kolonialisme menyebabkan berlakunya transformasi struktur di Tanah Melayu yang membawa kepada kewujudan sistem monarki berperlembagaan walaupun perlembagaan wujud untuk mengehadkan kuasa kerajaan dan institusi diraja dalam konteks Malaysia moden hari ini. Namun begitu, keutuhan institusi diraja kekal kuat hingga ke hari ini walaupun berdepan dengan pelbagai situasi seperti krisis Perlembagaan Malaysia pada tahun 1983 hingga tahun 1984.

Susulan tempoh lima tahun penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, yang bakal tamat pada 30 Januari 2024, makalah ini memberikan tumpuan kepada refleksi Al-Sultan Abdullah sebagai YDPA ke-16 Malaysia yang telah menerajui negara sejak menaiki takhta pada 24 Januari 2019. Al-Sultan Abdullah yang menaiki takhta hampir lima tahun sebagai YDPA telah berdepan dengan pelbagai situasi dan konflik khususnya berkaitan dengan krisis politik dan kepimpinan yang membawa kepada pengukuhan legasi baginda dan imej raja berjiwa rakyat, sekali gus membawa kepada transformasi kepimpinan khususnya dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam sejarah juga, buat pertama kali terakamnya empat orang Perdana Menteri di bawah kepimpinan baginda.

Mengemudi Negara, Mengharungi Tiga Krisis Politik dan Situasi Pandemik COVID-19

Keterampilan YDPA, Al-Sultan Abdullah sebagai Ketua Negara dilihat sebagai “payung negara” dalam mengurus dan meleraikan konflik politik yang melanda negara dalam tempoh kepimpinan baginda sejak mengambil alih takhta kepimpinan negara. Kuasa prerogatif yang dimiliki oleh YDPA benar-benar teruji sewaktu berdepan dengan tiga krisis politik yang telah memberikan kesan terhadap kestabilan politik negara. Perkara ini bermula dengan peralihan kerajaan, iaitu daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) pada 1 Mac 2020, peralihan Kerajaan PN kepada kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) pada 21 Ogos 2021 dan kemelut pembentukan kerajaan Persekutuan disebabkan oleh situasi Parlimen tergantung.

Dalam mengemudi negara, terdapat dua perkara yang boleh dijadikan renungan oleh rakyat di bawah kepimpinan baginda. Pertama, fungsi substantif yang dibangunkan oleh baginda dalam mengurus krisis politik negara. Kemelut yang melanda negara khususnya dominasi naratif politik membawa kesukaran tertentu terutamanya dalam menangani perkara sensitif dan persoalan perundangan yang tidak nyata secara harfiah dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini boleh dilihat dengan lebih jelas semasa proses pelantikan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) ketujuh dan digantikan dengan Tan Sri Muhyidin Yassin sebagai PM kelapan, selain pascakepimpinan Tan Sri Muhyidin Yassin oleh lantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM kesembilan dan pembentukan kerajaan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan pembentukan “Kerajaan Perpaduan” yang diketuai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai PM ke-10 Malaysia atau lebih dikenali dengan PMX menyerlahkan lagi peranan substantif Seri Paduka Baginda dalam berdepan dengan tiga kemelut politik negara sebelum ini.

Kedua, diplomasi YDPA menerusi pendekatan deliberatif. Tindakan Seri Paduka Baginda yang menitahkan setiap ahli Dewan Rakyat menghadap baginda dalam usaha mendapatkan pengesahan dan kenyataan tentang kepercayaan mereka berhubung dengan landskap politik negara ialah peristiwa yang pertama kali berlaku pada peringkat persekutuan. Pendekatan diplomasi deliberatif yang diamalkan oleh baginda ini telah memberikan penekanan kepada amalan pembinaan konvensyen atau amalan perlembagaan dengan mengambil pendirian tentang beberapa perkara yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan melibatkan Perkara 39 yang mengisytiharkan bahawa kuasa eksekutif adalah terletak hak ke atas YDPA dan baginda berhak melaksanakan kuasa eksekutif serta Perkara 40(2) tentang memberikan kuasa budi bicara kepada YDPA untuk melantik Perdana Menteri.

Usul baginda dalam memberikan penyelesaian terhadap ketergantungan Parlimen pasca-PRU-15 menyerlahkan lagi keunggulan pendekatan yang diamalkan oleh baginda. Walaupun ada sesetengah pihak menolak saranan pembentukan “Kerajaan Perpaduan” sebagaimana yang dititahkan oleh baginda, namun pada akhirnya pembentukan kerajaan itu memberikan satu impak besar kepada situasi politik negara yang tegang dalam usaha membentuk kestabilan politik bagi membina kembali imej positif negara dan meningkatkan keyakinan pelabur asing.

Penanda Aras Baharu bagi Peranan YDPA di Malaysia

Jika ditelusuri, kepimpinan Al-Sultan Abdullah telah membina penanda aras baharu terhadap fungsi dan peranan YDPA di Malaysia. Pada suatu masa, masyarakat melihat peranan YDPA hanya sekadar memenuhi tuntutan rasmi, tetapi di bawah kepimpinan Al-Sultan Abdullah, baginda telah menjalankan fungsi kepimpinan yang unggul, berhikmah dan membina satu aras baharu kepimpinan dengan memperlihatkan fungsi sebenar YDPA di Malaysia sebagai aktor semak dan imbang terhadap kerajaan pemerintah dan menjiwai kehendak rakyat. Beberapa preskripsi dilihat sebagai penyumbang kepada kefungsian substantif dan penanda aras baharu peranan YDPA di Malaysia yang telah diamalkan di bawah kepimpinan Al-Sultan Abdullah.

Sifat Al-Sultan Abdullah begitu dekat dan berjiwa rakyat. Sifat baginda yang gemar akan aktiviti lasak, adil dan berjiwa rakyat turut menggambarkan keperibadian baginda. Hal ini ditambah pula dengan imej yang sama diamalkan oleh Tuanku Permaisuri, Tunku Hajah Azizah Aminah yang begitu terkenal dengan “resipi rakyat” dan sentiasa turun ke lapangan menyantuni rakyat, juga merupakan antara faktor yang menjadikan kepimpinan Al-Sultan Abdullah begitu dekat dengan jiwa rakyat. Tidak dinafikan bahawa kepimpinan YDPA secara realitinya memiliki tahap populariti yang luar biasa. Bukan sahaja terkenal di Semenanjung, bahkan dalam lawatan Seri Paduka Baginda Bersama-sama keluarga di Sabah dan di Sarawak juga mencerminkan tahap kemasyhuran baginda. Kesungguhan yang ditunjukkan dalam meneliti aduan rakyat khususnya di kepulauan Borneo menjadikan sisi figura institusi istana ini dekat dengan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun jajaran wilayah.

Selain itu, transformasi kepimpinan yang ditonjolkan oleh baginda begitu mendapat perhatian rakyat jelata. Transformasi kepimpinan yang dimaksudkan adalah meliputi soal pengaruh idea, motivasi, inspirasi, membina rangsangan intelektual dan menunjukkan pertimbangan individu. Keempat-empat nilai transformasi yang ditonjolkan dapat dilihat dalam kesungguhan Seri Paduka Baginda mengurus negara dan memberikan penekanan dalam aspek pengukuhan budaya ilmu dan nilai intelektual. Dalam satu titah sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA kali ke-94, Seri Paduka Baginda menekankan soal peranan universiti dalam memperkukuh wahana pendidikan sebagai ejen membina perpaduan negara. Baginda dalam titah tersebut menyifatkan, “Ilmu yang diraih akan membolehkan anak muda mengenali antara kebaikan dengan kemungkinan. Ilmu yang diraih juga boleh mencipta kesejahteraan sejagat”. Pada masa yang sama, Seri Paduka Baginda turut mencadangkan penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Sultan Abdullah-Muzium Pahang (Al-ASAR) sebagai usaha untuk membangunkan fokus kajian, penyelidikan dan meneroka warisan kebudayaan serta sejarah tempatan bagi memastikan aspek kearifan tempatan mampu dijamin kelangsungannya.

Sementara itu, YDPA turut berperanan sebagai pelindung demokrasi. Prinsip ini menjadi pegangan kuat Al-Sultan Abdullah dalam mengemudi negara ketika berdepan krisis dan konflik yang berlangsung sepanjang pemerintahan baginda. Pada hakikatnya, institusi raja bukanlah hanya sekadar simbolik semata-mata, bahkan berperanan sebagai pelindung dan penjaga kepada amalan demokrasi Malaysia, sekali gus menjadi tiang seri keamanan dan nadi terhadap ejen perpaduan negara. Peranan ini diibaratkan seperti “roh” dan semangat yang berfungsi sebagai instrumen mekanisme semak dan imbang terakhir negara yang berteraskan budi bicara untuk menzahirkan keputusan apabila menemui jalan bantu. Menyoroti situasi ini, jelas dapat diperhatikan ketika negara berdepan dengan gelombang pandemik COVID-19 yang memberikan impak besar kepada perkembangan ekonomi Malaysia dan global hingga Proklamasi Darurat terpaksa diisytiharkan serta situasi genting pasca-PRU-15 negara yang lalu. Manifestasi kepimpinan Seri Paduka Baginda ini seharusnya diteladani oleh semua pemimpin politik yang ada di Malaysia baik pada masa ini ataupun pada masa akan datang.

Kepimpinan melalui tauladan, transformasi kepimpinan dan berjiwa rakyat, ketiga-tiga ini menjadi tonggak penting kepimpinan yang unggul di bawah pemerintahan YDPA ke-16. Walaupun hanya berada di tampuk takhta untuk tempoh lima tahun, Seri Paduka Baginda berjaya membina legasi dan imej baginda sendiri khususnya dalam kalangan rakyat. Berseiring dengan simbol institusi diraja sebagai sesuatu yang suci, pastinya ini memberikan satu sudut pandang yang lebih mesra rakyat berkenaan dengan peranan institusi diraja dalam dunia moden pada hari ini. Setiap kepimpinan diraja yang menaiki takhta pastinya akan memiliki sudut pandang tersendiri, namun legasi yang ditinggalkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah berjaya membentuk sebuah penanda aras bagi kepimpinan YDPA seterusnya. Daulat Tuanku!

Sumber foto: Istana Negara


Penulis merupakan pensyarah dalam bidang Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kampus Raub.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.