Oleh Rashid Ating
12 Februari 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sarawak dan Sabah diibaratkan seperti adik-beradik; mempunyai banyak perihal yang mirip. Kedua-dua negeri ini terletak di Kepulauan Borneo dan merupakan negeri yang pertama serta kedua terbesar di Malaysia. Kedua-duanya sama-sama menyertai Persekutuan Malaya pada tahun 1963; kaya dengan pelbagai hasil bumi semula jadi dan kebudayaan; dan mempunyai pelbagai suku kaum dan etnik.

Meskipun selepas 61 tahun menjadi sebahagian daripada Malaysia dan meskipun dilimpahi dengan pelbagai hasil bumi yang jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia, hal pembangunan dan kemajuan infrastruktur di Sabah dan Sarawak masih lagi menjadi isu yang diperkatakan.

Gambar 1: Imej satelit Sabah dan Sarawak pada Waktu Malam. (Sumber: Esri, USGS | Esri, FAO, NOAA, USGS)

Gambar 1 menunjukkan imej satelit di Kepulauan Borneo yang diambil pada waktu malam. Dapat dilihat dari imej tersebut, tompokan cahaya jelas kelihatan di bandar utama di Sabah seperti di Kota Kinabalu (ibu negeri), Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, manakala di Sarawak seperti di Kuching (ibu negeri), Sibu, Miri dan Bintulu. Tompokan cahaya yang muncul di bandar tertentu ini boleh diterjemahkan berkembangnya aktiviti ekonomi, sama ada dalam sektor pertanian, perikanan, perkapalan dan perindustrian.

Turut mencuri tumpuan, bandar yang disebutkan terletak berhampiran dengan kawasan laut, menggalakkan aktiviti carian hasil galian bumi seperti petroleum dan aktiviti pelancongan. Aktiviti seperti ini dapat membawa kepada pertambahan saiz populasi penduduk yang mendiami sesebuah kawasan tersebut, seperti yang dapat dilihat melalui tompokan cahaya melalui imej satelit. Manakala daerah sekitarnya yang hanya mempunyai tompokan cahaya yang halus dan kecil menunjukkan kurangnya aktiviti ekonomi di sesebuah daerah tersebut.

Jadual 1: Pendapatan Isi Rumah mengikut Negeri di Malaysia pada Tahun 2022.

Berdasarkan dapatan jumlah pendapatan isi rumah mengikut jumlah penengah dan purata tahun lalu oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM), daripada 16 buah negeri (termasuk tiga Wilayah  Persekutuan), Sarawak menduduki tempat ke-10, berbanding dengan Sabah yang berada di tempat ke-13.

Menurut laporan yang sama, Sabah dan Sarawak masing-masing mencatatkan tiga dan empat  daerah yang mempunyai nilai penengah terendah di Malaysia. Bagi nilai purata pula, hanya daerah Pitas di Sabah yang memasuki senarai 10 daerah yang mempunyai nilai purata terendah di seluruh negara, manakala Sarawak mempunyai enam daerah. Secara keseluruhan, Sarawak mempunyai 10 daerah yang mempunyai nilai penengah dan purata terendah di Malaysia, dibandingkan dengan empat daerah di Sabah.

Jadual 2: Pendapatan Kasar Isi Rumah Terendah Mengikut Daerah Pentadbiran (Berdasarkan Nilai Penengah dan Purata).

Bagi Sarawak, daerah yang disebutkan dalam Jadual 2 merupakan daerah yang terletak jauh di pendalaman yang kekurangan kemudahan awam asas seperti jalan raya. Di samping itu, saiz negeri Sarawak yang besar juga menyebabkan taburan penduduk menjadi tidak sekata, apabila sesetengah daerah tidak mempunyai penduduk yang ramai, seperti terlihat dalam Gambar 1. Taburan tompokan cahaya yang kurang di kebanyakan kawasan ini menyokong data yang dikeluarkan oleh DOSM bahawa daripada 20 daerah pentadbiran yang mempunyai nilai penengah dan purata yang terendah, 14 daripadanya berada di Sabah dan Sarawak.

Perubahan di Sarawak

Namun begitu, keadaan di Sarawak ini dipercayai akan mengalami perubahan yang lebih positif. Sarawak dilihat semakin agresif dan menonjolkan diri sebagai sebuah negeri yang berpotensi tinggi. Pengiktirafan Sarawak sebagai satu negeri yang berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia pada Julai, pada tahun lepas membuktikan usaha dan komitken kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri tersebut peneraju dalam pelbagai bidang. Sasaran ini dicapai tujuh tahun lebih awal berbandingn dengan sasaran awal untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi pada tahun 2030.

Pada masa yang sama, Sarawak turut mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila menjadi bandar pertama di Asia Tenggara yang menggunakan hidrogen untuk menggerakkan pengangkutan awam (termasuk bas) di Kuching. Fasa pertama dijangka beroperasi secara berperingkat pada suku keempat tahun 2025. Projek sistem bas berpandu tanpa rel (Autonomous Rapid Transit) ini dimulakan sejak tahun 2019 lagi dengan Sarawak menjadi negeri kedua yang menggunakan sistem ini selepas Johor pada tahun 2019.

Sabah Perlu Lebih Proaktif

Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Dari segi aktiviti pelancongan, contohnya, Sabah dan Sarawak sebenarnya mempunyai destinasi pelancongan yang berkelas dunia. Mengambil pengalaman penulis sendiri yang pernah berada di Sarawak selama hampir tiga bulan, penulis berkesempatan untuk menghadiri mesyuarat lanjutan Jawatankuasa Penyelarasan Negeri Sarawak yang telah berlangunsg di daerah Miri. Penulis mendapati bahawa peranan dan tanggungjawab untuk mengembangkan pendapatan ekonomi Sarawak melalui pelancongan ini bukan hanya terletak pada bahu pemegang taruh yang berkepentingan, tetapi semua pihak termasuklah kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan para penyelidik.

Selain itu, penulis juga berkesempatan melawat Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu yang dimiliki sepenuhnya oleh Yayasan Sarawak. Universiti ini menawarkan potongan yuran pendidikan sebanyak 50 peratus hingga 80 peratus kepada penuntut Sarawak yang berada dalam kategori B40 bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana. Perkara ini merupakan sesuatu yang dapat dicontohi oleh negeri lain kerana pendidikan merupakan ejen terbaik sesuatu perubahan. Melihat 10 tahun yang akan datang, tidak mustahil bagi Sarawak untuk mengatasi Pulau Pinang sebagai hab perindustrian dan mengatasi Melaka sebagai hab pelancongan. Sebagai penutup, Sabah dilihat masih perlu mengatur langkah yang lebih proaktif dan boleh mencontohi langkah negeri jirannya yang semakin ke hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.