Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSejak awal tahun 2000, landskap pentadbiran dunia berubah apabila pemimpin politik muda atau Generasi Z diberikan kepercayaan mendaki puncak kekuasaan negara. Mereka membuktikan mampu memimpin jutaan rakyat. Status “muda” atau “belia” tidak menjadi satu halangan lagi untuk menjadi orang keutamaan dan menambat kepercayaan rakyat. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa tiada lagi istilah bahawa seorang peneraju negara wajib dilantik dalam kalangan mereka yang sudah berusia dan berpengalaman lama.
Pelantikan Gabriel Attal, 34 tahun, sebagai Perdana Menteri (PM) baharu Perancis, baru-baru ini, hangat diperkatakan melalui media sosial kerana menjadi pemimpin termuda dalam sejarah negara tersebut. Pelantikan itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial sama ada berbaur positif mahupun skeptikal. Sebelum mengupas lebih lanjut dari perspektif ini, yang berikut merupakan beberapa individu yang pernah atau masih memegang tampuk pemerintahan di negara masing-masing.
Berfikiran Terbuka dan Aktif
Jika dilihat, di negara ini masih belum ada bayangan orang muda yang bakal menerajui kepimpinan nombor satu negara. Setakat ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Rahman masih mengekalkan rekod sebagai ahli kabinet termuda dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan ketika berusia 27 tahun. Pada waktu itu, sekitar tahun 2018, beliau menjadi menteri Kabinet paling muda di rantau Asia.
Syed Saddiq sekali lagi menempa keberanian apabila menubuhkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada 17 September 2020 sebagai sebuah parti yang digerakkan oleh orang muda untuk memfokuskan agenda golongan muda. Meski beliau tidaklah terlalu menonjol di pelantar dunia, namun kehadirannya sedikit sebanyak memberi semangat dan impak kepada belia tempatan untuk berada di pentas politik.
Pada prinsipnya, umur seseorang untuk menjadi PM mahupun Presiden tidak menjadi satu masalah yang besar kerana ramai anak muda pada peringkat global sudah membuktikan keupayaan memimpin. Mengapakah mereka semakin diterima untuk mengelola negara pada usia mentah? Menurut penulis berpengalaman, Valerie Forgeard, generasi sekarang terdiri daripada mereka yang berfikiran terbuka, proaktif dan telus dalam membuat perubahan dalam kehidupan sendiri serta komuniti. Forgeard yang juga merupakan pengasas dan pengarah World Citizen Artists dan mengetuai Big Data United Nations Global Platform berkata, golongan itu sentiasa “ghairah” untuk terus mendapat maklumat tentang semua berita, politik, sosial dan transisi ekonomi dunia. Oleh itu, mereka mengambil bahagian secara aktif dalam banyak kempen global.
Golongan muda ini juga bertanggungjawab untuk banyak projek sosial seperti program sukarelawan, pembinaan komuniti dan sekolah serta lain-lain. Belia kini tidak menunggu seseorang memberi mereka peluang tetapi menciptanya sendiri. Apabila mereka meninggalkan kampus, sesetengah daripada mereka mempunyai beberapa pengalaman kepimpinan seperti melalui kerja kesukarelawanan.
Pemimpin Muda dan Pemimpin Berusia
Tidak dapat dinafikan, semakin meningkat umur, akan lebih banyak pengalaman yang diraih sekali gus memberi nilai tambah kepada diri seseorang. Cara mengendalikan konflik juga akan lebih matang termasuk pilihan aspek yang akan diberikan keutamaan jika sesuatu hal berlaku. Namun, berdasarkan perspektif Forgeard, faktor umur langsung tidak mempengaruhi apalagi menjejaskan kepimpinan. Bagaimanapun, umur memainkan peranan dalam keberkesanan memimpin. Dari satu sudut, mengapa masyarakat zaman moden berfikiran lebih terbuka menerima kepemimpinan seorang belia? Apakah faedah atau manfaat yang mereka peroleh? Yang berikut dinyatakan antara beberapa sebabnya.
Cabaran Pemimpin Muda
Tanggungjawab mentadbir sebuah negara tentulah lebih berat daripada melaksanakan kempen untuk memenangi kerusi pilihan raya. Namun begitu, kebanyakan generasi milenial yang sudah melangkah ke kancah politik sudah pun sedia maklum akan cabaran yang bakal dirempuh, lebih-lebih lagi memerintah sebuah negara yang penuh dengan liku-liku.
Lihat sahaja bagaimana Noboa mendepani negaranya yang sedang kacau-bilau sekarang. Baru-baru ini, Ecuador diisytiharkan darurat selama 60 hari selepas banduan paling dikehendaki, Adolfo Macias, iaitu ketua kumpulan penjenayah Los Choneros hilang dari penjara. Antara ketetapan yang terpaksa dilakukannya termasuklah mengerahkan tentera ke jalanan dan ke penjara dan menetapkan perintah berkurung pada waktu malam.
Apa-apa pun, pemimpin muda perlu mempunyai jati diri yang utuh, cekal dan berani mengambil risiko serta bersemangat mengharungi segala macam tantangan. Mereka juga perlu terus progresif, mencatur keputusan secara intelek, membina hubungan dan rangkaian profesional dengan pihak lokal serta antarabangsa serta bersikap tegas.
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pernah berkata, beliau melihat golongan muda amat idealistik, sofistikated, mempunyai kesedaran lebih luas berkaitan dengan isu global dan memiliki semangat keusahawanan yang tinggi di samping mahir dalam teknologi berbanding dengan golongan berusia. Katanya lagi, generasi baharu juga membuatkan banyak institusi berubah dengan mengadaptasi dengan realiti baharu kini.
Pertembungan berlaku di seluruh dunia antara golongan tua yang mahu kekal dengan cara lama dan tercabar dengan pengaruh luar, sementara orang muda lebih terbuka dan menerima idea dan cara pemikiran baharu. Pun begitu, Obama meluahkan keyakinan bahawa kelebihan teknologi Generasi Z membolehkan idea mereka mudah disebarkan kepada berjuta orang dengan pantas, sekali gus memberikan mereka kuasa dan mewujudkan ruang kebertanggungjawaban.
Di Malaysia, sejak era 1980-an, wajah sama dilihat masih wujud dan tiada tanda mereka mahu berundur. Sudah tiba masanya, senario ini digoncang dengan memberikan peluang kepada pemimpin muda untuk mentadbir negara. Menurut firma perakaunan Deloitte, menjelang tahun 2025, Generasi Z akan menyumbang 75 peratus daripada penduduk dunia yang bekerja. Perkara ini bermakna masa depan ekonomi dan tenaga kerja akan banyak dipengaruhi oleh kepimpinan anak muda masa kini.
Selain itu, berdasarkan tinjauan LinkedIn, sebanyak 63 peratus daripada mereka mahu menjadi pengurus dalam dekad akan datang untuk melengkapkan diri dengan maklumat dan kemahiran yang mereka perlukan dalam usaha menjadi pemimpin yang berpengaruh. Dalam era globalisasi ini, kehadiran pemimpin muda semakin menjadi sorotan. Namun begitu, seperti kata mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tidak salah untuk mengguna pakai corak pemikiran Barat, tetapi haruslah dilakukan dengan berhati-hati, tanpa mengabaikan acuan masyarakat di negara ini.