Oleh Jamiaton Kusrin
7 Februari 2024, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM Shah Alam telah berjaya menamatkan siri jelajah akademik yang bertempat di SMK Dato’ Dol Said, Melaka semalam.  Sambutan hangat yang diberikan oleh para pelajar yang hadir turut memeriahkan majlis tersebut.

Program tersebut bertujuan untuk berkongsi maklumat dan memberikan pendedahan mengenai program pengajian yang ditawarkan di FSR bagi mereka yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Sebanyak 88 orang pelajar aliran Sains Sukan khususnya Tingkatan 4 dari tiga buah sekolah turut terlibat iaitu SMK Dato’ Dol Said, SMK Dato’ Haji Talib Karim dan SMK Seri Pengkalan, Melaka.

Menurut pensyarah kanan FSR, Profesor Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie, program sedemikian memang tepat pada masanya di samping merancakkan jaringan kerjasama di antara pihak FSR, UiTM Shah Alam dan sekolah.

Turut hadir ialah pensyarah Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM Shah Alam yang terlibat ialah Encik Muhammad Faizal Kutip, Dr. Cassendra Gilbert, Dr. Maisarah Shari, dan Encik Muhammad Farid Hilmi Aidit, serta dibantu oleh seorang pelajar FSR, Che Muhammad Aidil Khairulanuar.

Menurut Pengetua SMK Dato’ Dol Said, Tuan Mohd Kamar Othman, para pelajar perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang dengan menjadikan FSR sebagai destinasi utama ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Sesi penyampaian sijil dan cenderahati.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Dato’ Dol Said, Tuan Mohd Kamar Othman disusuli penyampaian sijil dan cenderahati kepada delegasi FSR, UiTM dan wakil setiap sekolah yang terlibat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.