16 Februari 2024, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan cenderamata kepada  Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md Johari Hasan.

Kota Kinabalu – Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Md Johari Hasan, mengetuai Kunjungan Hormat DBP kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, di Menara Kinabalu, pada hari ini.

Menerusi kunjungan hormat tersebut, fokus perbincangan tertumpu pada tiga program pengiktirafan berprestij anjuran DBP, iaitu Anugerah Sasterawan Negeri Sabah, Hadiah Sastera Sabah dan Anugerah Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah yang saban tahun mendapat dukungan padu daripada Kerajaan Negeri Sabah. Pada tahun ini, sekali lagi Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji menyatakan kesediaan beliau untuk terus menyokong pelaksanaan ketiga-tiga program tersebut.

Fokus perbincangan tertumpu pada tiga program pengiktirafan berprestij anjuran DBP.

Selain itu, turut dibangkitkan adalah tentang isu penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam yang kian meruncing di Sabah, khususnya di Bandar Raya Kota Kinabalu. Dalam hal ini, Ketua Menteri Sabah turut memberikan perhatian, dan menyatakan sokongan terhadap usaha DBP memartabatkan bahasa kebangsaan di tempat awam.

Dalam perkembangan yang lain, perkara yang turut dibawa untuk perhatian pihak Kerajaan Negeri Sabah adalah berkaitan dengan pelaksanaan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2024 dan Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas (MDK) Kembali ke Sekolah.

DBK 2024 bakal dilaksanakan di Sabah mulai Mac ini dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah melalui 10 kementerian di bawahnya, manakala MDK pula akan dilaksanakan secara berfasa pada peringkat sekolah yang melibatkan pelajar dan guru.

Ternyata hasrat DBP untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri Sabah dalam pelbagai program dan kegiatan kebahasaan dan persuratan sepanjang tahun 2024, disambut baik oleh YAB Ketua Menteri Sabah.

Kunjungan ini membawa petanda bahawa usaha untuk mengangkat, memperkasakan dan memartabatkan bahasa dan sastera di Sabah akan lebih gemilang melalui kesepakatan yang diraih dalam pertemuan singkat ini.

Yang turut hadir bersama-sama dalam kunjungan hormat ini ialah YBhg. Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Encik Zulfa Hamzah; Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar; Timbalan Pengarah I, Puan Jennitah Noordin; dan Timbalan Pengarah II, Puan Julianah Kuli.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.