6 Februari 2024, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Türkiye merupakan antara negara terlantang di dunia yang berani menyuarakan bantahan terhadap serangan Israel di Gaza. Bahkan, Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan, antara pemimpin negara terawal yang menggesa agar Israel diseret ke Mahkamah Antarabangsa atas salah laku jenayah perang dan pencabulan hak asasi manusia di Gaza. Peranan tersebut telah disambut oleh Afrika Selatan yang kemudiannya memfailkan kes terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada bulan Disember 2023 atas tuduhan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Dalam beberapa kenyataan rasmi beliau, Erdoğan juga tidak berlapik dalam mengecam pemimpin Israel yang bertanggungjawab terhadap krisis yang berlaku di rantau Timur tengah. Dalam sebuah ucapan di persidangan jawatankuasa Organization of Islamic Cooperation (OIC) Disember 2023, Erdoğan menyelar Netanyahu sebagai “penyembelih Gaza” yang harus didakwa sebagai “Penjenayah Perang … Sepertimana Milosevic”. Sesiapa yang mengikuti perkembangan politik di rantau semenanjung Balkan tentu maklum akan Slobodan Milošević, iaitu mantan Presiden Yugoslavia yang didapati bersalah oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa kerana salah laku genosid pada tahun 2002.

Kenyataan keras Erdoğan ini sebenarnya tidaklah mengejutkan terutamanya apabila kita meninjau sejarah hubungan Türkiye-Israel yang sering tegang pada tahun-tahun sebelumnya. Misalnya, pada Mei 2010, apabila kapal bantuan kemanusiaan “Gaza Freedom Flotilla” diserang oleh tentera Israel dan mengorbankan sembilan nyawa aktivis, Türkiye telah bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel.

Walau bagaimanapun, hubungan Türkiye-Israel tetap mempunyai pasang surutnya. Hubungan kedua-dua negara mula pulih sekitar tahun 2016, namun kembali keruh (selepas dua tahun berdamai), berikutan peristiwa yang mengorbankan 10 peserta demontrasi di persempadanan Gaza. Demonstran tersebut terbunuh akibat serangan tentera Israel pada Mac 2018. Kesinambungannya, Türkiye sekali lagi mengarahkan diplomat Israel keluar dari negara mereka, dan Erdoğan turut menggelarkan Netanyahu sebagai “pengganas” dan negara Israel sebagai “negara pengganas” dalam kenyataan dan acara rasmi beliau.

Tindakan tegas Türkiye tidaklah bermaksud hubungan kedua-dua negara ini kekal tegang. Bahkan, sebelum konflik pada 7 Oktober 2023 meletus, sudah wujud usaha dari kedua-dua pihak untuk memperbaiki hubungan mereka. Misalnya, kunjungan Presiden Israel, Isaac Herzog, ke Türkiye pada Mac 2022, diikuti dengan kunjungan rasmi antara kedua-dua Menteri Luar Negeri. Selepas itu, mereka telah mengisyaratkan bahawa kedua-dua negara sedang membina satu jalinan yang strategik dan lebih rapat antara satu sama lain.

Usaha pendamaian turut berlaku sewaktu persidangan umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, pada September 2023. Erdoğan dilaporkan mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi membincangkan kerjasama ekonomi industri tenaga di rantau negara mereka. Dalam kenyataan rasmi Erdoğan kepada media, beliau turut berkongsi perancangan daripada kedua-dua pihak untuk membuat kunjungan hormat antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, serangan Hamas pada Oktober 2023, diikuti dengan bedilan bom dan serangan bertalu-talu tentera Israel terhadap penduduk Gaza, telah mengeruhkan semula hubungan antara Türkiye dengan Israel. Pemerhati politik dunia turut membincangkan tindakan Erdoğan yang mengambil pendirian lebih berhati-hati dan “neutral” terhadap Israel, sambil menyeru agar kedua-dua belah pihak tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Terdapat dua faktor utama yang mendorong Erdoğan mengambil pendirian sederhana sewaku krisis mula meletus pada Oktober ini. Pertama, rentetan daripada serangan Israel di Gaza, wujud kebarangkalian yang tinggi untuk tercetusnya perang berskala besar melibatkan lebih banyak negara dari Timur Tengah. Negara seperti Iran, Lebanon, dan Mesir antara yang terkesan sekiranya situasi Palestin dan Israel menjadi lebih tegang. Hal ini tentunya bercanggah dengan kepentingan geopolitik Türkiye, yang baru-baru ini banyak meminjam wang dari negara-negara teluk bagi mendepani krisis ekonomi mereka.

Kedua, sebagai pemimpin dunia yang disegani oleh negara Muslim, Erdoğan melihat potensi Türkiye untuk memainkan peranan penting sebagai pengantara (mediator) antara rejim Israel dengan Hamas dalam merencana rundingan perdamaian. Menteri Luar Negeri Türkiye, Hakan Fidan, sebelumnya begitu aktif menjalankan diplomasi serantau, turut menyatakan kesediaan Türkiye untuk “memainkan peranan sebagai negara penjamin (guarantor country” bagi mewujudkan resolusi politik bagi konflik Israel-Palestin. Hubungan baik antara Ankara dan Hamas sejak tahun 2006, dan keinginan Israel untuk memperbaiki hubungannya dengan Türkiye serta meletakkan Türkiye sebagai kuasa yang strategik bagi mengemudi rundingan perdamaian yang baharu.

Malangnya, usaha Türkiye untuk menjadi negara pengantara tidak disambut baik oleh Amerika Syarikat. Kunjungan Setiausaha Negara US Anthony Blinken ke negara-negara Arab, iaitu Israel, Mesir, Jordan, Arab Saudi, Bahrain, United Arab Emirates dan Qatar secara sengaja tidak melibatkan Türkiye. Hal ini mengisyaratkan pandangan pentadbiran Biden yang tidak cenderung kepada pentadbiran Erdoğan sebagai pengantara krisis yang sedang berlangsung.

Penolakan terhadap peranan Türkiye sebagai pengantara ini merupakan antara sebab utama mengapa Erdoğan mula mengambil pendirian yang lebih keras (dan tidak neutral) berbanding dengan sebelumnya. Apabila Hospital al-Ahli diletupkan pada 17 Oktober, sekali gus mengorbankan ratusan nyawa, Erdoğan terus mengeluarkan kenyataan “menyalahkan Israel” atas serangan tersebut dan menggesa masyarakat dunia bersatu untuk menghalang “keganasan yang berterusan” di Gaza. Pada waktu inilah Türkiye menukar arah dan mengambil pendirian yang lebih tegas.

Beberapa hari selepas itu, beberapa diplomat dan duta Israel di Türkiye, Irit Lillian, dilaporkan turut menerima arahan untuk meninggalkan negara Türkiye atas sebab-sebab keselamatan. Seminggu kemudian, Türkiye juga memanggil semula duta mereka di Israel, atas alasan “tragedi kemanusiaan” dan “keengganan Israel untuk mengangkat senjata.” Hubungan Israel dan Türkiye kembali dingin seperti sebelumnya.

Walau bagaimanapun, hubungan antara kedua-dua negara ini mempunyai tempoh pasang surutnya. Masih belum jelas sama ada pertelagahan antara Türkiye dengan Israel pada kali ini akan berlanjutan pada masa akan datang. Sentimen rakyat Türkiye sememangnya berpihak kepada Palestin dan hal ini tentu sekali mempengaruhi pentadbiran Erdoğan untuk kekal bertegas dengan Israel.

Namun begitu, ketegangan ini masih berada pada tahap retorika sahaja. Pada masa yang sama, hubungan ekonomi dan perdagangan dengan Israel masih terus berlangsung, bahkan kapal-kapal perdagangan dari Türkiye terus berlayar ke Israel. Tiada isyarat hubungan ekonomi antara kedua-dua buah negara akan terputus. Hanya perancangan kerjasama dalam industri tenaga antara Türkiye dengan Israel yang pernah dibincangkan sebelum ini terpaksa berhenti buat seketika. Tidak pasti bilakah kerjasama tersebut akan berlanjutan semula.

Pada hakikatnya, krisis ekonomi yang meruncing di Türkiye juga mengehadkan kuasa pentadbiran Erdoğan daripada menekan Israel secara lebih efektif. Malah Türkiye  bergantung dengan pinjaman wang daripada negara-negara teluk bagi mengukuhkan mata wang Lira yang telah hilang hampir 80 peratus nilai sebelumnya. Tekanan daripada NATO juga menjadi antara penyebab yang mengekang Türkiye daripada berlaku lebih tegas terhadap konflik di Gaza.

Sungguhpun demikian, dengan berlangsungnya gelombang protes terhadap Israel yang semakin meluas di negara-negara Barat dan Timur, diikuti dengan perkembangan terkini di ICJ melibatkan Israel dan Afrika Selatan, Türkiye tentunya berpotensi untuk memperkukuh peranannya dalam memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas jenayah perang dan kemanusiaan yang berlaku di Gaza.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.