30 Januari 2024, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Sultan Pahang Darul Makmur telah dipilih dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Januari 2019 sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 bagi tempoh lima tahun dari 31 Januari 2019 hingga 30 Januari 2024.

Sepanjang lima tahun pemerintahan baginda, Al-Sultan Abdullah telah melaksanakan budi bicara mengikut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan dengan melantik tiga orang Perdana Menteri, iaitu Tan Sri Muhyidin Yassin bermula pada 29 Februari 2020, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bermula pada Ogos 2021 dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bermula pada 24 November 2022. Dalam tempoh itu juga, sebanyak tiga kali darurat diisytiharkan oleh baginda akibat penularan wabak COVID-19, yang menyaksikan pilihan raya Parlimen Batu Sapi pada 18 November 2020, Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya pada 12 Disember 2020 ditunda.

Pada 6 Oktober 2022, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan pembatalan enam proklamasi dan ordinan darurat yang diisytiharkan oleh baginda. Ordinan darurat telah dibatalkan menerusi Ordinan Darurat (Kuasa Perlu) (Pembatalan) 2022, sekali gus membolehkan pilihan raya di Parlimen Sapi, Parlimen Gerik dan DUN Bugaya diadakan selepas itu.

Makalah ini bertujuan menyoroti iktibar daripada proses yang berlaku dalam pelantikan Perdana Menteri, perisytiharan darurat dan penggubalan ordinan darurat dari sudut penegasan prerogatif YDPA yang terpelihara dalam Perlembagaan. Tanpa berlaku peristiwa penting tersebut sepanjang pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai YDPA ke-16, para pengamal undang-undang, sarjana akademik dan rakyat mungkin secara umumnya masih menganggap bahawa kedudukan YDPA hanyalah sebagai simbolik lantaran baginda dikatakan perlu akur kepada permintaan Perdana Menteri.

Dalam melaksanakan budi bicara baginda untuk melantik Perdana Menteri dan menimbangkan perisytiharan darurat, Al-Sultan Abdullah melaksanakan amalan syura, iaitu perundingan dengan raja-raja Melayu, sekali gus mengingatkan semua pihak sama ada di dalam atau di luar Malaysia bahawa negara ini sebuah Persekutuan yang dibina oleh sembilan orang raja pemerintah yang berdaulat. Di Negeri Sembilan, raja pemerintahnya ialah Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar Memerintah bagi Negeri Sembilan yang berkongsi kuasa kedaulatan, manakala bagi maksud melaksanakan fungsi kuasa kedaulatan tersebut, Yang di-Pertuan Besar akan mewakili raja pemerintah Negeri Sembilan seperti yang ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan bagi negeri tersebut.

Al-Sultan Abdullah melaksanakan amalan syura, iaitu perundingan dengan raja-raja Melayu, sekali gus mengingatkan semua pihak sama ada di dalam atau di luar Malaysia bahawa negara ini sebuah Persekutuan yang dibina oleh sembilan orang raja pemerintah yang berdaulat.

Perkara 43(2) Perlembagaan memperuntukkan bahawa YDPA berhak untuk memilih seorang Perdana Menteri dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahlinya. Baginda boleh sahaja melaksanakan budi bicara berdasarkan pertimbangan peribadi asalkan calon tersebut seorang daripada ahli Dewan Rakyat. Namun begitu, Al-Sultan Abdullah membuka ruang kepada ahli Dewan Rakyat untuk menzahirkan sokongan mereka bagi memandu baginda dalam membuat pertimbangan akhir. Dalam hal ini, baginda meletakkan kaedah pemilihan calon Perdana Menteri digugurkan dan menggunakan kuasa prerogatif baginda untuk melantik Perdana Menteri sementara apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020.

Dalam proses pelantikan Perdana Menteri ke-10 pula, baginda tidak hanya mensyaratkan sokongan melalui akuan berkanun. Sokongan ahli Parlimen terhadap calon Perdana Menteri perlu dipersembahkan melalui ketua parti masing-masing kepada baginda. Walaupun ada calon Perdana Menteri yang cuba membuktikan bahawa beliau sudah mendapat sokongan majoriti, keputusan akhir pemilihan Perdana Menteri ke-10 membuktikan bahawa YDPA tetap bertindak mengikut peruntukan Perkara 43(2) Perlembagaan. Kebijaksanaan baginda terbukti apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 turut mendapat undi percaya oleh ahli Dewan Rakyat melalui proses dalam Parlimen.

Begitu juga halnya dalam pelaksanaan kuasa YDPA di bawah Perkara 150 Perlembagaan. Al-Sultan Abdullah menolak permintaan Perdana Menteri Kelapan pada 25 Oktober 2020 untuk mengisytiharkan darurat selepas berunding dengan raja-raja Melayu. Tindakan baginda menjelaskan pentafsiran sebenar kuasa eksekutif YDPA untuk mengisytiharkan darurat yang tidak terikat dengan permintaan Jemaah Menteri kerana Perkara 150 Perlembagaan memperuntukkan YDPA untuk bertindak mengikut budi bicara baginda. Keputusan baginda itu juga menyebabkan Belanjawan 2021 dibentangkan di Parlimen mengikut prosedur biasa, sekali gus menolak tohmahan darurat digunakan untuk menyelamatkan hayat kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyidin Yasin daripada berlakunya undi tidak percaya. YDPA hanya memperkenankan proklamasi darurat pada 12 Januari 2021 secara bertempoh hingga 1 Ogos 2021. Penetapan tempoh darurat sehingga 1 Ogos 2021 memperlihatkan kebijaksanaan baginda untuk mengelakkan kuasa yang diperkenankan dalam ordinan darurat daripada disalahgunakan. Kekhuatiran itu mudah difahami kerana kedudukan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyidin yang ketika itu tidak mendapat sokongan padu daripada ahli Dewan Rakyat.

YDPA komited dalam usaha memelihara prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.

Dalam penggubalan ordinan darurat dan pembatalannya, hal ini turut menjadi satu isu yang diperdebatkan kerana ada pihak yang tidak boleh membezakan ketika YDPA melaksanakan fungsi kuasa eksekutif dan fungsi kuasa legislatif. Oleh sebab terdapat anggapan yang bersarang sekian lama bahawa Perdana Menteri merupakan penguasa politik sebenar dalam Persekutuan, maka fungsi kuasa legislatif YDPA cuba dicabar oleh pihak tertentu. Keadaan tersebut mungkin juga disumbangkan oleh faktor kerana kurangnya pendidikan perlembagaan mengikut kaca mata watan. Akibatnya, tiga cabang kuasa, iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman yang berada di bawah pemerintahan YDPA tidak dapat difahami dengan baik.

Penggubalan ordinan dan pembatalannya merupakan tindakan legislatif. Oleh itu, YDPA tidak terikat dengan nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri. Dalam erti kata lain, Jemaah Menteri juga tidak boleh melaksanakan fungsi kuasa tersebut selaras dengan doktrin pemisahan kuasa yang diamalkan dalam kerangka Perlembagaan.

Isu berkaitan dengannya timbul apabila pada hari pertama sidang Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, bertarikh 26 Julai 2021, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang pada ketika itu menyandang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) memaklumkan bahawa semua ordinan selepas proklamasi darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari 2021 telah terlebih dahulu dibatalkan oleh Jemaah Menteri pada 21 Julai 2021. Banyak persoalan timbul daripada kenyataan tersebut kerana Parlimen dijadualkan menerima penjelasan kerajaan tentang pembatalan itu pada tarikh yang akan datang.

Perkara yang tersirat terungkap apabila pada 29 Julai 2021, sebuah kenyataan daripada Istana Negara menzahirkan rasa dukacita YDPA. Kenyataan tersebut memaklumkan bahawa titah Seri Paduka Baginda YDPA kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara bahawa cadangan Jemaah Menteri untuk membatalkan semua ordinan darurat perlu dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan pengungkaiannya.

Sekiranya dibaca tentang keseluruhan teks kenyataan media Istana Negara bertarikh 29 Julai 2021 itu, dapat difahami bahawa betapa YDPA amat komited untuk mempertahankan, melindungi serta memelihara prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan. Malah YDPA bertitah bahawa baginda sedia maklum akan peruntukan Perkara 40(1) yang menggariskan peruntukan dari segi nasihat Jemaah Menteri yang perlu diikut. Akan tetapi, sebagai ketua negara, jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berpelembagaan, YDPA mempunyai hak untuk melaksanakan kewajipan baginda.

Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan prosedur yang betul untuk membatalkan mahupun mengungkai suatu ordinan. Jemaah Menteri tiada kuasa untuk membatalkan ordinan darurat kerana penggubalan ordinan itu merupakan kuasa legislatif. Suatu ordinan darurat menjadi sah kerana dibuat atas nama dan perkenan oleh YDPA. Tanpa perkenan baginda melalui instrumen ordinan, maka ordinan yang memperuntukkan kuasa YDPA di bawah Perkara 150(2B) dan (8) tidak tepat dari segi undang-undang. Ordinan darurat setelah dibentangkan di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan oleh YDPA, boleh diungkai melalui resolusi Majlis Parlimen. Jika tidak dibatalkan mahupun diungkai dengan lebih awal, suatu ordinan darurat akan terhenti berkuat kuasa apabila luput tempoh enam bulan dari tarikh suatu darurat itu tamat.

Dalam penggubalan dan pembatalan ordinan darurat, YDPA bertindak di bawah kuasa Perkara 44 kerana baginda ialah entiti tertinggi di Parlimen. Dalam keadaan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak bersidang yang memerlukan kesegeraan, YDPA dibenarkan untuk menggubal ordinan darurat.

Perkara 150(5) Perlembagaan membenarkan Jemaah Menteri mengusulkan rang undang-undang di Parlimen dalam tempoh darurat. Rang undang-undang itu kelak akan tertakluk pada prosiding di Parlimen bagi maksud penggubalan undang-undang. Jika Jemaah Menteri tidak bersetuju dengan ordinan yang digubal oleh YDPA di bawah Perkara 150(2B), Jemaah Menteri boleh menasihati YDPA untuk memanggil sidang Parlimen dan membawa usul untuk membahaskan ordinan yang berkenaan. Parlimen kemudiannya boleh membuat semakan sama ada mahu meneruskan mahupun mengungkai ordinan itu.

Oleh hal yang demikian, titah YDPA agar cadangan pembatalan ordinan oleh Jemaah Menteri dibentangkan untuk dibahaskan di Parlimen merupakan satu nasihat yang bijaksana untuk memastikan prinsip pemisahan cabang kuasa yang membentuk sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan dihormati. Kaedah tersebut merupakan pendekatan terbaik dan termaktub di bawah Perkara 150(3) di samping dapat mengelakkan tohmahan kepada YDPA.

Kesemua peristiwa yang dijelaskan menunjukkan kejayaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah dalam melaksanakan kewajipan baginda dengan cemerlang sebagai YDPA ke-16. Baginda menyedarkan banyak pihak tentang kedudukan sebenar YDPA sebagai pemerintah tertinggi pada peringkat persekutuan yang dikenali sebagai Malaysia. Kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah tersebut meneguhkan lagi prinsip keluhuran perlembagaan untuk lebih difahami oleh rakyat di negara ini.


Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Profesor Madya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan Pengasas Jurisprudens Watan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.