6 Februari 2024, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penggunaan televisyen dan video dalam kelas telah diperkenalkan dalam bidang pendidikan lebih daripada 40 tahun yang lalu. Hal ini menunjukkan bahawa penyelidikan mengenai televisyen dan video dalam bidang tersebut juga telah mencecah usia yang sama. Penyelidikan daripada C. J. Brame bertajuk Effective Educational Videos: Principles and Guidelines for Maximizing Student Learning from Video Content yang tersiar dalam jurnal CBE Life Science Education Jilid 15 Siri 4 tahun 2016 menunjukkan bahawa, baik televisyen mahupun video tidak mungkin dapat menggantikan pengalaman kehidupan sebenar. Namun begitu, televisyen dan video boleh berfungsi sebagai alat bantuan dan sokongan pengajaran kepada guru serta menjadi satu daripada komponen kurikulum sekolah.

Hasil penyelidikan tersebut juga menunjukkan bahawa media audiovisual lebih penting daripada media pengajaran lain dari segi peranannya sebagai medium peneraju. Hal ini demikian kerana fungsi media tersebut sangat berfaedah dalam mewujudkan komunikasi kandungan pengajaran yang cekap. Hasil kajian turut meramalkan bahawa lebih daripada 25 tahun yang lalu, media audiovisual akan memainkan peranan yang lebih penting dalam pendidikan. Bentuk pembelajaran yang kreatif, berorientasikan proses dan aktif, menyebabkan media audiovisual mendapat keuntungan apabila dimanfaatkan sepenuhnya. Jika komitmen pelajar, pembelajaran aktif, dan beban kognitif dipertimbangkan, tidak dinafikan bahawa televisyen dan video mampu menjadi alat pendidikan yang sangat berkesan.

Dari segi sejarah, penggunaan televisyen dan video pendidikan mempunyai tradisi yang panjang dalam menjelaskan maklumat dan pengetahuan yang kompleks sama ada pada peringkat tadika, sekolah, dan pendidikan tinggi. Kini, tradisi tersebut beranjak kepada penggunaan video dalam talian bagi membantu memudahkan komunikasi untuk sebarang jenis pengetahuan atau disiplin ilmu. Banyak video pendidikan mengenai pelbagai topik telah dimuat naik di Internet untuk menyampaikan pengetahuan bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh pelajar, malah juga orang lain. Satu daripada platform Internet yang paling menonjol ialah YouTube, yang kini dikatakan mempunyai dua bilion pengguna yang berdaftar dan mewakili satu pertiga daripada keseluruhan pengguna di Internet. Hari ini, YouTube menjadi popular dalam kalangan institusi pendidikan sebagai platform kepada pelengkap pembelajaran yang memupuk pembelajaran berasaskan permintaan.

Menurut tulisan J Allgaier bertajuk Science and Environmental Communication on YouTube: Strategically Distorted Communications in Online Videos on Climate Change and Climate Engineering yang diterbitkan oleh jurnal Frontiers in Communication Jilid 4, tahun 2019, halaman 2–15, YouTube telah digunakan oleh masyarakat sebagai satu daripada sumber utama untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan sains, teknologi dan perubatan. Kelebihan video dalam talian seperti YouTube terletak pada fleksibiliti yang dimilikinya. Kandungan video boleh dipersembahkan dalam pelbagai gaya, format dan genre yang berbeza-beza tanpa membataskan kreativiiti dan imaginasi di samping membuka ruang penerokaan seluas-luasnya. Oleh itu, video pendidikan dalam konteks video dalam talian boleh difahami sebagai alat bantu mengajar yang berkuasa tinggi untuk meningkatkan pengetahuan orang ramai. Dengan kebolehcapaian yang tinggi dan halangan yang rendah, media ini sangat efektif dalam menyalurkan pengetahuan yang bersifat saintifik.

Ciri-ciri yang terdapat pada YouTube sangat membantu dalam memupuk penggunaan dan kegiatan video pendidikan dalam talian kerana mudah dikendalikan, senang dimuat naik dan praktikal untuk berkongsi kandungan dan mengedarkannya kepada orang lain. Disebabkan YouTube boleh dicapai pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, maka penggunaannya dalam proses pembelajaran menjadi semakin popular. Di Jerman misalnya, kajian penggunaan media tahunan yang dijalankan oleh Persatuan Penyelidikan Pendidikan Media Barat Daya Jerman dari tahun 2016 hingga tahun 2019 telah menunjukkan peningkatan peratusan yang ketara dalam penggunaan video pendidikan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang berusia antara 12 tahun hingga 19 tahun.  Perubahan yang signifikan dapat dilihat bukan sahaja menerusi penggunaan atau tontonan tetapi juga dari segi permintaan untuk kandungan baharu.

Jika dahulu kandungan video hanya boleh dihasilkan oleh mereka yang berkeahlian dalam bidang videografi dan suntingan, tetapi hari ini sesiapa sahaja boleh menghasilkan kandungan video kerana terlalu banyak aplikasi dan peranti yang boleh digunakan untuk menyokong kerja-kerja rakaman dan suntingan. Begitu juga dengan tayangan video atau lintas langsung yang pada suatu masa dahulu hanya boleh dikendalikan oleh stesen televisyen, tetapi dengan adanya kemudahan termaju yang boleh didapati dengan mudah pada masa ini, sesiapa sahaja boleh mengendalikannya dan berkongsi pula dengan orang lain dengan kos yang sangat munasabah. Semangat ideologi “Do It Yourself” yang menjadi pencetus kepada masyarakat untuk berkongsi pengetahuan secara aktif dalam semua bidang sosial, termasuklah bidang sains dan teknologi telah mendorong penghasilan lebi banyak kandungan baharu. Video ini kemudiannya dimuat naik dan berlegar secara berterusan dalam platform media sosial seperti YouTube.

Kemajuan penggunaan video pendidikan di Jerman secara dalam talian merupakan satu daripada faktor utama yang menggalakkan pembangunan video pendidikan kerana wujudnya sokongan saluran video bukan institusi yang membantu melengkapkan platform pembelajaran. Sebagai contoh, satu saluran YouTube video pendidikan Jerman yang berjaya mendapat lebih daripada 350 juta tontonan ialah Simpleclub. Saluran video tersebut menawarkan pelbagai subjek pembelajaran seperti Matematik, Kimia, Sejarah dan banyak lagi yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan ibu bapa dan pelajar kerana memudahkan pembelajaran dan dalam masa yang sama mengurangkan tekanan yang disebabkan oleh beban atau kompleksiti sesuatu subjek.

Idea menubuhkan Simpleclub tercetus setelah pengasasnya, Alexander Giesecke dan Nicolai Schork berasa bosan dengan kandungan dan persembahan video yang terdapat di dalam saluran media sosial. Disebabkan mereka memerlukan video pendidikan yang mampu memberikan rangsangan energetik dalam memahami sesuatu pembelajaran, akhirnya mereka mengambil inisiatif untuk membangunkan video mereka sendiri dengan harapan dapat membantu rakan-rakan yang lain. Menerusi Simpleclub yang ditubuhkan pada tahun 2015, mereka mula menghasilkan video pendidikan berdasarkan pengalaman peribadi mereka dengan memberikan penerangan tentang sesuatu subjek seolah-olah mereka sedang memberikan penjelasan kepada rakan-rakan yang lain.

Disebabkan mereka juga masih bergelar pelajar, maka video pendidikan yang dihasilkan amat menepati cita rasa yang diinginkan oleh pelajar yang lain. Dalam tempoh yang singkat, saluran tersebut berjaya meraih jumlah tontonan yang agak tinggi. Walaupun pengasasnya pada ketika itu masih belajar di sekolah tinggi (berada dalam gred 11 yang setara dengan Tingkatan 5 di Malaysia), namun kematangan mereka menghasilkan video pendidikan yang “mesra pelajar” telah menarik minat pelabur seperti HV Capital (HV Holtzbrinck Ventures) untuk memberikan modal pada tahun 2020. Misi HV Capital sejak ditubuhkan pada tahun 2000 adalah untuk melabur dalam syarikat yang berpotensi tinggi dalam industri penyelewengan teknologi atau disruptive technology. satu daripada projek yang terpilih ialah Simpleclub.

Simpleclub tergolong dalam industri penyelewengan teknologi kerana keupayaannya mengganggu pembelajaran tradisional apabila perhatian pelajar dipesongkan kepada pemanipulasian teknologi untuk dijadikan sebagai alat atau sumber pembelajaran. Walaupun istilah penyelewengan teknologi seolah-olah membayangkan kesan atau impak yang negatif, hakikatnya Simpleclub telah berjaya membantu banyak pelajar meningkatkan pencapaian dalam pelajaran.  Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Crunchbase Inc, kini terdapat lebih daripada dua juta orang belajar melalui saluran video Simpleclub pada setiap bulan dan sembilan daripada sepuluh orang pelajar berjaya meningkatkan gred mereka.

Di Amerika Syarikat, saluran pendidikan yang menggunakan platform YouTube untuk mendapatkan jumlah tontonan yang tinggi secara konsisten ialah Crash Course (kadangkala dieja sebagai CrashCourse) yang diasaskan oleh John Green dan Hank Green. Saluran tersebut telah melancarkan pratonton buat pertama kali pada 2 Disember 2011 dengan mempersembahkan kandungan mata pelajaran Sejarah dan Biologi Dunia. Saluran itu juga termasuk dalam satu daripada 100 saluran awal yang dibiayai oleh inisiatif saluran asal YouTube bernilai USD100 juta. Hingga tahun 2022, Crash Course telah berjaya meraih 1.6 bilion tontonan video. Pada November 2014, Crash Course mengumumkan kerjasama dengan PBS Digital Studios untuk membolehkan saluran itu menghasilkan lebih banyak subjek atau kursus. Akibatnya, beberapa hos (pengacara) tambahan telah menyertai rancangan itu untuk meningkatkan bilangan siri secara serentak. Sebagai contoh, kursus bahasa asing pertama, iaitu bahasa Arab bagi siri Sejarah Dunia telah dihoskan oleh Yasser Abumuailek. Kerjasama dengan Arizona State University menghasilkan siri yang bertajuk Study Hall yang telah dimulakan pada tahun 2020. Pada tahun 2022, siri yang dipanggil Office Hours telah diperkenalkan oleh pakar berjawatan profesor yang digandingkan dengan hos bagi menjawab soalan spontan daripada penonton.

Kesimpulannya, penggunaan video pendidikan menerusi saluran media sosial seperti YouTube sangat mudah meraih jumlah tontonan yang tinggi kerana pendekatannya yang santai dan sentiasa berusaha memberikan penjelasan dalam merungkaikan permasalahan yang kompleks dalam sesuatu tema atau subjek. Selain itu, penggunaannya mempunyai tahap kelenturan yang tinggi kerana suntingan boleh dilakukan pada bila-bila masa, contohnya memasukkan sari kata atau penggunaan bahasa yang bersesuaian. Faktor ini menjadikan YouTube sebagai medium pilihan tontonan pada waktu terluang atau sekerap mungkin. Autodidaktik merupakan istilah yang paling tepat bagi menggambarkan kaedah pembelajaran yang diketengahkan menerusi YouTube di mana pelajar boleh memahirkan diri dalam sesuatu lapangan setelah menghadam kandungan video secara bebas.

Kandungan video pendidikan kebiasaannya dapat dihadam dengan mudah kerana jalan ceritanya singkat dan berdurasi hanya beberapa minit. Hal ini demikian kerana objektifnya adalah untuk menangani aspek tunggal berasaskan konsep satu huraian untuk satu masalah. Oleh itu, untuk menjawab permasalahan yang kompleks, video tersebut akan disusun mengikut tertib secara bersiri untuk membolehkan penonton melihat kesinambungan penyelesaian dari awal hingga akhir dengan lebih mudah dan jelas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.