Oleh Aminudin Mansor
19 Februari 2024, 19:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Benarkah asas perpaduan kaum bermula di sekolah? Jika benar, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum yang sedia terjalin dalam kalangan pelajar. Oleh sebab itu, sekolah dikatakan sebagai asas atau tempat yang paling sesuai dan berkesan bagi mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan pelajar. Usaha ini pastinya melibatkan pelajar, ibu bapa, guru dan masyarakat setempat itu sendiri.

Usaha mewujudkan perpaduan kaum sebenarnya dapat dilihat menerusi pelbagai aktiviti kurikulum dan kokurikulum bagi semua golongan pelajar. Usaha ini bukan sahaja menyerlahkan elemen perpaduan dalam kalangan pelajar, malah turut mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini supaya keharmonian sedia ada terus terjalin erat dan sentiasa bersatu padu dalam apa-apa jua keadaan sekalipun.

Kajian psikologi pendidikan mendapati bahawa fitrah manusia sejak kecil lagi telah serasi berkawan dan bekerjasama serta bersatu-padu dalam melakukan apa-apa juga aktiviti yang positif dalam kehidupan. Melalui pendidikan dan pembelajaran, tingkah laku yang baik akan mewujudkan keserasian dan kebersamaan, sekali gus mewujudkan ciri perpaduan yang sewajarnya bermula di sekolah.

Sekolah juga wajar dijadikan tempat untuk mendidik hati dan jiwa serta memupuk rasa kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan pelajar. Satu daripada cara yang penting untuk mewujudkan perpaduan dalam sesebuah negara termasuklah menerusi pendidikan yang bermula di sekolah. Dalam konteks masyarakat Malaysia MADANI, aspek pendidikan merupakan faktor utama yang perlu diberikan perhatian dalam usaha kita membina dan mengukuhkan perpaduan yang sedia ada.

Penerapan nilai kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat serta ihsan sewajarnya terus dihidupkan dalam persekitaran pendidikan dan pembelajaran di sekolah bagi mewujudkan dan mengukuhkan perpaduan pada peringkat awal dalam kalangan murid di sekolah. Nilai ini mestilah menjadi teras dalam setiap aktiviti di sekolah dengan melibatkan semua kaum dalam kalangan murid di sekolah rendah dan menengah. Apabila nilai yang baik ini diserap dan dimanfaatkan, pada akhirnya usaha tersebut akan menjadi amalan yang baik dalam kehidupan masing-masing.

Sistem pendidikan sedia ada pada masa ini mampu mewujudkan perpaduan sejak awal lagi. Langkah ini perlu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh sebagai penyelesaian terhadap isu perpaduan yang kadangkala “tercalar” tanpa disedari. Oleh sebab itu, usaha menyemai semangat perpaduan boleh diwujudkan melalui sistem persekolahan yang sama bagi semua kaum. Umpamanya, penubuhan sekolah wawasan suatu ketika dahulu wajar diperkasakan kembali supaya dapat menghimpunkan pelajar berbilang kaum di bawah satu bumbung yang sama demi memupuk rasa kebersamaan dalam kalangan mereka. Hal ini merupakan sesuatu yang wajar untuk difikirkan kembali kerana untuk memulakan sesuatu perkara adalah lebih mudah berbanding dengan usaha untuk mengekalkannya bagi tempoh jangka masa yang panjang.Pada masa yang sama, program terancang seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan diwujudkan semula dalam tempoh terdekat wajar diketengahkan sebagai aktiviti penting untuk menyatupadukan golongan pelajar di bawah payung perpaduan.

Selain itu, cara yang paling berkesan untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia tidak lain dan tidak bukan ialah menerusi penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Penggunaan satu bahasa sebagai alat perhubungan dan persefahaman antara kaum dapat mengelakkan timbulnya rasa curiga atau prasangka antara satu sama lain. Langkah ini diharapkan mampu mempercepat usaha untuk melahirkan perpaduan, sekali gus mewujudkan situasi harmoni antara kaum di negara kita.

Kurikulum ialah satu rancangan pendidikan yang terkandung di dalamnya pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma, unsur kebudayaan serta kepercayaan yang perlu disemai dalam kalangan  pelajar sekolah.Peranan kurikulum dalam pendidikan mampu membina perkembangan pelajar yang lengkap dari segi jasmani, rohani, akal dan emosi. Hal ini juga mempengaruhi perkembangan intelektual mereka agar mampu membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk.

Dalam konteks negara kita, aspek kurikulum turut berperanan dalam melahirkan rakyat yang mendukung cita-cita negara demi mewujudkan perpaduan yang bertunjangkan pada Rukun Negara, di samping menghasilkan tenaga muda yang terlatih untuk keperluan negara pada masa  hadapan. Sukatan pembelajaran yang sama dari segi isi kandungannya dianggap sebagai satu daripada asas sistem pelajaran kebangsaan bagi mewujudkan perpaduan negara dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Selain itu, mata pelajaran Sejarah turut memainkan peranan penting ke arah menyuburkan matlamat perpaduan di negara ini. Melalui penghayatan dan memahami falsafah mata pelajaran Sejarah, diharapkan dapat membuka mata dan membina semangat perpaduan serta perasaan hormat menghormati terutamanya apabila sesuatu perkara itu terkait dengan aspek agama, kebudayaan dan adat resam.

Langkah untuk menyeragamkan kurikulum di sekolah perlu diperkukuh dengan mewujudkan satu sistem peperiksaan yang seragam. Bahasa Melayu wajib dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang sentiasa dituturkan oleh para pelajar di sekolah dalam setiap aktiviti yang disertai oleh mereka. Sebagai contoh, dengan adanya sukatan pelajaran dan peperiksaan yang seragam, aspek pelajaran para pelajar tidaklah terganggu jika mereka terpaksa bertukar ke sekolah  yang lain. Langkah ini dapat membantu proses penyatuan pelajar berbilang kaum, di samping mewujudkan keperibadian unggul yang sedia tersemat dalam kalangan mereka.

Di samping itu, aktiviti kokurikulum juga boleh menerapkan rasa kemesraan dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Rasa kebersamaan ketika melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dapat mengelakkan jurang komunikasi dan menghilangkan prasangka negatif antara kaum di negara ini. Ternyata, pendidikan merupakan landasan yang tepat dan berkesan untuk membina dan membentuk perpaduan negara.

Selain itu, acara kebudayaan, sastera dan program kebahasaan mestilah melibatkan semua pelajar di sekolah dengan menumpukan fokus ke arah perpaduan sebagai asasnya. Program dan aktiviti seperti teater, drama, sayembara pembacaan sajak, pidato serta perbahasan juga perlu melibatkan penyertaan semua kaum supaya usaha mewujudkan perpaduan di sekolah terus berada pada landasan yang kukuh.

Tegasnya, bahasa Melayu seharusnya dijadikan bahasa komunikasi utama dalam setiap acara yang dilakukan oleh semua pihak.  Hal ini jelas memperlihatkan bahawa bahasa merupakan alat untuk menyemai dan menyatukan pelajar daripada pelbagai kaum. Peranan bahasa ini telah terbukti sejak negara mencapai kemerdekaan yang mengangkat kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.. Penggunaan satu bahasa yang sama diharapkan dapat melahirkan bangsa Malaysia yang mempunyai identiti yang sama. Maka, hanya melalui penerapan dan penggunaan bahasa yang baik, betul dan berkesan sahaja akan menjadikan pelajar di negara ini mampu menyemai rasa cinta terhadap bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat memupuk semangat kekitaan, meningkatkan kerjasama dan mewujudkan semangat bersatu padu dalam kalangan pelajar di sekolah, selain diamalkan dalam kehidupan bersama-sama jiran tetangga yang berlainan bangsa dalam komuniti yang sama. Maka, di sinilah bahasa Melayu terus berperanan sebagai bahasa komunikasi yang sangat berkesan bagi mewujudkan pelajar yang seimbang, harmonis dan mengekalkan perpaduan yang bermula di sekolah dan kemudiannya diteruskan dalam hubungan kemasyarakatan. Penggunaan bahasa yang baik dan betul diiringi dengan kesantunan berbahasa merupakan resipi penting dalam usaha mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Pada hakikatnya, elemen perpaduan yang telah berakar umbi dalam tempoh enam tahun di sekolah rendah; lima tahun di sekolah menengah dan dua tahun di Tingkatan Enam telah menjadi asas yang telah bertapak kukuh dalam diri sebelum mereka melangkah ke menara gading dan berdepan dengan cabaran yang lebih getir. Golongan pelajar yang sentiasa menerapkan nilai perpaduan pastinya akan menjadi warganegara yang baik dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan keharmonian di negara ini.

Persoalannya, untuk tempoh yang panjang, mengapakah kita masih berbicara tentang perpaduan, sedangkan kita sudah sedia maklum tentang perkara ini sejak negara mencapai kemerdekaan? Fikir-fikirkanlah…

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.