22 Februari 2024, 18:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kehidupan pada hari ini menunjukkan bahawa manusia terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan keselesaan, kemewahan dan kemegahan. Kemewahan itu diukur berdasarkan rumah yang besar dengan hiasan reka bentuk dan perabot yang mewah, mempunyai kereta besar, motosikal berkuasa tinggi dan pakaian berjenama terkenal. Perkara tersebut merupakan lumrah keinginan manusia yang ingin mendapatkan kemewahan dan mengejar pujian manusia.

Mereka terikut-ikut dengan persepsi “miskin dihina, kaya dipuja” sehingga menyebabkan akal fikiran menjadi cetek kerana mendambakan kehidupan yang mewah dan mengharapkan pujian yang bersifat sementara. Akibatnya, mereka hilang pertimbangan dan terpaksa berhutang untuk memenuhi keinginan. Sepatutnya, mereka perlu yakin akan ketentuan dan kehendak Tuhan. Sekiranya diberikan ujian kesusahan, mereka perlu berserah dan memohon pertolongan dan tidak boleh menyangkal kehendak-Nya dengan bersifat takabur.

Setiap manusia perlu bekerja keras untuk memenuhi keperluan dan mencukupkan perbelanjaan harian mereka. Mereka perlu berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup dan mengelakkan diri daripada belenggu keberhutangan yang serius. Namun begitu, sekiranya mereka berhutang untuk tujuan memenuhi keperluan asas kehidupan, perkara tersebut boleh dipertimbangkan. Sebagai contoh, membuat pinjaman untuk melanjutkan pelajaran, memulakan perniagaan dan memenuhi keperluan asas seperti membeli rumah dan kenderaan. Dalam hal ini, seseorang itu boleh berhutang selagi mereka memperoleh gaji yang setimpal dan sepadan untuk membayar semula hutang atau pinjaman tersebut mengikut kadar dan tempoh yang telah ditetapkan.

Data pinjaman yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) 2023, menunjukkan bahawa hutang isi rumah di Malaysia merupakan antara yang tertinggi di rantau ASEAN. Data menunjukkan bahawa pinjaman harta tanah kediaman antara yang tertinggi, iaitu sebanyak RM35.18 bilion, kenderaan penumpang sebanyak RM14.45 bilion, kegunaan peribadi seperti pembiayaan perkahwinan dan penambahbaikan rumah sebanyak RM7.86 bilion serta pinjaman kad kredit sebanyak RM4.03 bilion. Institusi perbankan di Malaysia memandang serius isu yang berkaitan dengan hutang tersebut kerana mereka turut berdepan dengan risiko sekiranya peminjam tidak mampu membayar balik pinjaman mengikut kadar gaji peminjam.

Jika desakan kehidupan terjadi, peminjam tidak dapat melunaskan hutang tersebut. Peminjam perlu menggali “lubang” lain untuk menutup lubang hutang tersebut. Lebih teruk lagi, muncul agensi pemberi hutang berlesen atau tidak berlesen seperti “ah long” atau ceti haram. Hal ini mungkin akan menyebabkan peminjam terjerumus dalam jenayah yang lain. Kehidupan mereka mula dihantui oleh mimpi ngeri berhubung dengan hutang yang tidak dapat dilunaskan. Umpamanya, tidur tidak lena, makan tidak kenyang dan lebih malang lagi sering berlaku pergaduhan dalam keluarga dan rumah tangga.

Oleh itu, kita perlu beringat sebelum membaut keputusan untuk berhutang. Fikirlah sedalam-dalamnya kerana jika tidak mampu menguruskan hutang tersebut akan menyebabkan kita muflis dan menimbulkan pelbagai masalah lain pada hari mendatang. Pada hari ini, separuh daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan kewangan dan tidak mampu menyediakan wang kecemasan sekurang-kurangnya RM1,000 di dalam akaun simpanan masing-masing. Perkara ini mungkin disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup atau keinginan individu untuk mendapatkan keselesaan dalam hidup.

Janganlah disebabkan dek kemewahan dan meraih kemegahan, seseorang itu sanggup merisikokan diri dan keluarga dengan membuat pinjaman secara berlebihan. Trend bermewah dan berhutang yang menguasai masyarakat pada hari ini boleh mengundang risiko kemurungan jika pinjaman tersebut tidak dapat dilunaskan dalam masa yang ditetapkan.

Masalah kemurungan boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan dan mengundang pelbagai penyakit yang terkait gangguan halusinasi seperti penyakit jiwa dan keresahan. Keadaan ini juga menyebabkan kesan kronik yang lain seperti masalah jantung dan kematian mengejut. Satu daripada punca kemurungan tersebut disebabkan oleh tekanan hidup akibat berhutang. Kejadian bunuh diri pada hari ini juga semakin meningkat. Hal ini disebabkan oleh tekanan hidup seperti muflis dan hilang punca pendapatan. Akibatnya mereka hilang kewarasan dan mengambil jalan singkat dengan membunuh diri.

Oleh sebab itu, kita seharusnya hidup dalam batas kemampuan diri. Usahlah mengejar pujian manusia yang boleh membinasakan diri sendiri. Jika tidak mampu untuk membayar balik pinjaman, lebih baik menjalani kehidupan dengan penuh kesederhanaan. Biarlah dipandang susah atau miskin, namun dapat menjalani kehidupan dengan aman, bahagia dan tenang daripada berdepan dengan bebanan hutang yang tidak berkesudahan. Contohilah kehidupan masyarakat terdahulu yang tidak berhutang demi mengejar kemewahan hidup. Mereka berusaha mengumpul harta untuk digunakan ke arah kebaikan demi kelangsungan hidup anak cucu seperti membeli tanah, rumah dan kenderaan.

Janganlah pula harta yang dikumpulkan oleh nenek morang terdahulu digadai dan dijual pula demi mengejar kemewahan di dunia yang sementara ini. Kesannya kelak kehidupan seseorang itu terperangkap dalam keberhutangan yang serius. Oleh itu, sentiasalah bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh-Nya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.